Pertama Digital beli 24% lagi ekuiti syarikat perisian perkhidmatan kerajaan, DAPAT Vista  | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital beli 24% lagi ekuiti syarikat perisian perkhidmatan kerajaan, DAPAT Vista 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Pertama Digital Berhad bakal mengambil alih 24% lagi kepentingan dalam syarikat perisian yang mengkhususkan kepada pendigitalan perkhidmatan kerajaan, DAPAT Vista (M) Sdn Bhd.

 

Langkah pengambilalihan itu dilakukan menerusi anak syarikatnya, Television Airtime Services Sdn Bhd (TAS), daripada pemegang saham DAPAT Vista lain, HeiTech Padu Berhad.

 

Berdasarkan sebuah kontrak yang ditandatangani pada tahun 2019, TAS mempunyai hak untuk mengambil alih sehingga 60% saham biasa DAPAT Vista hingga Disember 2023. 

 

Pengarah Eksekutif Pertama Digital, Sabri Ab Rahman berkata, walaupun TAS mempunyai baki dua tahun lagi untuk melengkapkan pengambilalihan itu, namun kumpulannya mahu mengambil peluang secara strategik ke atas lonjakan pendigitalan ketika ini. 

 

“Pertama Digital akan memanfaatkan peningkatan perniagaan ini yang secara konsisten disumbangkan oleh DAPAT Vista sepanjang pandemik ini dan melaksanakan pelaburan baik di dalam TAS. 

 

Sabri Ab Rahman
Sabri Ab Rahman

 

“Sudah tentu, ini sangat baik untuk sumbangan lebih besar oleh DAPAT Vista kepada pendapatan Pertama Digital,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut kontrak itu, Pertama Digital boleh meningkatkan kepentingannya dalam DAPAT Vista sepanjang 10 suku tahun penuh sebelum tarikh tamat. 

 

Sebelum tahun 2020, TAS memiliki 20% kepentingan di dalam DAPAT Vista dan selebihnya iaitu 80% dipegang oleh HeiTech. 

 

Setelah langkah pengambilalihan kepentingan itu selesai, TAS bakal meningkatkan pemegangan saham biasa sehingga 80% di dalam syarikat perisian itu, sementara 20% akan dipegang oleh HeiTech.

 

Pada Mei 2020, Pertama Digital mengambil alih 51% kepentingan di dalam TAS yang merupakan syarikat pemegangan DAPAT Vista. 

 

Antara projek yang dijalankan DAPAT Vista adalah memiliki dan mengendalikan portal SMS kerajaan iaitu mySMS, aplikasi pembayaran mudah alih, MyPAY serta penyelesaian pembayaran jaminan mahkamah telefon pintar pertama di dunia, eJamin. 

 

Baru-baru ini, konsortium Pertama Digital membuat permohonan lesen perbankan digital kepada Bank Negara Malaysia (BNM) yang menumpukan pendekatan kolaboratif dengan pemain ekosistem untuk memberikan pembiayaan beretika dan produktif bagi golongan yang kurang layak. - DagangNews.com