Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 30 November 2020

aaa

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua.

 

 

SAYA akan bercerita tentang hibah bagi rumah yang masih dalam pinjaman ini dalam beberapa siri penulisan saya kerana bagi kefahaman tepat tentang isu ini, penjelasannya perlu tepat. Topik ini merupakan ‘pet topic’ saya dari tahun 2004. Sejak terlibat di dalam industri ini pada 1998, saya melihat dengan mata sendiri kesukaran yang dihadapi oleh waris-waris bila simati meninggal dunia dalam keadaan pinjaman perumahannya belum habis dibayar.
 

Atas kerana itulah Wasiyyah Shoppe Berhad mengambil inisiatif untuk melakukan penyelidikan ilmiah dengan memberi geran kepada Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengkaji isu hibah harta bercagar. Melalui dapatan penyelidikan ini, kami mendapati bahawa hukum syarak membenarkan harta yang masih bercagar kepada pembiaya dihibahkan namun ia terikat dengan syarat-syarat tertentu yang ketat.

 

Selepas melalui proses saringan ilmiah ketat, Wasiyyah Shoppe Berhad memperkenalkan perkhidmatan hibah harta bercagar kepada rakyat Malaysia. Topik ini sekarang menjadi  perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat. Aneka sudut dibahaskan oleh pelbagai pihak. Ada yang kata boleh dihibahkan dan ada juga yang berpandangan tidak boleh dihibah.

 

Mari kita ulas kesemua hujah ini secara objektif dan ilmiah.

 

Ada pihak yang berpandangan hibah bagi rumah yang masih dalam pinjaman bank/pembiaya tidak boleh dibuat kerana harta itu merupakan harta yang tidak milik sempurna (milk an naqis) pembeli rumah atas sebab ia telah dicagarkan kepada bank/pembiaya bagi tujuan menjamin hutangnya. 

 

Penulisan saya kali ini akan menghuraikan faktor ini sahaja iaitu faktor adakah harta yang dibeli secara pinjaman bank/pembiaya itu adalah milik sempurna atau bukan milik sempurna pembeli rumah. Secara umumnya, pemilikan harta dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu milik sempurna (milk al tam) dan pemilikan tidak sempurna (milk an naqis).

 

Pemilikan sempurna (milk al tam) bermakna pemilik harta memiliki harta itu secara mutlak. Dia bebas membuat apa sahaja ke atas harta itu dan dia juga boleh melakukan transaksi ke atasnya seperti menjual, mencagar, menghibah, mewaqaf, mewasiat dan sebagainya. Tiada kepentingan pihak lain ke atas harta itu kecuali kepentingan pemiliknya sahaja.

 

Pemilikan tidak sempurna (milk an naqis) pula bermakna pemilik tidak mempunyai hak mutlak ke atas harta dan tidak boleh berbuat sesuka hati ke atasnya. Ada kepentingan pihak lain ke atas harta itu yang menyekat pemiliknya dari melakukan transaksi ke atas harta itu. Jika ada apa-apa tindakan yang ingin dilakukan ke atas harta itu, maka kebenaran dari pihak yang berkepentingan tersebut perlu diperoleh.
 

 

WasiyyahShoppe

 

Ini asas kepada perbincangan kita dalam penulisan kali ini. Kita kena faham sepenuhnya apakah beza di antara pemilikan sempurna (milk al tam) dan pemilikan tidak sempurna (milk an naqis). Jadi persoalan kita hari ini, adakah rumah yang kita beli dan cagarkan semula kepada bank/pembiaya sebagai jaminan pembayaran hutan itu milik sempurna kita ataupun tidak?

 

Dalam membincangkan hujah ini kita tidak boleh lari dari melihat kepada pandangan mazhab Shafie mengenai cagaran. Shafie mengatakan bahawa manfaat harta yang dicagarkan adalah milik pencagar dan perbelanjaan menguruskan harta tersebut adalah tanggungjawabnya.

 

Harta yang dicagar itu tidak perlu sentiasa berada dalam jagaan pemegang cagaran sebaliknya boleh berada di dalam pegangan pencagar. Sebarang pertambahan nilai atau keuntungan dari harta itu adalah milik pencagar dan jika berlaku kerosakan, ia juga adalah risiko pencagar. Cagaran tidak menyebabkan hak milik harta berpindah milik dari pencagar kepada pemegang cagaran. 

