Mustapa rasmi cawangan Richiamo Coffee ke-99 di Menara Prisma Presint 3, Putrajaya | DagangNews Skip to main content

Mustapa rasmi cawangan Richiamo Coffee ke-99 di Menara Prisma Presint 3, Putrajaya

Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kanan) mencuba membuat kopi sempena perasmian cawangan ke-99 Richiamo Coffee di Menara Prisma Presint 3, Putrajaya. Turut kelihatan, Wan Najib Wan Daud (dua dari kiri) dan Mohamad Zamry Abu Samah (kanan)

PUTRAJAYA 7 Julai - Richiamo Coffee Sdn Bhd. membuka cawangannya ke-99 di Menara Prisma Presint 3, di sini semalam.

 

Cawangan ini merupakan konsep kiosk pertama yang dibuka oleh Richiamo Coffee.

 

Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Mohamad Zamry Abu Samah dan beberapa tetamu jemputan lain.

 

Cawangan ke-99 itu dimiliki dan dikendalikan Empire Coffee Works yang mana ia merupakan cawangan ketiga selepas Wisma Bernama Kuala Lumpur dan Universiti Malaysia Perlis.

 

Pengarah Eksekutif Empire Coffee Works, Wan Najib Wan Daud berkata, pembukaan cawangan di Menara Prisma adalah hasil perbincangan dengan pengurusan dan pemilik bangunan tersebut iaitu Pelaburan Hartanah Bhd yang menawarkan tempat untuk pihaknya beroperasi dan menawarkan perkhidmatan tambahan kepada para pekerja terutamanya kakitangan kementerian serta bangunan-bangunan bersebelahan.

 

"Sebagai sebuah syarikat milik 100 bumiputera, Richiamo Coffee selalu menekankan agar jenama ini boleh ditembusi oleh semua golongan lapisan masyarakat agar ia boleh berkembang sejajar dengan usaha kebelakangan ini", katanya.

 

Selain di Menara Prisma, dua lagi cawangan Richiamo Coffee yang telah beroperasi berdekatan Putrajaya ialah di Presint Diplomatik dan Tamarind Square Cyberjaya.

 

 

richiamo
Mohamad Zamry Abu Samah menyampaikan plak penghargaan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed sempena perasmian cawangan ke-99 Richiamo Coffee di Menara Prisma Presint 3, Putrajaya. Turut hadir, Wan Najib Wan Daud (dua dari kiri).

 

 

Ketika ini, jumlah keseluruhan cawangan Richiamo Coffee yang telah beroperasi di seluruh negara ialah 105 buah cawangan. 

 

Di majlis tersebut Mustapa turut meluangkan masa melihat bagaimana kopi ‘dibancuh’ di kafe berkenaan yang menyajikan pelbagai variasi kopi termasuk Americano, Latte dan Espresso.

 

 

richiamo

 

 

Malah, Mustapa juga turut membuat sentuhan peribadi dengan membuat minuman Latte di majlis tersebut.

 

Richiamo Coffee Menara Prisma juga menghidangkan menu makanan barat dan tempatan seperti patin masak tempoyak, daging salai, siput sedut salai dan itik salai serta asam pedas tenggiri.

 

Selain itu, kek dan pastri juga turut dijual di sini. - DagangNews.com