Pengerusi baharu Serba Dinamik letak jawatan, tidak setuju tindakan `berat sebelah' penguasa peraturan | DagangNews Skip to main content

Pengerusi baharu Serba Dinamik letak jawatan, tidak setuju tindakan `berat sebelah' penguasa peraturan

KUALA LUMPUR 21 Dis - Pengerusi Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hassan yang baharu menjawat tugas itu bulan lepas, mengumumkan perletakan jawatan, berpunca daripada tidak puas hati terhadap tindakan `berat sebelah' penguasa peraturan terhadap Serba Dinamik. 

 

Mohamed Farid, 62, merupakan bekas pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia dan dilantik sebagai pengerusi kumpulan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas global tersebut pada 24 November 2021.

 

Dalam pernyataan kepada Bursa Malaysia, Serba Dinamik turut mengumumkan perletakan jawatan pengarah bebas bukan eksekutifnya, Siti Zaleha Sulaiman atas alasan sama.

 

Siti Zaleha, 57, yang dilantik menganggotai lembaga pengarah pada 7 Julai 2021 merupakan bekas ketua pengurusan risiko korporat di Bursa Malaysia.
 

Siti Zaleha Sulaiman
                                               Siti Zaleha Sulaiman

 

 

 

Susulan perletakan jawatan Mohamed Farid itu, lembaga pengarah syarikat melantik pengarah bukan bebas bukan eksekutifnya, Datuk Abdul Kadier Sahib sebagai pengerusi baharu syarikat, berkuatkuasa 20 Disember 2021.
 

 Datuk Abdul Kadier Sahib
                                    Datuk Abdul Kadier Sahib

 


“Datuk Abdul Kadier adalah ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan merupakan Exco Pemuda PBB selama dua penggal dari 1985 hingga 1989.

 

''Beliau adalah ahli aktif Dewan Perniagaan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan dilantik sebagai Pengerusi cawangan Bintulu pada 1986 untuk selama tiga penggal sehingga 1991, kemudiannya berperanan sebagai penasihat DUBS dari 1992 hingga 1994.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak puas hati dengan tindakan Bursa Malaysia, pengerusi dan pengarah Serba Dinamik letak jawatan

 

“Pada masa ini, beliau merupakan Naib Presiden DUBS, setelah memenangi pemilihan pada 2014 dan akan terus memegang jawatan itu sehingga 2023.

 

''Datuk Abdul Kadier juga dilantik sebagai Ahli Majlis Bintulu Development Authority dari 1991 hingga 1997 dan 2013 hingga 2021,” kata Serba Dinamik. - DagangNews.com