 

Pandangan Shafie ini menunjukkan dengan jelas bahawa harta itu ialah milik sempurna pencagar dan bukannya milik bank/pembiaya. Buktinya? Pencagar (pembeli rumah) boleh sewakan rumah itu, nak cat, nak ubah suai malah nak jual pun boleh.

 

Yang tidak boleh dibuat ialah mencagarkan rumah itu kepada pihak ketiga kerana cagaran pertama kepada bank/pembiaya telah dibuat.

 

Di Malaysia, di dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Perak pada 2019, hakim menyatakan dengan jelas bahawa harta yang didalam pembiayaan bank adalah milik sempurna pembeli rumah dan hibah yang dibuat olehnya adalah sah. Begitu juga alasan penghakiman dari Mahkamah Syariah Negeri Sembilan  2015 dan Mahkamah Syariah Pahang 2015 yang juga mengesahkan hibah harta yang masih dalam cagaran dan menyatakan harta yang dihibah adalah milik sempurna pembeli rumah.

 

Kedua-dua pandangan Shafie dan keputusan Mahkamah Syariah yang saya nyatakan ini menunjukkan dengan jelas bahawa hujah harta yang dicagarkan kepada bank/pembiaya adalah pemilikan tidak sempurna adalah kurang tepat.  

 

BACA JUGA : Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami melihat isu ini amat kritikal kerana hampir 99% dari kita membeli rumah secara pinjaman. Apabila berlaku kematian kepada pembeli rumah dalam keadaan pinjamannya belum habis dibayar, pasangan dan anak-anaklah yang biasanya akan bertungkus-lumus menjelaskan baki pinjaman tetapi apabila habis dibayar, rumah itu menjadi milik waris-waris mengikut hukum faraid yang ada kalanya terdiri dari waris-waris selain dari pasangan dan anak-anak.

 

Walaupun waris-waris lain boleh takharruj (melepaskan bahagian masing-masing kepada sesiapa yang dikehendakinya), namun situasi ini kadang-kadang sukar dicapai atas sebab-sebab tertentu.

 

Keadaan menjadi semakin parah apabila waris-waris lain yang berhak ini pula meninggal dunia. Bahagian mereka ke atas rumah itu akan diwarisi pula oleh waris-waris mereka. Inilah punca kenapa di Malaysia terdapat ratusan orang waris berhak ke atas sekeping tanah. Keadaan ini menyukarkan dari segi pentadbiran harta pusaka itu sendiri dan tentunya berpotensi untuk bermasalah.

 

Jangan salah faham tentang penulisan saya ini. Hukum faraid itu tidak salah kerana ia adalah ketetapan Allah SWT dan wajib dipatuhi oleh kita sebagai orang Islam. Bahagian faraid itu juga wajib diserahkan kepada ahlinya. Hukum faraid datang dengan hikmah dan manfaat untuk semua pihak. Yang kerap menjadi masalah ialah apabila waris-waris lain yang menerima bahagian dalam faraid gagal memahami aspek tanggungjawabnya kepada tanggungan si mati.

 

Bapa saudara atau datuk yang menerima harta pusaka, tidak mempedulikan anak-anak saudaranya atau cucunya yang di bawah umur, walaupun mereka adalah wali kepada kanak-kanak itu. Di dalam fikiran mereka, wali itu hanyalah melibatkan pernikahan sahaja sedangkan konsep perwalian di dalam Islam adalah lebih besar dari itu. Mereka mahukan bahagian tetapi tidak faham tanggungjawab yang datang dengannya. Inilah antara punca kenapa rumah yang masih dalam pinjaman bank / pembiaya bermasalah apabila pembelinya meninggal dunia.

 

Anda nak menghibahkan harta anda yang masih bercagar kepada orang yang anda sayangi? Datanglah ke Wasiyyah Shoppe Berhad, kami bantu.

 

ariffinsabirin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA

BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?

Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah

Balu selalu tertindas bab pusaka?

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?

Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

 

 

 

 

Portfolio Tags