Skip to main content

Penyumbang Dana Amanah MySDG diberi potongan cukai sehingga 10% - PM

Foto - Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan kepada Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Dana Amanah MySDG) akan menerima potongan cukai sehingga 10% daripada jumlah pendapatan agregat.

 

Beliau mengalu-alukan seluruh Keluarga Malaysia, termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat sivil (CSO) atau individu di dalam dan di luar negara untuk sama-sama menyumbang kepada Dana Amanah MySDG.

 

"Saya berharap insentif ini akan mendorong lebih ramai menyumbang kepada inisiatif yang bersejarah ini. Saya berterima kasih kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas bantuan dan kerjasama yang diberikan, terutamanya dalam mempromosikan inisiatif ini kepada penyumbang antarabangsa yang sentiasa yakin dengan usaha dan aspirasi Malaysia dalam mencapai matlamat ini.

 

"Saya berharap kerjasama yang lebih erat dan utuh antara kerajaan dan PBB serta semua pihak yang terlibat akan terus terjalin.," katanya ketika berucap merasmikan Yayasan SDG Malaysia (Yayasan MySDG) di Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, Dana Amanah MySDG merupakan koloborasi antara kerajaan dengan PBB di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan bagi menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

 

Beliau berkata, matlamatnya bertujuan untuk membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada siapa pun dalam Keluarga Malaysia terpinggir daripada arus pembangunan.

 

"Penubuhan Yayasan MySDG pula mampu menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan Agenda 2030 tercapai," katanya.

 

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesaksamaan daripada segi kemajuan sosio-ekonomi bagi seluruh Keluarga Malaysia. 

 

 

pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) mengiringi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika perasmian Yayasan MySDG di Putrajaya, hari ini

 

 

"Ini merangkumi konsep pembangunan untuk semua, termasuklah menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta bagi menuju ke arah sebuah negara bersatu, makmur dan berintegriti. Dengan pertumbuhan saksama setiap rantaian nilai, kelas, komuniti dan geografi, matlamat ini dijangka mewujudkan keharmonian, kestabilan serta perpaduan lebih kukuh dalam kalangan Keluarga Malaysia menjelang tahun 2030.

 

"Justeru, SDG bukanlah perkara baharu di negara ini kerana telah diterima sejak 2015 dan akan terus dijajarkan serta diintegrasikan dengan pelbagai proses dan dasar yang telah dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu. Pada masa sama, kerajaan akan terus menekankan dasar pertumbuhan inklusif yang merupakan teras kepada matlamat pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan dalam konsep Keluarga Malaysia," katanya.

 

Berlandaskan kepada SDG, beliau yakin pembangunan negara akan bertambah baik dan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih teguh, berdaya tahan, aman dan makmur, disulami oleh keterangkuman bagi setiap lapisan masyarakat.

 

"SDG juga akan terus diintegrasikan sepenuhnya di dalam mekanisme dan dasar perancangan serta pembangunan negara. Malah, SDG dan petunjuk prestasi negara telah dilakarkan sepenuhnya dalam pelan pembangunan lima tahun negara, bermula dengan Rancangan Malaysia KeSebelas (RMK-11).

 

"Melalui penjajaran penuh SDG ini, kerajaan dapat memantau segala kemajuan berkenaan usaha ini dengan lebih berkesan. Pada masa sama, penggemblengan sumber untuk menyokong SDG juga dapat dipastikan. Kerajaan juga telah membangunkan satu pangkalan data SDG secara dalam talian disokong oleh satu rangka kerja institusi yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, sebagai salah satu daripada 193 negara yang telah menyertai Agenda 2030 pada tahun 2015, Malaysia telah mengemukakan dua laporan Voluntary National Review kepada PBB. 

 

Beliau berkata, laporan terkini mengenai pencapaian SDG itu telah dibentangkan pada Ogos 2021 yang lalu. Berdasarkan laporan tersebut, Malaysia telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pembangunan SDG yang meliputi pelbagai aspek. 

 

"Namun demikian, masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan, terutamanya bagi SDG yang melibatkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan golongan rentan serta miskin tegar. Dengan penjajaran sepenuhnya yang dilaksanakan dalam bajet tahunan kerajaan, kini kita dapat mengenal pasti jurang pembiayaan untuk mencapai aspirasi negara berkenaan SDG. 

 

"Saya percaya, Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG akan dapat mengisi jurang ini, dan seterusnya membantu mempercepatkan pencapaian Agenda 2030," katanya.

 

Katanya, semenjak dua tahun lalu, seluruh dunia digemparkan dengan pandemik COVID-19 sehingga menjejaskan pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada impak jangka panjang atau bersifat kekal. 

 

"Dalam hal ini, Malaysia juga tidak terkecuali. Situasi ini disukarkan lagi dengan bencana banjir yang melanda negara baru-bari ini, yang menjejaskan kehidupan Keluarga Malaysia di beberapa negeri yang bukan sahaja kehilangan bukan sahaja harta benda, tetapi juga orang tersayang. 

 

"Saya berharap perkara ini dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak supaya dapat mengimbangi antara pembangunan dan kepentingan melindungi serta memulihara alam sekitar," katanya.

 

Tambah Ismail Sabri, SDG adalah paksi penting dalam semua perancangan dan dasar bagi menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar.

 

Perdana Menteri berkata, ia perlu diutamakan bagi mengelak tragedi bencana alam seperti banjir yang melanda baru-baru ini berulang pada masa hadapan.

 

"Sekiranya kita mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi sepertimana yang kita lalui baru-baru ini, ataupun mungkin lebih teruk lagi. Ia melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan.

 

"Kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian. Sokongan padu amat diperlukan daripada semua pihak, selari dengan pendekatan senegara terutamanya apabila kita merujuk kepada SDG." katanya. - DagangNews.com