Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 7 February 2022

JANGAN CEBURI BIDANG PEWARISAN HARTA JIKA KEJAR WANG DAN GLAMOR

 

 

 

“Apalah yang seronok sangat bekerja di dalam bidang pewarisan harta ini sampai saya boleh bertahan sehingga 24 tahun lamanya? Oooo patutlah boleh bertahan, untungnya banyak!” 

 

Ini komen kawan-kawan bila bertemu saya. Mereka terlihat kenyataan media  rasmi saya berkaitan prestasi kewangan Wasiyyah Shoppe Berhad bagi tahun kewangan 2020/21 yang merupakan rekod terbaik kami semenjak ditubuhkan pada 2004.

 

Mereka sebenarnya hanya melihat kepada pencapaian Wasiyyah Shoppe Berhad selepas 17 tahun beroperasi.

 

Mereka membuat andaian keuntungan banyak ialah motif utama kenapa saya bertahan begitu lama dalam bidang ini.

 

Apa yang mereka tidak nampak ialah perjalanan penuh ranjau dan duri yang telah saya lalui lima belas tahun pertama operasi Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Betapa banyak masa, tenaga, wang dan emosi yang  telah dikorbankan di dalam membawa Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga ke tahap ini tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun.

 

 

Wasiyyah
Berita penuh klik di sini: Wasiyyah Shoppe catat untung tertinggi FY2021

 

 

Dua tahun pertama beroperasi, di dalam keadaan saya sudah pun mempunyai keluarga kos-kos kehidupan untuk ditanggung, saya tidak mempunyai gaji yang stabil dari Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Ketika itu saya berfikir syarikat masih baru dan keyakinan masyarakat masih rendah terhadap kami. Malah masyarakat tidak tahu pun apa itu faraid dan wasiat jauh sekali memahami apa itu hibah.

 

Jadi semua pendapatan Syarikat dilaburkan semula untuk membina pelbagai sistem dan belanja operasi. Saya pastikan semua gaji kakitangan saya dibayar terlebih dahulu sebelum saya mengambil elaun.

 

Dalam banyak ketika, gaji staf lebih banyak dari elaun saya sendiri. Jika ada baki selepas gaji kakitangan dan kos overhead, barulah saya mengambil sedikit elaun dari Syarikat itu pun apabila keperluan mendesak timbul.

 

Malah dalam banyak keadaan, sayalah yang terpaksa mencari jalan untuk mendapatkan dana bagi menampung operasi Syarikat.

 

Ada orang tanya bagaimana saya hidup tanpa pendapatan di dalam tempoh dua tahun pertama operasi ini? Jawapan saya ialah saya pun tidak tahu.

 

Apa yang saya tahu ialah terus bekerja dan berkorban segala-galanya untuk Wasiyyah Shoppe Berhad. Dengan kuasanya, Allah SWT sentiasa mencukupkan keperluan saya dan keluarga dari pelbagai sumber yang tidak disangka-sangka ketika itu. 

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin membuat taklimat dalam gambar bertarikh Mac 2014. - Gambar Nur Fadhlina Mohd Ariffin

 

 

Lima tahun pertama beroperasi ketika sambutan masyarakat semakin baik, kami berdepan pula dengan ujian fitnah dari orang-orang yang saya latih sendiri untuk berkemahiran di dalam bidang ini.

 

Mereka berfikir kerana ilmu bidang ini telah mereka ketahui dari saya, maka tiada keperluan lagi untuk mereka terlibat dengan Wasiyyah Shoppe Berhad. Mereka sendiri boleh menubuhkan syarikat dan  beroperasi seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Saya tiada masalah tentang hal ini kerana pada saya ada terlalu ramai orang Islam di luar sana yang perlu dibantu dalam urusan perancangan harta dan pengurusan pusaka.

 

Jika ilmu yang saya kongsikan digunakan mereka untuk membantu ummah, saya yakin Insya-Allah akan ada sedikit saham untuk saya juga.

 

Pasaran terlalu luas dan mustahil Wasiyyah Shoppe Berhad boleh memberi perkhidmatan kepada semua orang Islam di Malaysia.

 

Namun apa yang saya sedikit terkilan ialah taktik mereka.

 

Mereka telah berkomplot memburukkan Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam pasaran dengan melontarkan pelbagai fitnah. Suasana sangat mencabar ketika itu dan kami terpaksa bekerja keras untuk mengembalikan semula keyakinan masyarakat. Alhamdulillah ujian ini juga telah berjaya kami lalui dengan izin Allah.     

