Pendapatan Glomac meningkat kepada RM65.5 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Glomac meningkat kepada RM65.5 juta pada suku pertama

Kumpulan merekodkan jualan lebih tinggi pada suku pertama itu sebanyak RM52 juta. - Gambar : Facebook Glomac
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Sept - Glomac Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM5.18 juta pada suku pertama berakhir 31 Julai 2022, lebih tinggi berbanding RM1.73 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan meningkat 127% kepda RM65.5 juta daripada RM28.84 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Prestasi kewangan lebih baik itu didorong terutamanya oleh penyambungan semula aktiviti pembinaan seiring dengan pelonggaran sekatan COVID-19 di negara ini.

 

Projek yang menyumbang kepada pendapatan bagi tempoh itu termasuklah pembinaan fasa yang sedang berjalan di Saujana Perdana, Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences.

 

Di samping itu, Glomac turut mempamerkan kunci kira-kira yang kukuh. Setakat 31 Julai 2022, kedudukan tunai dan deposit tunai kumpulan lebih tinggi sebanyak RM223.8 juta berbanding RM215.4 juta pada April 2022.

 

Gearan bersih juga selesa pada 0.22 kali berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1.16 bilion setakat akhir Julai 2022 manakala aset bersih sesaham berjumlah RM1.50.

 

Kumpulan merekodkan jualan lebih tinggi pada suku pertama itu sebanyak RM52 juta, berbanding RM30 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi jualan yang lebih baik itu didorong oleh pengambilan penuh ruang pejabat kedainya di Lakeside Residences, Puchong serta permintaan kukuh terhadap projek perbandaran yang sedang berjalan di Saujana Perdana dan Saujana Utama 5. 

 

RUMA33, pelancaran sulung di Saujana Utama 5 semuanya dijual sejak berada ke pasaran pada akhir 2021.

 

Setakat 31 Julai 2022, Glomac mempunyai jualan belum dibilkan berjumlah RM512 juta yang memberi pendapatan kepada kumpulan.

 

Secara dasarnya, kumpulan berhasrat untuk memacu pendapatan melalui kemajuan pembinaan yang mantap terhadap projeknya yang sedang berjalan, dan berjaya melaksanakan pelancaran baharunya yang akan datang.

 

"Bagaimanapun, terdapat kebimbangan asas mengenai inflasi, kekurangan buruh, kenaikan kadar faedah dan kos material yang boleh menjejaskan sektor hartanah.

 

"Namun, prospek jangka panjang kekal utuh, disokong oleh kunci kira-kira yang sihat dan perancangan projek yang kukuh pada masa depan yang sebahagian besarnya terletak secara strategik di Lembah Klang," katanya. - DagangNews.com