Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang ada pinjaman bank – Bahagian 3 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 7 December 2020
WasiyyahShoppe

 

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA MASIH YANG ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Ketiga

 

 

MINGGU lepas saya dah cerita tentang konsep pemilikan bagi rumah yang masih dalam pinjaman bank. Secara khususnya, mengikut pandangan mazhab Shafie, rumah yang masih di dalam pinjaman bank itu adalah milik sempurna (milk al tam) pembeli rumah itu walaupun ia telah dicagarkan kepada bank. Apabila ia milik sempurna pembeli rumah, maka bermakna bolehlah dia menghibahkan rumah itu kepada sesiapa yang diingininya.

 

Kepada pembaca yang mungkin kali pertama membaca artikel saya di bahagian ketiga ini tanpa membaca dari bahagian pertama, mungkin tertanya-tanya kenapa pula kita nak bersusah-payah menghibahkan rumah kita yang masih dalam pinjaman bank ini kepada pasangan atau anak-anak saya? Biarkan saja begitu, tak bolehkah?

 

BACA JUGA: Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian 1

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian 2

 

 

Saya terangkan sekali lagi untuk kefahaman semua kenapa sangat penting untuk anda hibahkan rumah anda yang masih ada pinjaman bank kepada pasangan atau anak-anak. Saya seorang suami dan ayah. Apabila saya berbelanja besar membeli rumah, dalam fikiran saya, saya membeli rumah itu untuk menjadi tempat berlindung pasangan dan anak-anak saya. Bukankah itu tanggungjawab seorang suami/ayah iaitu memberi nafkah tanggungan, makan pakai dan tempat perlindungan kepada tanggungannya?

 

Jika seorang suami itu meninggal dunia dalam keadaan rumah yang masih dalam pinjaman bank dan tiada hibah dibuat, maka semua harta pusakanya termasuk rumah itu adalah hak waris-waris mengikut hukum faraid. Waris-waris ini bukan hanya pasangan dan anak-anak saja, tetapi termasuklah ibubapa simati dan kadang-kadang adik-beradik simati.

 

Rumah yang masih ada baki pinjaman bank itu tetap perlu dilangsaikan hutangnya. Kalau tidak, bank akan lelong rumah itu. Walaupun ada takaful/insurans gadai janji, kebiasaannya jumlah pampasan takaful/insurans ini tidak mencukupi untuk menyelesaikan semua baki hutang. Pasangan dan anak-anak yang tinggal di rumah itulah yang terpaksa bertungkus-lumus menyelesaikan baki pinjaman bank dan bila telah langsai sepenuhnya, semua waris termasuk ibubapa dan adik-beradik simati berhak menuntut rumah itu mengikut bahagian faraid masing-masing. Keadaan ini akan menimbulkan banyak isu  dan konflik di antara mereka.

 

Jalan mudah untuk mengelakkan masalah ini dari berlaku ialah dengan cara suami hibahkan rumah ini kepada pasangan atau anak-anaknya hari ini. Bila telah dihibah, rumah itu tidak boleh dituntut oleh waris-waris lain. Pasangan atau anak-anaklah yang menjadi pemilik rumah ini. Mereka tetap perlu bersusah-payah menyelesaikan hutangnya namun rumah itu sudah menjadi milik mutlak mereka.

 

Berbaloilah mereka bersusah-payah nak menjelaskan hutang rumah itu dan terjagalah nasib mereka. Sebab itu selama 16 tahun, saya berusaha bersungguh-sungguh mendidik umat Islam Malaysia supaya menghibahkan rumah mereka kepada orang yang tersayang demi menjaga kebajikan mereka. Hibah rumah yang masih ada pinjaman bank tak boleh dibuat? Saya akan buktikan ia boleh dibuat.

 

Salah satu dari aspek penyelidikan yang dibuat Wasiyyah Shoppe Berhad bersama Universiti Kebangsaan Malaysia ialah kami mengkaji dari aspek kebenaran bank/pembiaya. Kami melihat kepada pandangan semua mazhab, kitab-kitab ulama muktabar, kes-kes yang telah diputuskan di Mahkamah Syariah dan juga menemubual hakim-hakim Mahkamah Syariah untuk mendengar pandangan mereka.

 

Ada pihak berhujah bahawa hibah yang dibuat bagi harta yang masih dalam pinjaman bank/dicagarkan kepada bank hanya sah jika mendapat kebenaran dari bank. Jika tidak mendapat kebenaran dari bank, maka hibah itu tidak sah.

