Pencerobohan nelayan asing curi hasil laut jejas sekuriti makanan negara  | DagangNews Skip to main content

Pencerobohan nelayan asing curi hasil laut jejas sekuriti makanan negara 

Operasi berterusan APMM berjaya mengekang pencerobohan nelayan asing, namun pertambahan aset yang lebih moden sangat diperlukan pasukan tersebut. - Gambar APMM
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 10 Ogos - Pencerobohan nelayan asing yang menjarah hasil marin yang menyebabkan negara kerugian sehingga RM6 bilion setahun merupakan isu nasional yang perlu diberi perhatian serius.

 

Kehilangan sumber ekonomi yang sangat besar ini merupakan satu kerugian kerana nilai berkenaan sepatutnya dinikmati oleh rakyat sebagai pendapatan negara.

 

Selain itu ia juga menjejaskan sekuriti makanan negara apabila sumber marin tersebut mengalir keluar ke negara asing.

 

Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam bukan isu baharu, bagaimana pun operasi tersebut dilihat tersusun dan terancang.

 

Menurut beliau, walaupun operasi penguatkuasaan tegas dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) namun nelayan Vietnam juga licik mengatur strategi.

 

"Mengikut statistik APMM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 19 Mac hingga 22 Jun, sebanyak 88 bot nelayan Vietnam direkodkan menceroboh perairan negara.


 

Muhammad Fuad Mat Noor
                     Muhammad Fuad Mat Noor

 


"Berdasarkan trend, pencerobohan ini dilihat lebih tertumpu di perairan pantai timur Semenanjung dengan catatan sebanyak 55 kes yang telah diusir sepanjang tempoh pelaksanaan PKP," ujarnya kepada Dagang.News.com

 

Nelayan Vietnam ini turut disokong oleh kapal-kapal induk yang berlabuh di luar sempadan perairan negara bertindak membekalkan sumber makanan dan pengumpulan tangkapan hasil laut negara.


 

apmm
Pencerobohan nelayan asing menjarah hasil laut merupakan kerugian besar pada ekonomi negara.


 

Sebab itu kata Muhammad Fuad, APMM perlu mempunyai kapal-kapal bersaiz besar untuk bertindak sebagai kapal induk atau kapal sokongan logistik.

 

Jelas beliau, APMM sejak lima tahun lalu telah menegaskan keperluan kapal jenis tersebut sebagai pangkalan hadapan pada kapal peronda dan helikopter APMM mengisi bekal tanpa perlu pulang ke pangkalan.

 

"Kos perolehan tiga buah kapal jenis ini dijangka sekitar RM1 bilion tetapi masih berbaloi kerana peranannya kelak adalah untuk mengawasi perairan ekonomi negara.


 

OPV
APMM dijangka menerima satu daripada tiga buah OPV yang dibina oleh sebuah syarikat tempatan pada bulan ini.

 


"Pada masa sama, kita berharap satu daripada tiga kapal rondaan luar pesisir pantai (OPV) APMM yang dibina dapat disiapkan pada bulan ini sepertimana dijanjikan oleh syarikat pembina.

 

"Dengan adanya aset baharu ia dapat memperkasakan lagi peranan APMM serta menyuntik moral kepada warganya," ujar beliau. - Dagang.News.com