Kekeliruan tentang hibah takaful | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 25 January 2021
wasiyyahshoppe

 KEKELIRUAN TENTANG  HIBAH TAKAFUL

 

 

DALAM penulisan sebelum ini, saya menceritakan tentang betapa pentingnya suami menjadi peserta takaful dan manfaat polisi itu dihibahkan kepada isteri. Tujuannya ialah supaya isteri dapat terus menggunakan wang manfaat takaful itu untuk menampung perbelanjaan hidup dirinya dan anak-anak.

 

Saya sebutkan juga sebelum ini walaupun hak isteri dan anak-anak terhadap harta pusaka simati (suami/ ayah) itu jelas di dalam hukum, namun proses undang-undang yang perlu dilalui oleh mereka sebelum harta pusaka itu boleh dinikmati adalah agak panjang.

 

Jadi saya galakkan para suami di luar sana untuk menyertai takaful sebagai peserta dan hibahkan manfaat itu kepada isteri. Selain manfaat dapat diterima dengan cepat, manfaat yang telah dihibahkan juga tidak menjadi harta pusaka dan tidak perlu diagihkan kepada waris lain mengikut hukum faraid.  

 

ANEKDOT MAWARITH 18 JANUARI 2021: WAHAI SUAMI ! ANDA MESTI ADA POLISI TAKAFUL !

 

Tapi ada pulak suami yang tanya saya, kalau dia menghibahkan manfaat takafulnya kepada isteri dan selepas dia mati isteri itu menerima RM1 juta manfaat takaful, adakah manfaat itu milik mutlak isteri? Boleh tak semasa hidup suami arahkan isteri untuk buat sesuatu dengan manfaat takaful? Contohnya dia minta isteri tolong bayarkan hutang dia, bagi duit kepada ibu bapa dia, sedekahkan sebahagian manfaat itu kepada masjid atau arahan-arahan yang lain. Adakah isteri tertakluk dari segi hukum mahupun undang-undang untuk akur permintan suami?

 

Di sinilah ramai orang silap. Apabila manfaat takaful telah dihibahkan oleh suami kepada isterinya, maka ia adalah milik mutlak isteri bersesuaian dengan maksud hibah itu sendiri iaitu pemberian semasa hidup di atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

 

Apa maknanya? Maknanya tiada sesiapapun boleh meminta isteri itu membuat apa dengan manfaat takaful itu walaupun suami sebagai peserta takaful! Jika isteri ingin bertindak memenuhi permintaan suami, itu ialah di atas pilihannya. Hukum hibah tidak menetapkan isteri wajib memenuhi permintaan itu. Isteri bebas menggunakan manfaat takaful itu sesuka hatinya.

 

Sebenarnya peruntukan di dalam Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang berkaitan dengan pengurusan manfaat takaful itu agak lengkap dan menyeluruh. Cuma kita kadang-kadang tidak faham bagaimana menggunakannya.

 

Ramai orang yang menjadi peserta takaful ialah orang muda yang masih mempunyai liabiliti yang banyak seperti hutang rumah, hutang kereta, hutang kad kredit dan macam-macam hutang lagi. Jadi pastinya dia mahukan sebahagian dari manfaat takafulnya digunakan untuk membayar hutang. Jika itulah hasratnya, maka hibah takaful tidak menjamin hutang dibayar.

 

Sebenarnya kaedah tepat untuk bayar hutang dari manfaat takaful ialah dengan meletakkan penama dan bukan penerima hibah untuk manfaat takaful anda. Berbeza dengan kaedah hibah yang mana manfaat takaful menjadi milik mutlak isteri sebagai penerima hibah, jika isteri diletakkan sebagai penama, manfaat itu bukan milik dia sepenuhnya. Dia hanya menerima manfaat itu sebagai wasi sahaja.

