Landskap Industri Minyak & Gas, Petronas dan Masa Depan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 3 March 2021

 Landskap Industri Minyak & Gas, Petronas dan Masa Depan

 

KEBANYAKAN penganalisis ekonomi menjangkakan prospek industri minyak dan gas (O&G) pada tahun 2021 ini akan mendepani cabaran dalam mengukuhkan semula kedudukan industri ini akibat pandemik COVID-19 dan kemerosotan ekonomi dunia khususnya.  

 

Tahun ini juga dijangkakan permintaan O&G tetap rendah dan keadaan ini digambar sebagai antara yang terburuk yang pernah berlaku. Situasi yang berlaku ini pastinya memberi kesan kepada pasaran global dan domestik khususnya.  

 

Di Malaysia, Petroliam Nasional Berhad atau Petronas pastinya menerima impak dengan apa yang berlaku buat masa ini. Petronas sebuah syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia yang ditubuhkan pada 17 Ogos 1974.

 

 

petronas

 

 

Ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia dan syarikat ini telah mendapat hak keseluruhan terhadap sumber-sumber minyak dan gas di Malaysia dan diamanahkan dengan tanggungjawab untuk membangunkan dan menambah nilai kepada sumber-sumber tersebut.  Petronas  juga disenaraikan antara syarikat 100 syarikat terbesar di dunia oleh Fortune Global 500.

 

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes menyatakan kesan pasaran global menghadapi impak buruk bagi industri O&G dan situasi ini membawa kepada Petronas mencacat susut nilai berjumlah RM20.78 bilion pada suku tahun kedua 2020 yang lalu.

 

Jumlah susut nilai ini terus meningkat kepada RM31.5 bilion bagi tahun kewangan yang ditutup pada 31 Disember 2020. Petronas juga hanya mencatatkan keuntungan sebanyak RM20.5 bilion pada tahun 2020 berbanding RM40.5 bilion pada tahun 2019. Ini menunjukkan pengurangan keuntungan hampir 50 peratus.

 

Dengan keuntungan yang berkurangan dan mendepani situasi semasa, pastinya cabaran yang besar buat Petronas untuk menghadapinya. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Petronas telah mengambil langkah-langkah yang menunjukkan komitmen kukuh terhadap kemampanan dan Petronas juga menyedari mengenai peralihan tenaga global yang berlaku dengan pantas, ia dipertingkatkan oleh harapan pihak berkepentingan dan peluang yang yang lebih besar.

 

Bagi memenuhi hasrat  ini, Petronas mengambil langkah peralihan dalam cara tenaga dihasilkan dan mengumumkan aspirasinya untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistiknya terhadap kemampanan yang mengimbangkan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi rantaian nilai.

 

Kini, permintaan pembeli untuk produk bersih (mesra alam), sememangnya sudah wujud, manakala perubahan sifat dan cita rasa pembeli juga mempengaruhi pembuat dan pembekal dan Petronas juga telah mengkaji situasi ini untuk memastikan mereka turut serta dalam perubahan landskap industri O&G ini.

 

Tengku Muhammad Taufik  juga menyatakan, contohnya, anda boleh melihat pembuat kereta seperti Nissan, Volvo dan malah United Kingdom (UK) sebagai negara yang mempunyai perundangan mengenai penggunaan bahan api fosil dalam kereta.

 

 

volatiliti

 

 

Petronas pula melihat keadaan ini muncul dan akan bermula dari Eropah kerana mereka sudah menetapkan standard ini dan ia akan bergerak meluas ke seluruh dunia. Petronas juga melihat Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, menyertai semula Perjanjian Iklim Paris.

 

Ini mengambarkan dunia sudah akur dengan perubahan cuaca, yang mana ia sesuatu perlu ditangani secara kolektif. Maka jika Petronas tidak menggubal strategi untuk menghadapi masa akan datang, Petronas akan mengalami suatu risiko untuk menjadi kurang relevan pada masa akan datang.

 

Terbaru, pada 26 Februari yang lalu, Petronas melancarkan “Pusingan Bidaan Malaysia” (MBR) 2021  yang bertemakan 'Grow Your Energy Portfolio With Us' (Pertingkat Portfolio Tenaga Anda Bersama Kami) telah menawarkan 13 blok eksplorasi menerusi acara secara maya yang berjaya menarik penyertaan lebih 250 pelabur berpotensi baharu dan pelabur sedia ada.

 

MBR adalah bidaan tahunan anjuran PETRONAS yang menawarkan pelabur pelbagai peluang di Malaysia merangkumi blok eksplorasi serta yang kurang dibangunkan, penemuan sumber serta aset akhir hayat serta peluang kajian teknikal bagi mengembangkan portfolio tenaga mereka selain mewujudkan nilai.

 

MBR 2021 ini telah membuka lebih banyak peluang pelaburan untuk pelabur bagi memanfaatkan potensi sumber hidrokarbon di Malaysia. Banyak pelabur yang berpotensi dalam kalangan pembida terbabit melakukan penstriman secara langsung dari negara-negara Amerika Utara, United Kingdom, Eropah serta Asia Pasifik.

 

Tiga daripada 13 blok yang ditawarkan itu terletak di lembangan Malaysia (PM340, PM327 dan PM342), empat di lembangan Sabah (SB409, SB412, 2W dan X) manakala enam lagi di kawasan lembangan Sarawak (ND3A, SK4E, SK328, SK427, SK439 dan SK440).

 

 

petronas

 

 

Blok PM342, SK4E, SK328 dan SB409 itu juga mempunyai enam medan yang ditemui serta membolehkan usaha eksplorasi secara meluas oleh pelabur yang pada masa sama turut membantu mempercepatkan usaha bagi menjana keuntungan.

 

Selain itu, MBR 2021 juga menawarkan empat blok laut dalam (ND3A, 4E, 2W dan X) di luar pesisir pantai Sarawak dan Sabah. Naib Presiden Kanan Petronas, Mohamed Firouz Asnan bagi Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas akan meneruskan aktiviti eksplorasi bagi merebut peluang besar yang ditawarkan .

 

Walaupun prestasi Petronas tidak begitu baik pada tahun 2020, komitmen Petronas kepada Kerajaan Malaysia tetap ditunaikan. Sumbangan kepada kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan pemungut cukai, pembayaran royalti, mencapai paras RM1.1 trilion.  

 

Komitmen Petronas dalam membantu Malaysia khususnya tidak dapat dinafikan.  Petronas terus menyediakan program biasiswa bagi pelajar-pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran di bawah Biasiswa Petronas yang tidak pernah dihentikan.  

 

Selain itu, Petronas tidak menghentikan komitmen menyokong koridor pertumbuhan wilayah utara dan timur dan bekerjasama dengan pihak berkuasa koridor untuk membangunkan usahawan.

 

Petronas meneruskan sokongan perjanjian dengan Agrobank untuk membantu usahawan agro B40. Petronas juga prihatin dengan nasib masyarakat yang diberhentikan kerja akibat COVID-19 dan telah bekerjasama dengan penyedia teknologi, Tata Consultancy Services (TCS) untuk membantu memadankan mereka yang mencari pekerjaan dengan syarikat permulaan.

 

 

volatiliti

 

 

Petronas terus komited memberi sumbangan secara langsung dalam usaha membendung COVID-19 dan  membelanjakan hampir RM44 juta bagi perkara ini.

 

Tengku Muhammad Taufik  sekali lagi menjelaskan Petronas menekankan usaha pemampatan kos untuk menjaga daya tahan serta melakukan pelbagai langkah kecemerlangan operasi dan komersial untuk mengekalkan kedudukan kewangan yang agak kukuh dan telah menghasilkan aliran tunai yang bereputasi baik daripada operasi.

 

Petronas yakin melabur dalam bahan kimia yang boleh diperbaharui dan khusus boleh meletakkan semula kedudukannya dengan lebih banyak penyelesaian yang berpusatkan kepada pelanggan dan kecanggihan teknologi untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih bagi merealisasikan aspirasi ''Net Zero Carbon Emission 2050''.

 

Semoga usaha yang dibuat Petronas ini dapat menjadikan syarikat O&G Malaysia  ini kekal relevan dan mampu menghadapi cabaran industri O&G ini. - DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KOLEKSI VOLATILITI

Menafsir vaksin, perjanjian bilateral Malaysia-China, KDNK di bursa saham

Boss Top Glove dapat dividen RM490 juta

Pelaburan Derivatif Juga Satu Pilihan

Masih Ada Saham Yang Menguntungkan Dalam Ketidakstabilan Ekonomi

Kestabilan Monetari Bagi mengukuhkan Ringgit

PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi

5 Strategi utama pulihkan negara pada 2021

Masihkah relevan January Effect ke atas pasaran saham

Menyusun semula ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi

Selamat tinggal kemeruapan dan ketidakpastian pasaran saham 2020

 

 

 

 

 

Portfolio Tags