Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 22 March 2021

Jangan jadi seperti ahli politik dalam menguruskan harta pusaka 

 

MALAYSIA adalah antara negara yang paling ribut politiknya. Kita kerap dengar cerita pemimpin parti politik buat sidang media mengatakan ada nombor dan boleh menjadi kerajaan hari ini.

 

Hari-hari juga kita dengar cerita pemimpin itu rasuah, pemimpin ini salahguna kuasa, pemimpin itu liberal, pemimpin ini ekstrem. Sebagai rakyat senak kepala kita dengar cerita-cerita politik ini.

 

Bila sampai masa PRU-15 nanti, kita pilihlah pemimpin yang tak banyak cakap tapi banyak bekerja sebab kita pilih mereka pun kerana kita nak  suruh mereka bekerja untuk kita bukan untuk mereka berpolitik 24 jam. Apapun itu pilihan peribadi masing-masing. Kita meraikan perbezaan pendapat.   

 

ariffinsabirin

 

Jangan panik. Saya bukan pengulas politik dan tidak berniat pun nak mengulas hal politik. Mukadimah itu hanyalah untuk menyuntik sedikit drama dalam penulisan ini. Saya nak menunjukkan bahawa dalam dunia politik, ahli politik sanggup buat ‘apa sahaja’ walaupun melanggar undang-undang, moral atau etika semata-mata kerana mahukan kuasa. Kuasa adalah segala-galanya kepada mereka.  

 

Di dalam urusan harta pusaka juga ada politiknya. Ini POLITIK PUSAKA. Saya sudah bergelumang dengan politik ini semenjak 23 tahun yang lepas.

 

Setiap waris ada karektornya masing-masing termasuklah yang berkarektor macam ahli politik. Jika pemimpin politik berebut kuasa, ahli politik pusaka pula berebut harta pusaka. Mereka juga sanggup membuat apa sahaja seperti ahli politik bagi mendapat bahagian harta pusaka yang lebih.  

 

Satu kes yang saya temui, abang ipar (suami kepada kakak yang sulung) yang paling banyak bercakap sepanjang perbincangan keluarga yang saya kendalikan. Dari kad nama yang dihulurkan kepada saya, dia ni berjawatan tinggi di sebuah syarikat GLC.

 

Selepas bertanya, saya juga dapati bahawa 3 anak simati (satu perempuan dan dua lelaki) bekerja biasa-biasa sahaja. Kakak sulung (isteri kepada abang ipar tadi) seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi. Adik lelaki bongsu pula tinggal di kampung mengusahakan kebun arwah ayah yang telah ditukar nama kepadanya semasa ayah masih hidup.

 

Harta pusaka yang dibincangkan ini ialah milik arwah ibu yang terdiri wang tunai di ASNB, Tabung Haji, bank dan beberapa keping tanah kebun.  

 

Dalam perbincangan, waris-waris faraid iaitu anak-anak simati saya perhatikan tak banyak bercakap dan bertanya termasuklah kakak sulung.

 

wasiyyahshoppe

 

Abang ipar Inilah yang sibuk menyusun supaya harta pusaka ibu mertuanya dibahagikan begitu begini dan memberikan hujahnya kenapa harta pusaka itu perlu diagih sedemikian rupa. Saya mendengar dengan teliti cadangan abang ipar ini dan saya dapati cadangan itu sebenarnya banyak memihak kepada isterinya.

 

Dihujahkannya semasa arwah ibu sakit, kakak sulunglah yang paling banyak membantu memberi belanja perubatan dan sara diri. Itu semua ‘hutang’ arwah ibu kepada kakak sulung katanya. Jadi hutang perlu dijelaskan dahulu sebelum harta pusaka diagihkan. Siap keluar ayat al-Quran lagi bagi menyokong hujahnya.

