Pemaju tangguh pelancaran projek baharu, elak kejatuhan harga dalam pasaran - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Pemaju tangguh pelancaran projek baharu, elak kejatuhan harga dalam pasaran - Juwai IQI

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Kebimbangan terhadap inflasi merupakan antara punca utama yang menyebabkan para pemaju hartanah memutuskan untuk menghentikan pelancaran projek baharu, demikian menurut Juwai IQI. 

 

Ketua Segmen Bumiputeranya, Muhazrol Muhamad berkata, dengan menangguhkan projek pembangunan, mereka melindung nilai daripada risiko inflasi dan akan dapat menjualnya kemudian pada harga yang lebih tinggi.

 

Katanya, bekalan masih mencukupi dan terdapat masalah tidak terjual, tetapi projek dirancang semakin berkurangan manakala tidak terjual semakin mengecil.

 

"Ini dapat dilihat apabila projek yang siap semakin berkurangan. Pada suku pertama, projek siap menjunam 47% berbanding suku keempat 2021, daripada 25,074 unit kepada hanya 13,284 unit.

 

"Bekalan kediaman terancang baharu juga telah menurun. Sepanjang tiga suku lepas, bekalan baharu yang dirancang turun 36% daripada 26,392 unit kepada hanya 16,774 unit. 

 

"Ia merupakan perubahan ketara daripada trend sebelumnya di mana bekalan terancang baharu meningkat secara berterusan, suku demi suku. Berbanding suku keempat 2021, bekalan baru yang dirancang susut 9%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Muhazrol Muhamad
Muhazrol Muhamad

 

 

Menurutnya, harga kediaman pada suku lalu menurun sebanyak 2.2% tetapi projek yang dirancang akan meletakkan asas di bawah kejatuhan harga pada masa hadapan.

 

Jelasnya, kejatuhan harga berlaku apabila terdapat lebih banyak hartanah daripada pembeli dan pemaju mengalihkan persamaan memihak kepada bekalan dengan mengurangkan aliran bekalan baharu ke pasaran.

 

"Sebagai ejen, kami masih melihat aktiviti dan permintaan pembeli mencukupi untuk menyibukkan kami tetapi kami lebih bimbang tentang bekalan kerana projek baharu semakin mengecil.

 

"Satu perkara yang kami dengar daripada pembeli, mereka mahu membeli sekarang ketika harga lebih rendah kerana mereka tidak tahu peluang ini akan ada sampai bila. Mereka tidak mahu membayar lebih dengan menangguhkan pembelian," tambahnya.

 

Selain mengurangkan bekalan, Muhazrol berkata, pemaju turut memberi diskaun yang besar supaya dapat menjual unitnya sehingga habis. 

 

Katanya, hanya pembeli yang bertindak sekarang akan mendapat manfaat kerana apabila unit berkenaan dijual dalam masa yang singkat, diskaun yang diberikan juga berakhir.

 

"Sebagai ejen, kami optimis dapat membantu orang ramai membuat pelaburan besar dalam hidup merwka dan menjamin kewangan masa depan. 

 

"Dengan penurunan harga pada masa ini, pembeli mempunyai sebab untuk bertindak segera," katanya.

 

Pada masa sama, beliau tidak percaya kenaikan kadar faedah akan memberi impak ketara kepada pasaran hartanah di negara ini.

 

Ini kerana menurutnya, kadar inflasi masih rendah berbanding negara-negara lain dan kadar faedah tidak perlu dinaikkan tinggi bagi mengawal inflasi. 

 

"Malah, pada 2.25%, kadar dasar semalaman ini masih rendah di bawah purata, dan mengehadkan impak ke atas pasaran hartanah," jelasnya. - DagangNews.com