 

Memang benar mengikut pandangan mazhab Shafie, harta yang telah dicagarkan kepada bank/pembiaya itu jika mahu dihibah atau dibuat apa sahaja transaksi maka ia mesti mendapat kebenaran dari bank/pembiaya sebelum akad hibah di antara pemberi dan penerima hibah dilaksanakan. Jika tiada kebenaran diperoleh,  maka hibah itu tidak sah.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Namun mengikut pandangan Hanafi pula kebenaran bank/pembiaya itu boleh diperoleh pada bila-bila masa selepas akad hibah termasuk selepas kematian pemberi hibah. Akad hibah yang dibuat tanpa kebenaran bank/pembiaya adalah tergantung (mawquf) dan bukannya tidak sah sebagaimana pandangan mazhab Shafie.

 

Timbul pula persoalan lain di sini, bukankah Malaysia mengikut pandangan Mazhab Shafie sahaja dan menolak pandangan mazhab lain? Pandangan ini sebenarnya kurang tepat kerana di dalam urusan muammalat, sejak sekian lama Malaysia telah mengguna pakai pandangan pelbagai mazhab selain Shafie termasuk dalam urusan perbankan Islam.

 

Malah sudah ada beberapa kes di Mahkamah Syariah yang mana di dalam alasan penghakimannya, hakim bersidang menyebut dengan jelas bahawa hakim mengguna pakai pandangan mazhab Hanafi dari segi bila kebenaran pembiaya perlu diperoleh dan menolak pandangan mazhab Shafie. Di dalam satu alasan penghakiman dicatat dengan jelas ilasan hakim, “Mengguna pakai pandangan Shafie semata-mata akan menyukarkan urusan penghartaan orang Islam di Malaysia. Oleh itu Mahkamah mengguna pakai pandangan Hanafi.”

 

Keputusan hakim Mahkamah Syariah ini sebenarnya selari dengan peruntukan Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri iaitu disebut dengan jelas bahawa selain pandangan mazhab Shafie, pandangan mazhab lain juga boleh diterima dalam mahkamah membuat rujukan kepada majlis fatwa negeri dalam hal-hal tertentu jika pandangan mazhab Shafie tidak bersesuaian dan bertentangan dengan kepentingan awam.

 

Malah di dalam peruntukan undang-undang tersebut dibenarkan juga untuk tidak mengikut mana-mana mazhab pun dengan cara ijtihad dibuat oleh majlis fatwa negeri. Amalan dan peruntukan undang-undang ini menunjukkan dengan jelas bahawa mahkamah boleh membuat keputusan bebas tanpa terikat secara rigid dengan pandangan mazhab Shafie terutamanya di dalam kes yang melibatkan hibah.

 

Penyelidikan ilmiah yang dijalankan Wasiyyah Shoppe Berhad menunjukkan bahawa mahkamah syariah dalam banyak keadaan melihat isu kebenaran dari bank/pembiaya ini dalam konteks adakah kepentingan bank/pembiaya akan terjejas jika hibah dibuat oleh pembeli rumah.

 

Di dalam alasan penghakiman satu kes hibah harta yang masih dalam pinjaman bank, mahkamah syariah mendapati bahawa walaupun hibah dibuat, kepentingan bank tetap terjaga kerana tiada perubahan Perjanjian dibuat bila hibah dibuat. Perjanjian masih kekal dan kepentingan bank terjaga. Dilihat juga oleh mahkamah syariah hakikat bahawa terdapat takaful yang menjamin bahawa baki hutang akan dilangsaikan jika berlaku kematian kepada pembeli rumah. Di atas wujudnya kedua-dua faktor ini mahkamah syariah mentafsirkan bahawa walaupun hibah dibuat, kepentingan bank/pembiaya tetap terjaga. Oleh yang demikian, mahkamah syariah meluluskan permohonan pengesahan hibah tersebut.

 

Para pembaca sekalian, janganlah terpengaruh dengan hujah mana-mana individu atau organisasi yang mengatakan hibah bagi harta yang masih dicagarkan kepada bank/pembiaya (yang masih ada pinjaman belum selesai) tidak sah. Tiada siapapun baik profesor universiti, ustaz, peguam, tokoh akademik, pakar perancangan harta atau sesiapa pun yang mempunyai kuasa untuk menentukan sesuatu hibah itu sah atau tidak.

 

Yang mempunyai kuasa mutlak menentukan keabsahan sesuatu hibah itu ialah mahkamah syariah. Hibah bagi harta bercagar ini sudah pun banyak disahkan oleh mahkamah syariah. Ini bukti jelas bahawa hibah ini adalah sah dan boleh kita guna pakai untuk menghibahkan harta itu kepada orang-orang tersayang.

 

Jadi apa lagi? Nak hibahkan rumah anda yang masih ada pinjaman bank? Silalah datang ke Wasiyyah Shoppe Berhad kerana Kami adalah organisasi yang pertama di Malaysia memperkenalkan hibah harta bercagar kepada masyarakat. Jom.    

 

ariffinsabirin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA

BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?

Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah

Balu selalu tertindas bab pusaka?

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?

Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

 

 

 

 

Portfolio Tags