Penggunaan isi rumah terus pacu permintaan produk F&N | DagangNews Skip to main content

Penggunaan isi rumah terus pacu permintaan produk F&N

Produk susu F&N

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Permintaan terhadap produk syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) dilihat akan terus mengukuh didorong oleh corak penggunaan isi rumah yang lebih kuat.

MIDF Research berkata, keadaan itu akan terus berlaku meskipun sentimen pengguna mungkin menurun susulan penularan semula wabak COVID-19.

"Kami berpendapat bahawa sentimen pengguna mungkin lemah kerana timbulnya kes COVID-19 di Malaysia.

"Tetapi permintaan terhadap produk F&N akan tetap kukuh memandangkan corak penggunaan isi rumah yang lebih kuat," kata MIDF Research hari ini.

F&N mencatatkan kenaikan keuntungan bersih suku keempat sebanyak 26.1% kepada RM85.8 juta daripada RM68.0 juta pada 2019.

Bagaimanapun, pendapatan syarikat berkenaan merosot sebanyak 2.2% kepada RM953.7 juta yang disebakan oleh peningkatan dalam kawalan kos dan A&P yang lebih rendah.

Bagi F&B Malaysia, F&N mencatatkan penurunan pendapatan kepada RM495.1 juta, bagaimanapun pemulihan mula dilihat sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Sementara F&B di Thailand pula, keuntungan operasi meningkat sebanyak 20.5% kepada RM73.0 juta.

Dalam kenyataan yang sama, MIDF Research turut menyatakan tekanan yang mungkin dihadapi oleh F&N dalam aspek kenaikan bahan mentah.

Bagaimanapun, pihaknya menjangkakan F&N akan mampu mengatasi cabaran tersebut berdasarkan portfolio produk yang kuat dan strategi perniagaan yang cekap.

"Berdasarkan kepada semua pertimbangan ini, kami mengekalkan saranan 'neutral' saham F&N," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com