Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 26 April 2021

WasiyyahShoppe

MALAYSIA MENERAJUI DUNIA DALAM SEKTOR PENGURUSAN HARTA ISLAM?

 

Bertemu kita sekali lagi di dalam perbincangan berkaitan penghartaan untuk umat Islam. Apabila Wasiyyah Shoppe Berhad mula menyasarkan untuk menerokai pasaran antarabangsa bagi membantu umat Islam seluruh dunia di dalam perancangan harta dan pengurusan pusaka mereka, ramai yang skeptik dan tak kurang juga yang kritik.

 

  • Bagaimana kita nak mengaplikasi kaedah merancang harta yang diguna pakai di Malaysia untuk rakyat negara lain?
  • Bukankah sistem perundangan negara lain berbeza dengan sistem perundangan Malaysia?
  • Dapatkah rakyat negara lain menerima apa yang Malaysia cuba bawa ke negara mereka? Ini antara soalan-soalan yang saya ditanyakan bertalu-talu kepada saya.

 

Semua soalan ini sebenarnya memang ‘valid’ dan seimbas lalu memang ia benar. Mana sama sistem perundangan Malaysia dengan sistem perundangan negara lain. Setiap negara akan ada keunikan undang-undangnya sendiri walaupun secara asasnya Malaysia dan negara itu mungkin tergolong di dalam negara-negara komanwel bekas jajahan British yang secara asasnya menggunakan ‘common law’.

 

Perbezaan sistem perundangan Malaysia lebih ketara apabila dibandingkan dengan negara-negara bukan ‘common law’ seperti negara-negara Timur Tengah yang mengguna pakai ‘sultanate law’ dan ‘Islamic law’ bila terkait hal-hal pewarisan harta.

 

Begitu juga dengan negara-negara ‘continental law’ seperti negara-negara Eropah bukan komanwel. Jika di negara-negara Amerika Utara dan Amerika Selatan pula sebahagiannya terikat dengan ‘civil law’ yang juga berbeza dengan ‘common law’ yang diamalkan di Malaysia.

 

WasiyyahShoppe
Hj Ariffin Sabirin berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga kerja Wasiyyah Shoppe di ibu pejabat syarikat di Kota Damansara pada 23 April 2021.

 

Cukai Warisan

Selain faktor undang-undang, di setiap negara juga ada sistem percukaian tersendiri. Di United Kingdom misalnya ada ‘inheritance tax’ di mana waris bila menerima harta pusaka yang ditinggalkan ibu bapa mereka, perlu membayar cukai pewarisan sebanyak 40% dari nilai harta pusaka yang diterima.

 

Jepun mengenakan cukai pewarisan tertinggi pada kadar 55%, Amerika Syarikat 40% dan Korea Selatan 50%. Di Malaysia pula cukai perwarisan ini telah dilupuskan pada tahun 1991.

 

Jadi dengan perbezaan undang-undang dan sistem percukaian ini, adakah ia tindakan yang bijak dan berbaloi untuk Wasiyyah Shoppe Berhad mengeluarkan modal dan menghabiskan tenaga untuk cuba memperkenalkan perkhidmatan perancangan harta secara syariahnya kepada umat Islam seluruh dunia?

 

Wasiyyah Shoppe Berhad faham bahawa setiap negara adalah unik. Di atas konsep ‘domicility’ juga kami faham bahawa undang-undang yang mengikat batang tubuh individu juga adalah unik.

 

Kami telah mendalami semua aspek ini secara terperinci dan dapatan kami menunjukkan bahawa ada ruang besar untuk Malaysia memainkan peranan aktif mempromosikan kaedah perancangan harta secara syariah kepada masyarakat dunia.

 

Jangan kita lupa apabila Malaysia mula memperkenalkan perbankan Islam dalam era 80-an, banyak juga skeptik dan kritik. Bank Islam Malaysia Berhad ketika itu memperkenalkan pembiayaan berkonsepkan ‘bai bithaman ajil’ dan ia dikritik hebat negara-negara Islam lain kerana dianggap tidak cukup Islamik.

 

Inilah pengalaman peribadi yang dilalui sendiri oleh Dato’ Ahmad Tajudin Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Pengarah Wasiyyah Shoppe Berhad hari ini yang ketika itu merupakan Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad.

 

anekdot
    Ahmad Tajuddin Abdul Rahman

 

Beliau menceritakan kepada saya pengalamannya berdepan pelbagai kritikan dari segenap sudut namun mendapat ‘kelegaan’ apabila Sheikhul Islam sendiri , Prof Dr Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi di dalam satu seminar, memberikan sokongan kepadanya untuk meneruskan perjuangan memperkenalkan konsep pembiayaan ini kerana pada ketika itu tiada pilihan lain bagi umat Islam di Malaysia.

 

Langkah berani yang diambil pelopor kewangan Islam seperti Dato’Ahmad Tajudin dan beberapa rakan-rakannya yang lain ketika itu, menjadi asas kepada munculnya Malaysia sebagai hab kewangan Islam yang diyakini dunia hari ini.

 

Meminjam aspirasi itulah, Wasiyyah Shoppe Berhad mengambil langkah strategik ke hadapan dengan memperkenalkan perkhidmatan perancangan harta secara syariahnya kepada dunia.

 

Dari pengalaman saya membentang kertas kerja dan berseminar di United Kingdom, Australia, Singapura dan Brunei, saya tahu wujud perbezaan besar undang-undang, sistem percukaian dan budaya yang besar antara Malaysia dengan negara-negara berkenaan dan ini memberi cabaran besar kepada Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Namun saya juga tahu dari sudut asas syariah, ada persamaan di antara kita dengan masyarakat dunia. Kecuali bagi negara dan umat Islam yang memegang pandangan Syiah, secara umumnya semua negara dan umat Islam seluruh dunia berpegang kepada pandangan ahlus sunnah wal jamaah. Inilah keseragaman yang wujud di antara umat Islam seluruh dunia.

 

Banyak penyelidikan dan kerja yang perlu kami lakukan bagi memastikan apa yang ingin diperkenalkan di negara berkenaan patuh hukum syarak tetapi dalam masa yang sama harmoni dengan undang-undang negara berkenaan.

 

Namun menjadi perintis dan peneraju juga bukan situasi yang asing bagi kami. Kami telah melalui pengalaman ini bila kami bermula 2004 yang lepas ketika industri perancangan harta secara syariah ini hampir tidak wujud langsung di Malaysia.  

 

Kami tahu stamina yang sangat kuat diperlukan, ketahanan mental yang bukan sedikit dituntut dan strategi paling mapan perlu dibentuk untuk menjayakan hasrat meneroka pasaran antarabangsa ini. Ia cabaran yang sangat besar namun Alhamdulillah berjaya kami harungi. Cabaran baru ini juga tidak kurang hebatnya dan memberi keterujaan yang tidak sedikit kepada kami.    

 

WasiyyahShoppe

 

Ramai salah anggap dengan hasrat kami. Mereka menyangka kami ingin meneroka pasaran antarabangsa kerana ingin mengaut keuntungan semata-mata. Kepada kritik ini saya ingin  menjawab, kalau kami nak untung semata-mata, kami boleh saja kekal bertapak di Malaysia yang pasarannya telah kami terokai dan cukup kami fahami semenjak 17 tahun lepas.

 

Kami tak perlu bersusah payah meneroka pasaran antarabangsa yang serba mencabar dan tidak menentu. Kami sedar kos permulaan operasi antarabangsa tidak sedikit. Masa yang perlu diluang untuk memahami sistem perundangan dan percukaiannya juga bukan kepalang. Kepakaran antarabangsa yang perlu dilibatkan juga sangat ramai dan mahal.   

 

Wasiyyah Shoppe Berhad ingin meneroka pasaran antarabangsa kerana kami melihat betapa ramainya umat Islam seluruh dunia yang masih memerlukan kaedah perancangan harta secara syariah.

 

Kepuasan utama ialah apabila umat Islam seluruh dunia mendapat manfaat dari kepakaran Wasiyyah Shoppe Berhad. Pengalaman dan kepakaran Wasiyyah Shoppe Berhad akan digembeling sepenuhnya bagi tujuan ini. 

 

Moga Allah permudahkan usaha kami untuk mendaulatkan ilmu fiqh mawarith ini di peringkat global dan Malaysia muncul sebagai peneraju di dalam industri ini. Aameen...    

 

WasiyyahShoppe
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Bhd.

 

WasiyyahShoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

Portfolio Tags