Pergelutan politik gugat prospek ekonomi, pelabur asing hilang kepercayaan | DagangNews Skip to main content

Pergelutan politik gugat prospek ekonomi, pelabur asing hilang kepercayaan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Perkembangan politik tanah air yang dilihat semakin tidak menentu ketika ini, akan terus menjejaskan sentimen pasaran terutama keyakinan pelabur asing. 

 

Situasi ini akan menyebabkan lebih banyak aliran keluar asing daripada pasaran tempatan manakala syarikat dengan pegangan asing yang tinggi akan berdepan potensi penjualan ekuiti.

 

Malah, perkembangan ini juga memberi tempias negatif kepada pasaran kerana menyebabkan lebih banyak ketidakpastian mengenai kepimpinan dan hala tuju dasar-dasar negara, menurut CGS-CIMB.

 

Analisis firma itu dalam laporan strategik bagi separuh kedua 2021 mendapati, pegangan asing mula merosot selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 dengan sebahagian besarnya disebabkan ketidaktentuan politik.   

 

Pegangan asing terus menurun sebanyak 0.4% daripada 20.7% pada akhir 2020 kepada 20.3% pada akhir Jun 2021.

 

Data aliran dana menunjukkan pelabur asing menjadi penjual bersih ekuiti tempatan berjumlah RM4.2 bilion setakat separuh pertama tahun ini dengan purata setiap bulan berjumlah RM700 juta.

 

Jumlah itu, bagaimanapun, lebih rendah berbanding separuh pertama 2020 yang menyaksikan sebanyak RM16.2 bilion ekuiti dijual pelabur asing, aliran keluar tertinggi pernah direkodkan sejak statistik ini bermula pada 2010 disebabkan kebimbangan PKP 1.0, perubahan kerajaan dan COVID-19.

 

Pada separuh pertama 2019, ia merekodkan aliran keluar asing sebanyak RM4.6 bilion.

 

Firma itu mendapati, aliran keluar pada Jun 2021 adalah tertinggi setakat tahun ini sebanyak RM1.17 bilion disebabkan kesan sekatan pergerakan terhadap perniagaan, ketidakstabilan politik dan kelemahan ringgit. 

 

"Bagi suku ketiga ini, kami berpendapat, pasaran mungkin kurang memberangsangkan berpunca daripada masalah pergelutan politik dan sekatan pergerakan yang masih berpanjangan, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan korporat syarikat pada suku kedua dan ketiga ini.

 

"Selain isu politik, faktor seperti risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) juga menjejaskan syarikat tersenarai hingga menyebabkan pelabur asing mengurangkan pendedahan mereka di Malaysia, yang mana ini menjejaskan prestasi pasaran saham pada separuh pertama 2021," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

FBM KLCI susut 6% atau 95 mata pada separuh pertama 2021 ekoran beberapa isu yang timbul terutamanya pengisytiharan proklamasi darurat bagi mengekang wabak COVID-19, pelaksanaan semula sekatan pergerakan, kes jangkitan kembali meningkat dan kemajuan program vaksin yang perlahan.

 

Sumber : CGS-CIMB
Sumber : CGS-CIMB

 

 

 

Pembentangan Belanjawan 2022 hadapi kesukaran

 

Melihat kepada situasi politik yang berlarutan ini, CGS-CIMB berkata, sokongan majoriti untuk kerajaan Perikatan Nasional kekal dalam kerajaan mungkin tidak teruji apabila Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan 5 hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini hanya bertujuan supaya pembuat dasar membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

Ini kerana katanya, speaker Dewan Rakyat yang akan membuat keputusan berhubung perkara-perkara tersebut ketika sidang berlangsung jika Ahli Parlimen dibenarkan berdebat dan mengemukakan soalan.

 

"Jadi, dengan mengambil kira tempoh yang singkat ini, tiada peruntukan untuk mengusulkan undi tidak percaya memandangkan keutamaan diberikan kepada pelan pemulihan.

