Model perniagaan mesti ada nak kembangkan bisnes | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Jiwo Niago - 25 August 2020

Model Perniagaan mesti ada nak kembangkan bisnes

 

Topik penulisan saya kali ini tercetus hasil daripada perbincangan dengan sahabat saya Akmal Zaman Abu, seorang usahawan dan BizCoach, kira-kira dua minggu yang lalu di sebuah restoran di Subang Jaya. Satud aripada perkara yang kami bincangkan secara serius adalah berkaitan dengan “model perniagaan”.

Perbincangan kami menjurus kepada beberapa buah syarikat perniagaan yang telah berjaya kerana mempunyai model perniagaan yang menarik. Kami berkongsi maklumat mengenai Domino Pizza yang mempunyai model perniagaan yang mengadaptasi “normal baru” dengan mengutamakan penawaran nilai kepada pelanggan bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelangaan. Kami seterusnya berbincang tentang model perniagaan terbaru yang digunakan oleh Netfix, Apple dan Tesla yang kesemuanya mempunyai model pernigaan yang menekankan keselesaan dan kesejahteraan pelanggan.

Amazon.com dan Alibaba.com merupakan dua syarikat gergasi e-dagang yang beroperasi secara atas talian. Walaupun pada dasarnya kedua-dua syarikat adalah sama dari segi operasi, tetapi masing-masing berbeza dari segi model perniagaan yang digunakan.

Bagi rangkaian Restoran Starbucks pula, yang membezakannya dengan pesaing-pesaing mereka adalah dari segi model perniagaan yang digunakan. Model peniagaan Starbucks menawarkan nilai unik kepada pelanggan. Di Starbucks, secawan kopi dianggap sebagai “minuman mewah dengan harga yang berpatutan” dan pelanggan boleh memilih dan membeli minuman kegemaran mereka dalam suasana dan persekitaran eksklusif yang santai.

 

Apa Itu Model Perniagaan?

Dari senario di atas, kita dapati bahawa model perniagaan digunakan sebagai alat yang dapat membezakan sesebuah syarikat dengan pesaing dari segi keunikan produk/perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan sasaran masing-masing. Namun begitu, masih ramai usahawan yang tidak mengambil berat dengan model perniagaan mereka.

Saya sangat prihatin dengan hasil kajian sekumpulan penyelidik di sebuah bank perdagangan di negara kita yang mendapati 80% daripada jumlah perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah gagal tidak mempunyai model perniagaan yang sesuai. Kajian di Amerika Syarikat pula mendapati ketiadaan model perniagaan merupakan satu daripada sepuluh sebab utama kegagalan perniagaan. Hasil kajian tersebut membuktikan betapa pentingnya model perniagaan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

P
enyediaan dan kewujudan model perniagaan dapat membantu usahawan mengenal pasti produk atau perkhidmatan yang hendak dijual, pasaran sasaran, dan perbelanjaan yang dijangka terlibat. Ia juga merupakan pelan yang dirangka untuk menjana keuntungan.

Kewujudan model perniagaan juga dapat membantu usahawan memperoleh sumber pembiayaan, mengambil tenaga kerja, dan mendorong pihak pengurusan mengendalikan perniagaan dengan berkesan.

 

Kanvas Model Perniagaan

Mewujudkan sebuah perniagaan umpama membina sebuah bangunan, dan cuba bayangkan sebuah bangunan yang dibangunkan tanpa ada lakaran awal atau pelan.  Begitu juga dengan perniagaan, sebelum menubuhkan perniagaan, rangka model perniagaan terlebih dahulu dengan membuat lakaran atas kertas.

M
odel perniagaan yang sesuai mampu membantu usahawan untuk mengetahui beberapa elemen termasuk konsep perniagaan, apa masalah yang ingin diselesaikan dan untuk siapa, bagaimana konsep perniagaan dapat memberi nilai kepada pelanggan, bagaimana produk atau perkhidmatan sampai kepada pelanggan, bagaimana perniagaan akan kekal kompetitif, dan berapa anggaran hasil dan kos yang akan ditanggung.

Bagi memudahkan anda membangunkan dan mendokumentasi model perniagaan yang berkesan, anda boleh menggunakan alat yang telah direka oleh Alexander Osterwalder pada 2010. Ia merupakan template bergambar dalam satu halaman kertas yang dapat membantu anda menjawab beberapa soalan penting mengenai perniagaan anda. Alat tersebut dikenali sebagai kanvas model perniagaan (business model canvas).

Perlu diingatkan bahawa kanvas model perniagaan bukan merupakan satu pelan perniagaan. Anda belum lagi boleh menyediakan pelan perniagaan sehingga anda selesai merangka model perniagaan. Model perniagaan sebenarnya berfungsi sebagai satu rangka tindakan yang di lakar untuk memandu dan membantu anda menyediakan pelan perniagaan yang komprehensif dan berkesan.