 

Siap dibuat kiraan tepat berapakah jumlah RM yang telah dikeluarkan iaitu hampir RM70,000 sepanjang ibunya sakit terlantar selama beberapa tahun.  Wang tunai milik arwah ibu di ASNB, tabung haji dan bank hanyalah sekadar RM25,000. Jadi kata abang ipar, semua wang tunai arwah mestilah diserahkan kepada isterinya untuk menjelaskan hutang itu.

 

Tanah-tanah milik arwah pula dianggarkan bernilai RM200,000. Abang ipar ini terus berhujah baki RM45,000 yang arwah ibu ‘masih berhutang’ perlulah dikontra dari tanah-tanah yang ada.

 

Selepas dikontra semua hutang RM70,000 itu, maka barulah bakinya diagihkan secara sama rata supaya adil, hujah abang ipar ini. Kakak sulung hanya mengangguk mengiyakan pandangan suaminya.

 

Saya hanya tersenyum mendengar hujah cerdik si abang ipar yang sekali imbas kelihatannya logik dan masuk akal juga bagi orang yang tidak berapa mahir selok-belok hukum harta pusaka.

 

Persis  seorang ahli politik yang sedang berceramah di pentas dengan ‘fakta’ (atau auta?), si abang ipar beria-ria meyakinkan  adik-adik iparnya itulah cadangan yang terbaik.

 

Saya memandang si adik-adik ipar untuk melihat reaksi mereka. Seakan ada riak tidak puas hati di wajah namun mereka tidak berkata apa-apa. Mengesan ada suasana tegang dalam senyap, saya bertanya secara terbuka adakah adik-adik ipar ini selesa abang ipar itu ada di dalam perbincangan itu.  

 

wasiyyahshoppe

 

Perlahan-lahan mereka mengatakan mereka lebih selesa jika hanya mereka adik-beradik sahaja yang terlibat. Lagipun abang ipar itu bukanlah salah seorang dari waris dan tiada kaitan dengan harta pusaka itu.

 

Jadi dengan cara terhormat saya meminta abang ipar untuk keluar dari perbincangan itu supaya kerja saya menasihatkan adik-beradik ini jadi lebih mudah. Dengan muka tidak puas hati dan merengus si abang ipar keluar dari bilik tersebut.

 

Saya menjelaskan dengan terperinci bahawa sama ada RM70,000 itu menjadi hutang atau tidak bergantung kepada akad di antara kakak sulung dengan arwah mak. Adakah mereka pernah berakad bahawa pemberian itu berbentuk hutang? Jawapan kakak sulung, “Tidak. Kami tidak berakad apa-apa kerana pada ketika itu arwah ibu pun sudah separuh sedar dan tidak boleh bercakap.”

 

Saya bertanya lagi, adakah memang kakak sulung berniat dalam hati bahawa segala pemberian wang yang diberikan untuk menampung belanja perubatan dan sara diri arwah ibunya itu adalah hutang? Jawapannya, “Tidak. Ini tanggungjawab saya sebagai anak memandangkan rezeki saya lebih murah dari adik-adik yang lain. Saya nak berbakti kepada ibu saya.”

 

Mendengar jawapan itu maka jelaslah kepada semua adik-beradik cadangan si abang ipar tadi sebenarnya tidak tepat walaupun dia berhujah dengan penuh keyakinan.  Walaupun begitu adik-beradik ini akhirnya bersetuju harta pusaka itu dibahagikan sama rata antara mereka selepas diterangkan bahagian faraid masing-masing.

 

Sesi perbincangan ini berjalan lancar dan berakhir dengan permuafakatan yang mengukuh silaturrahim tanpa penglibatan si ahli politik (abang ipar) tadi. Alhamdulillah.       

 

Nampak tak persamaan di antara ahli politik dan ahli politik pusaka? Apabila kedua-duanya bersuara, maka haru-birulah jadinya. Oleh itu cuba elakkan ahli politik pusaka dari terlibat. Wasiyyah Shoppe Berhad boleh membantu Insya-Allah.

 

ariffinsabirin
Tuan Haji Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags