Malaysia, Thailand kekal miliki nisbah hutang isi rumah tertinggi di Asia Tenggara - Moody's Analytics | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Thailand kekal miliki nisbah hutang isi rumah tertinggi di Asia Tenggara - Moody's Analytics

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Julai - Nisbah hutang isi rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Malaysia dan Thailand kekal antara yang tertinggi di Asia Tenggara, menurut Moody's Analytics.

 

Firma global itu menyatakan bahawa pasaran ini berisiko tidak berprestasi apabila kadar faedah menjadi normal.

 

"Hutang isi rumah yang meningkat kekal sebagai masalah utama walaupun pertumbuhan hutang isi rumah perlahan baru-baru ini.

 

"Banyak negara Asia Tenggara juga menghadapi kenaikan harga perumahan kerana wang panas dan spekulasi terus menaikkan harga," katanya dalam satu nota.

 

Menurutnya, jumlah nisbah hutang kepada KDNK di seluruh rantau Asia Pasifik kekal jauh di atas paras pra-pandemi, walaupun beberapa negara seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia merekodkan nisbah hutang yang lebih rendah pada 2021 berbanding 2020.

 

Ini sebahagiannya disebabkan oleh kejayaan negara-negara dalam membendung kes COVID-19 domestik sambil mengekalkan saluran pengeluaran terbuka.

 

"Sebaliknya, Thailand, Vietnam dan Filipina menghadapi masalah untuk membendung jumlah hutang pada 2021 berikutan pengetatan sekatan berkaitan COVID-19 sepanjang tahun ini," katanya.

 

Bagi hutang kerajaan, Asia Tenggara menyaksikan peningkatan yang berterusan pada 2021 walaupun kenaikan tidak securam pada 2020.

 

Moody's Analytics berkata, Thailand dan Filipina mengalami peningkatan hutang kerajaan kepada KDNK terbesar di seluruh rantau ini dan di seluruh dunia antara penghujung 2019 dan penghujung 2021.

 

Firma itu menyatakan bahawa kerajaan Asia Tenggara menaikkan siling hutang semasa pandemik untuk menampung pinjaman dan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk menyokong ekonomi.

 

"Penyatuan fiskal selepas pandemik dijangka bermula pada 2023 apabila negara bergerak ke arah dasar endemik COVID-19, termasuk pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial," kata firma itu. - DagangNews.com