Diibaratkan seperti anda ingin ke Johor Bahru, anda perlu ada gambaran yang jelas mengenai jalan yang hendak dilalui dari tempat anda untuk menuju ke Johor Bahru agar tidak sesat jalan. Samalah seperti dalam perniagaan, kanvas model perniagaan adalah pelan atau petunjuk ke mana perniagaan anda hendak tuju. Jadi, sebelum anda mengeluarkan wang, masa dan tenaga untuk perniagaan, anda perlu menghabiskan masa terlebih dahulu atas kertas untuk merangka strategi agar tidak sesat dalam menuju matlamat anda.

 

Membangunkan Model Perniagaan

Anda mungkin mempunyai beberapa idea berkaitan perniagaan yang anda tulis atas sehelai kertas – produk, harga, lokasi, modal, dan sebagainya. Ini merupakan satu langkah permulaan yang baik, tetapi model perniagaan yang berkesan mengambil masa yang agak lama untuk dibangunkan.

Memulakan perniagaan adalah sesuatu yang menyeronokkan, tetapi anda juga memerlukan asas yang terkuat untuk memastikan kejayaan perniagaan. Jangan hanya meneka apakah nilai yang diperlukan oleh pelanggan anda. Lakukan kajian untuk mencari nilai sebenar yang dikehendaki oleh pelanggan. Dengan mengambil sedikit masa untuk membangunkan model perniagaan akan dapat memastikan yang anda telah membuat anggaran yang betul.

S
ebaik sahaja anda mendapat bukti mengenai daya maju perniagaan yang dirancang, berpandukan model perniagaan, anda telah bersedia untuk menulis pelan perniagaan yang lebih komprehensif. Perancangan yang betul akan mengambil masa dan tenaga, tetapi anda akan dapat melihat bagaimana perniagaan yang anda rancang memberi pulangan yang menarik apabila idea anda telah dapat direalisasikan sebagai sebuah perniagaan yang berjaya.

Menggunakan kanvas, anda boleh membina model perniagaan berdasarkan sembilan komponen asas menggunakan carta visual. Ia merangkumi empat bidang organisasi utama iaitu pelanggan, bekalan, prasarana dan kewangan. Manakala sembilan komponen adalah rakan perniagaan utama, aktiviti utama, tawaran nilai, hubungan pelanggan, segmen pelanggan, sumber utama, saluran pengedaran, struktur kos, dan aliran hasil.
 

jiwo


Soalan-soalan yang perlu dijawab bagi setiap komponen adalah seperti berikut:

Rakan perniagaan utama: Siapakah pembekal dan penyedia perkhidmatan anda? Apa yang mendorong anda untuk melantik mereka sebagai rakan perniagaan?

Aktiviti utama: Apakah aktiviti utama yang perlu dilakukan untuk tawaran nilai? Apakah aktiviti yang paling penting dalam saluran pengedaran, hubungan pelanggan, atau aliran hasil?

Tawaran nilai: Apakah nilai teras yang anda tawarkan kepada pelanggan? Apakah permasalahan yang perlu diselesaikan dan produk apa yang paling sesuai untuk tujuan ini?

Hubungan pelanggan: Apakah jenis hubungan yang dibina untuk berurusan dengan pelanggan? Bagaimana anda berinteraksi dengan pelanggan?

Segmen pelanggan: Siapakah pelanggan yang disasarkan untuk membeli nilai yang anda tawarkan? Siapakah pelanggan yang paling penting?

Sumber Utama: Apakah sumber utama yang diperlukan untuk penawaran nilai? Apakah sumber yang paling penting?

Saluran pengedaran: Apakah saluran pengedaran yang boleh digunakan untuk menghubungi pelanggan? Apakah saluran pengedaran yang terbaik? Berapa kos yang terlibat?

Struktur kos: Apakah sumber/aktiviti utama yang melibatkan kos yang tinggi? Berapakah kos keseluruhan pengeluaran?

Aliran hasil: Bagaimanakah tawaran nilai oleh perniagaan anda mampu menjana hasil? Adakah perniagaan mempunyai kaedah lain untuk menjana hasil?


Sebagai rumusan, tidak kira sama ada anda telah mempunyai perniagaan atau baru nak bermula, kanvas model perniagaan adalah alat yang terbaik untuk membantu anda mencapai matlamat anda. Ia merupakan dokumen satu halaman yang mudah untuk diubahsuai dari semasa ke semasa untuk dipadankan dengan sebarang perubahan yang mungkin berlaku dalam perniagaan dan persekitaran. - DagangNews.com

 

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Coach Akmal Azman Abu dari Lamka Advisory (Lamka.com.my) yang terlibat secara langsung dalam melatih dan membimbing usahawan.

 

jio

Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA

 

Portfolio Tags