MPOGCF sampaikan bantuan kepada keluarga pekerja ladang yang maut dipijak gajah liar | DagangNews Skip to main content

MPOGCF sampaikan bantuan kepada keluarga pekerja ladang yang maut dipijak gajah liar

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Julai - Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) menyampaikan bantuan berupa wang tunai RM5,000 kepada keluarga pekerja ladang kelapa sawit yang meninggal dunia akibat dipijak gajah liar ketika sedang bertugas.

 

Dalam kejadian pada 5 Julai 2022 itu, mangsa mengalamai kecederaan serius di bahagian badan serta patah pergelangan kaki kiri dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang bagi mendapatkan rawatan.

 

Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad berkata, siasatan awal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mendapati ladang kelapa sawit yang merupakan tempat mangsa bertugas terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul dan menurut rekod terdapat beberapa kumpulan gajah liar di kawasan berkenaan.

 

"Pekerja-pekerja di ladang sawit dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil tindakan secara bersendirian, jika bertembung atau berhadapan dengan gajah liar yang berkeliaran di kawasan ladang dan kebun sawit.

 

"Pekerja-pekerja ladang juga diminta menjauhkan diri, jika terserempak dengan hidupan liar tersebut dan terus menghubungi Perhilitan Semenanjung Malaysia di talian bebas tol 1-800-88-5151," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, walaupun gajah bukan haiwan yang ganas tetapi mamalia itu boleh menjadi agresif jika sedang kelaparan atau merasakan keselamatan dirinya terancam. 

 

Katanya, sebarang tindakan bersifat provokasi bagi mengusir gajah perlu dielakkan kerana hidupan liar itu dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716.

 

"Sebagai peneraju inisiatif pemuliharaan biodiversiti industri sawit negara, MPOGCF memandang serius terhadap kejadian seumpama ini dan akan terus memberi sokongan penuh bagi usaha-usaha mengurangkan Konflik Manusia-Gajah terutamanya dalam industri sawit Malaysia.

 

"MPOGCF telah memulakan dan sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif pemuliharaan gajah bagi mengurangkan Konflik Manusia-Gajah di kawasan perladangan sawit. 

 

"Ia termasuk penubuhan Borneo Elephant Sanctuary (BES) di Sabah, pelaksanaan projek ‘Living Together with Elephants’ bersama TDM Plantation di Terengganu, projek ‘Elephant Grass Planting’ di Sabah serta projek Koridor Gajah di Kelantan. MPOGCF juga telah mendapat kelulusan dan dalam proses untuk menubuhkan Johor Elephant Sanctuary (JES) di Johor," katanya. - DagangNews.com