 

Wasiyyah
                                     Sesi penerangan ke sebuah jabatan kerajaan di Perlis pada 2016. Gambar Muhammad Samir

 

Di celah-celah segala ujian berat ini, selama 17 tahun kami juga telah bekerja keras dan mengeluarkan modal yang sangat banyak untuk memperbaiki semua aspek operasi dan kepatuhan Syariah perkhidmatan dengan bantuan Panel Syariah.

 

Kami tahu apa yang kami lakukan ini bukanlah satu perniagaan untuk mengejar keuntungan semata-mata malah ia adalah satu ibadat fardu kifayah dan amanah yang disandarkan ke bahu kami.  

 

Sistem-sistem yang bersifat ‘breakthrough’ dan inovatif telah dibangunkan dengan pelaburan yang sangat banyak.

 

Semua perkhidmatan yang dijanjikan kepada pelanggan  mestilah  diberikan mengikut akad dan spesifikasi yang telah dipersetujui bersama.

 

Segala pengorbanan dan kerja kuat berbelas tahun lamanya akhirnya dimanifestasi oleh prestasi kewangan Wasiyyah Shoppe Berhad pada tahun kewangan 2020/21.

 

 

Wasiyyah
Tn Hj Ariffin Sabirin dalam satu sesi taklimat di Johor pada 2017

 

 

Walaupun saya melihat dengan mata kepala sendiri perkembangan positif  industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia semenjak 1998, saya tidak pernah menjanjikan bahawa bidang ini akan menjadikan seseorang itu jutawan.

 

Saya tidak pernah menunjukkan wang yang banyak, kereta mewah dan rumah banglo sebagai umpan untuk mengajak sesiapa menyertai Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Pengalaman 24 tahun saya menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang mengejar wang dan glamor di dalam bidang ini akan kecewa dan akhirnya mengibarkan  bendera putih.

 

Mereka akan dapati industri ini tidaklah semudah dan semewah seperti yang disangkakan. Rupanya ia amat susah dan mencabar !

 

Sebagai perintis industri ini, saya tahu bahawa pengorbanan yang perlu dilakukan oleh sesiapa sahaja yang ingin menceburi bidang ini adalah amat besar.

 

Saya telah dan sedang melaluinya. Wang, tenaga dan masa yang terpaksa dilabur dan dikorbankan bagi belajar pelbagai ilmu yang berkaitan adalah amat banyak sekali.

 

Proses mendidik masyarakat tentang ilmu ini juga memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Ia tidak semudah kita bercakap 10 minit dan masyarakat terus faham dan melanggan perkhidmatan kami.

 

 

Wasiyyah
Ezmah Azmalina Mohd Ezmi dalam sesi `mengira' bersama CEO pada 2018.

 

 

Ini bukan menjual makanan segera yang hanya perlu diiklankan dan pelanggan akan datang untuk merasinya.

 

Ada ketikanya berjam-jam masa diperlukan untuk penerangan dan perjumpaan dengan pelanggan pula terpaksa dilakukan berulang kali.

 

Segala aspek hukum syarak dan undang-undang sivil berkaitan mesti diperincikan supaya masyarakat faham sepenuhnya.

 

Jika 20 tahun dahulu kami terpaksa bekerja keras memberi penerangan kerana masyarakat tidak faham mengenai harta pusaka, hari ini walaupun sudah ada sedikit kefahaman namun wujud pula kekeliruan kerana sebaran pelbagai sumber maklumat yang tidak sahih.

 

Masih kami perlu bekerja keras bagi penerangan sejelas-jelasnya juga.   

 

 

Wasiyyah
Kausar Group dinobatkan sebagai pemenang ANUGERAH KHALIFAH 2019 anjuran Wasiyyah Shoppe Bhd pada Feb 2020.

 

 

Menceburi bidang ini ibarat larian marathon berpuluh kilometer jauhnya yang memerlukan stamina yang amat tinggi dan memakan masa berjam-jam lamanya tanpa kepastian sama ada  kita akan menang di garisan penamat atau tidak.

 

Kita tahu penat bagaimana sekalipun, larian ini tetap perlu diteruskan dengan semua kudrat yang ada.

 

Pesanan saya kepada sesiapa sahaja yang ingin menceburi industri perancangan harta dan pengurusan pusaka ini ialah siapkan mental, fizikal dan rohani anda kerana ujiannya amat berat.

 

Perbetulkan niat dari awal bahawa anda menceburi bidang ini ialah untuk membantu umat Islam merancang harta mereka mengikut kaedah Syariah untuk mengejar keredaan Allah SWT. Insya-Allah jika niatnya sudah betul, rezeki akan datang menyusul.

 

Tetapi jika anda berfikir menceburi industri ini akan menjadikan anda jutawan glamor dalam jangka masa yang pendek, lupakan sahaja. Buat kerja lain ya.    

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags