Kumpulan Touch n Go umum kerjasama strategik dengan Visa | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Touch n Go umum kerjasama strategik dengan Visa

 

KUALA LUMPUR 28 Okt.- Kumpulan Touch ‘n Go, menerusi Touch ‘n Go eWallet memeterai kerjasama strategik dengan pemimpin dunia pembayaran digital, Visa bagi memberi kemudahan pembahayaran tanpa tunai kepada orang ramai.

 

Kerjasama itu bakal menyaksikan Touch ‘n Go eWallet menyertai Program Laluan Pantas Teknologi Kewangan Visa, yang memberikan Touch ‘n Go akses kepada rangkaian rakan niaga global Visa secara langsung. 

 

Program itu merupakan sebahagian daripada strategi global Visa dalam membuka rangkaiannya dan memberikan pengalaman perdagangan baharu bagi pengguna dalam talian. 

 

Kerjasama itu juga termasuk pembangunan penyelesaian kad prabayar yang terikat dengan kemudahan Touch ‘n Go eWallet dan akan disediakan menjelang 2022.

 

"Kedua-dua jenama memberi tumpuan kepada pelanggan, dan dengan kerjasama Visa, kami dijangka terus menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada pengguna e-Dompet kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go, Effendy Shahul Hamid. 
    

Menurut kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa, kedua-dua kad tanpa sentuhan (92 peratus) dan dompet digital (81 peratus) digunakan secara meluas di Malaysia selain data menunjukkan bahawa 77 peratus menggunakan kedua-dua kaedah pembayaran itu. 

 

Dengan kad prabayar Touch ‘n Go Visa yang akan disediakan, rakyat Malaysia boleh menikmati kelebihan kedua-dua pilihan sekaligus, kerana kad ini melengkapi kemudahan sedia ada yang ditawarkan oleh peniaga QR Touch ‘n Go eWallet di Malaysia dengan rangkaian luas Visa meliputi lebih daripada 70 juta lokasi perniagaan di seluruh dunia. 

 

"COVID-19 dijangka mempercepatkan peralihan negara ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai sepenuhnya menjelang 2025, kerjasama dengan Touch ‘n Go untuk membolehkan lebih ramai pengguna memanfaatkan pembayaran digital dengan pengeluaran kad Visa. 

 

"Menerusi kerjasama ini, kami juga berharap untuk bersama-sama melancarkan tawaran perkhidmatan kewangan dengan Touch ‘n Go bagi segmen pengguna yang bukan pelanggan bank dan masih kurang diberi perhatian di Malaysia, dengan memanfaatkan capaian global rangkaian rakan niaga Visa," kata Pengurus Visa Malaysia, Ng Kong Boon.-DagangNews.com