 

Ramai orang salah anggap kerana menganggap tugas wasi untuk manfaat takaful ini hanyalah untuk mengagihkan manfaat itu kepada waris faraid semata-mata. Sebenarnya wasi kepada manfaat takaful ini perlu menyerahkan wang manfaat takaful itu kepada wasi harta pusaka simati (sekiranya mereka adalah orang yang berbeza).

 

wasiyyahshoppe

 

 

Menjadi tanggungjawab wasi harta pusaka untuk mengumpulkan semua harta pusaka bersifat tunai termasuk manfaat takaful itu bagi digunakan untuk menjelaskan obligasi simati seperti membayar semua hutangnya. Bukan sekadar hutang bank atau organisasi, ia termasuk juga hutang kepada individu dan hutang kepada Allah SWT seperti nazar, zakat yang tidak dibayar, kafarrah dan termasuklah upah haji.  

 

Selepas segala hutang itu dibayar, barulah bakinya jika ada, diagihkan kepada semua waris mengikut bahagian faraid masing-masing. Kesian simati jika manfaat takafulnya yang banyak itu diagih terus kepada waris-waris tanpa dijelaskan hutangnya. Maka tergantung-gantunglah rohnya kerana hutang tak dijelaskan, walhal wangnya ada !

 

Tapi bagaimana pula jika peserta takaful itu mahukan manfaat takafulnya digunakan bagi pembayaran hutang, sedekah atau pemberian kepada ibubapanya yang masih hidup tapi dalam masa yang sama masih mahukan manfaat itu hanya dinikmati oleh pasangan dan anak-anaknya?

 

Kalau peserta takaful mahukan manfaat takaful itu diurus dan diagih mengikut kemahuan dan keperluannya tanpa tertakluk kepada faraid, maka apa yang perlu dibuat mereka ialah dengan menyerahhakkan manfaat takaful itu kepada syarikat amanah profesional seperti Wasiyyah Shoppe Berhad. Kaedah ini juga dinyatakan di dalam Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Ada borang dan prosedur yang boleh anda peroleh dari syarikat takaful anda bagi tujuan ini.

 

Apabila peserta takaful telah menyerahhakkan polisi itu kepada Wasiyyah Shoppe Berhad, dia boleh memberi arahan kepada Wasiyyah Shoppe Berhad tentang bagaimana manfaat takaful itu diagih dan diuruskan melalui satu surat ikatan amanah. Selepas peserta meninggal dunia, manfaat akan diterima oleh Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai penerima hak.

 

Segala arahan peserta takaful seperti pembayaran hutang, sedekah jariah, pemberian wang kepada ibubapanya, pembayaran wang sara hidup untuk pasangan dan anak-anak secara bulanan, tanggungan belanja perubatan, pendidikan dan kebajikan pasangan dan anak-anak serta apa sahaja arahan, akan dilaksanakan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat profesional.  

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sudahpun menjadi penerima hak bagi ramai peserta takaful di Malaysia yang memahami konsep penyerahhakkan ini. Mereka dapat melihat betapa kaedah ini adalah kaedah paling tepat untuk mencapai hasrat penggunaan manfaat takaful mereka.

 

Peserta takaful mesti faham penggunaan semua kaedah pengurusan manfaat takaful mengikut Jadual 10 ini supaya anda boleh mengadaptasi kaedah yang paling sesuai dengan keperluan  anda.

 

Kepada perunding takaful pula, berilah nasihat yang tepat kepada pelanggan anda. Manfaat takaful bukan hanya boleh dihibah. Ia boleh diletak penama bagi menyelesaikan hutang atau diserahhakkan kepada syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad bagi mencapai apa sahaja keperluan pelanggan. Berilah nasihat yang betul.   - DagangNews.com

   

 

ariffinsabirin
HJ ARIFFIN SABIRIN adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Ada apa dengan TANGGUNGJAWAB?

FARAID DAN TANGGUNGJAWAB

TERUKNYA TANGGUNGJAWAB WASI HARTA PUSAKA

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

 

 

 

Portfolio Tags