 

"Oleh itu, terdapat kemungkinan perkara ini dibawa kepada 2 sidang Parlimen berikutnya yang dijadualkan selama 15 hari mulai 6 hingga 3 September dan sesi seterusnya selama 32 hari mulai 25 Oktober hingga 16 Disember. 

 

"Ini akan menjadi titik penting kemungkinan berlakunya perubahan dalam landskap politik," jelasnya.

 

Namun, menurut firma itu, sekiranya, terdapat rundingan dalam kalangan parti-parti politik menjelang sesi Parlimen itu untuk mencari penyelesaian terhadap masalah kepimpinan, ia akan memberi impak positif kepada pasaran.  

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, kerajaan akan berdepan kesukaran sekali lagi untuk meluluskan Belanjawan 2022 seperti mana yang berlaku tahun lalu. 

 

Ia dijangka dibentangkan ketika sesi sidang Parlimen mulai 25 Oktober hingga 16 Disember 2021.

 

"Meskipun dasar fiskal yang jelas diperlukan untuk memastikan kekal akomodatif tetapi kelulusan ini mungkin sukar terutama di tengah-tengah pergelutan politik dan sokongan yang rapuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

"Jika berlaku seperti tahun lalu atau bajet ini ditolak, secara efektifnya berlaku undi tidak percaya kepada kerajaan, akan menggugat perbelanjaan awam, menjejaskan usaha pemulihan ekonomi dan keyakinan perniagaan serta isi rumah," tambahnya lagi.

 

 

Parlimen Malaysia
Sidang Parlimen akan datang menjadi titik penting dalam landskap politik.

 

 

 

KDNK 2021 diunjur rendah

 

Bagi prospek ekonomi tahun ini, firma itu sebelum ini mengunjurkan KDNK lebih rendah daripada 4.4% kepada 3.9% setelah mengambil kira pelaksanaan fasa pertama dan kedua PPN.

 

Ekonomi Malaysia kembali mencatat pertumbuhan kukuh pada 2022 dengan diunjur berkembang 4.7%, apabila sentimen perniagaan dan isi rumah kembali pulih.

 

"Kami percaya di sebalik kes jangkitan COVID-19 yang kekal tinggi dan pelaksanaan PKP 3.0 sejak Mei dan PKPD bermula Jun, kadar vaksinasi yang pantas akan membantu semula pembukaan ekonomi secara berfasa," katanya.

 

Pada masa sama, CGS-CIMB juga menjangkakan pakej rangsangan kerajaan akan menyaksikan defisit fiskal negara melonjak kepada 7% tahun ini, sebelum kembali menyusut kepada 4.5% pada 2022 dan 3.5% pada 2023.

 

Ini secara tidak langsung, katanya, meletakkan kerajaan dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran fiskal sekitar 4.5% dalam tempoh 2021 hingga 2023.

 

Firma itu juga yakin vaksinasi akan menjadi kunci utama untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini. 

 

"Dalam hal ini, kami menganggarkan Malaysia dapat mencapai 40% penduduk divaksinkan sepenuhnya menjelang 29 Ogos atau 12 Oktober ini," jelasnya.

 

Pada 18 Julai lalu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menerima 20 juta dos vaksin yang sudah ditempah dan menerima 30 juta dos pada akhir Julai diikuti 40 juta dos (Ogos), 53 juta dos (September) dan 58 juta dos (Oktober).

 

Dengan kadar vaksinasi akan ditingkatkan kepada 500,000 dos sehari, Malaysia dijangka mencapai 100% penduduk dewasa divaksinkan dengan 2 dos pada Oktober ini. 

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB mengekalkan unjuran FBM KLCI pada 1,604 mata menjelang akhir tahun ini dengan menjangkakan pembukaan ekonomi sepenuhnya pada suku keempat 2021. - DagangNews.com