Penstrukturan semula BIMB dijangka selesai Oktober 2021 - CGS CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penstrukturan semula BIMB dijangka selesai Oktober 2021 - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Langkah penstrukturan semula dalaman yang sedang dijalankan oleh BIMB Holdings Berhad dijangka selesai menjelang Oktober 2021. 

 

Sebagai rekod, BIMB sebelum ini mendedahkan bahawa penstrukturan semula berkenaan bakal menyaksikan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengambil alih status penyenaraian kumpulan di Papan Utama Bursa Malaysia.

 

Seiring jangkaan tersebut, penganalisis di CGS-CIMB Research, Winson Ng mengekalkan saranan ‘tambah’ saham BIMB setelah mengambil kira impak positif penstrukturan semula itu yang akan membuka nilai Bank Islam. 

 

“Di bawah langkah ini, BIMB merancang untuk mengagihkan seluruh kepentingannya di dalam Bank Islam kepada pemegang saham kumpulan. 

 

“Potensi penarafan semula adalah peningkatan dalam penilaian Bank Islam, apabila bank itu mengambil alih status penyenaraian BIMB selepas langkah berkenaan selesai. 

 

“Kami mengekalkan unjuran perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 dan harga sasaran (TP) pada kadar RM4.27 sesaham buat BIMB,” jelas Ng dalam satu nota kajian.

 

Pada suku kedua FY21 (2QFY21), Ng berkata, keuntungan bersih utama BIMB menyusut 18.8% berbanding tempoh sama tahun lalu, yang diheret turun oleh lonjakan 30.1% dalam peruntukan kerugian pembiayaan (FLP) serta 117.4% dalam kos kewangan. 

 

Katanya lagi, dari segi perbandingan suku tahunan, keuntungan bersih kumpulan merosot 8.8% ekoran penurunan 12.9% dalam pendapatan bukan dana dan lonjakan 185.6% dalam FLP.

 

Baca : BIMB catat untung bersih separuh pertama RM387.1 juta

 

Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham BIMB dengan TP tidak berubah pada kadar RM5.10 sesaham. 

 

Penganalisisnya, Clement Chua pula menjangkakan BIMB akan melaksanakan penstrukturan semula menjelang penghujung September 2021, sementara menunggu proses pentadbiran selesai memandangkan kesemua kelulusan yang diperlukan telah diperoleh.

 

“Selepas ini, sektor perbankan dijangka menyaksikan cabaran serta-merta, akibat penyusutan ekonomi, ekoran ‘lockdown’ yang dilaksanakan pada Jun 2021. 

 

“Kebanyakan pemain industri telah menzahirkan kesediaan awal mereka dan akan bertindak balas apabila perlu, dan kami percaya BIMB akan melakukan tindakan serupa.

 

“Walaupun para pelabur mungkin menantikan bentuk penstrukturan semula kumpulan dengan kedudukannya dalam Takaful, BIMB ketika ini menjangkakan pulangan ekuiti kira-kira 11%,” kata Chua. - DagangNews.com