IPO bukan punca kejatuhan Felda - FGV | DagangNews Skip to main content

IPO bukan punca kejatuhan Felda - FGV

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 20 Okt. - FGV Holdings Bhd. menegaskan langkah penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada 2012 bukan punca kegagalan dan kejatuhan Felda selama ini. 

Malah, syarikat perladangan ini berkata, isu sebenarnya adalah penggunaan hasil pendapatan daripada tawaran awam permulaan (IPO) dan bukan IPO itu sendiri. 

Jelasnya, Felda memperoleh RM5.7 bilion daripada IPO ini manakala FGV pula RM4.5 bilion.

"Bagaimanapun, FGV tidak dapat mengulas bagaimana Felda menggunakan hasil daripada IPO ini. Malang bagi FGV, apabila sebahagian daripada hasil tidak dilaburkan dengan baik. 

"Sehingga akhir 2018, FGV telah membuat rosot nilai besar berjumlah RM780 juta untuk pelaburan baharu tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam laporan Berita Harian semalam, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata, pendapatan Felda daripada keuntungan operasi ladangnya mula merosot sejak 2012 selepas FGV disenaraikan di Bursa Malaysia. 

Pada 2019, ia hanya merekodkan keuntungan sebanyak RM16.51 juta.

Jumlah itu, jauh berbeza daripada yang pernah dicatatkan Felda sebelum itu dengantertinggi pernah dicapai pada 2011, iaitu RM1.85 bilion.

Sebelum ini, keuntungan berbilion ringgit bukan sesuatu yang baharu buat Felda malah sejak 2007, keuntungan operasi ladang Felda semuanya melepasi paras RM1 bilion kecuali pada 2009 yang mencatatkan RM854 juta.

Idris berkata, selepas FGV disenaraikan, ia (keuntungan Felda) mula jatuh dengan banyak sehinggakan apabila Felda terpaksa berhutang dengan bank dan hingga kini mencecah RM10 bilion.

Ini mendorong Felda untuk mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV menerusi perjanjian pajakan tanah (LLA) dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

Mengenai perkara berkenaan, FGV menjelaskan, ketika LLA ditandatangani pada 2011, harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras sekitar RM3,000 per tan dan unjuran pendapatan Felda (melalui LLA) menggunakan harga RM2,800 per tan. 

Katanya, harga MSM memainkan peranan penting dalam menentukan keuntungan atau kerugian syarikat.

"Selepas IPO tahun 2012, pembayaran kepada Felda daripada FGV tidak menepati unjuran Felda kerana penurunan harga MSM.

"Hasil pada tandan buah segar (TBS) pula lebih rendah daripada dijangkakan kerana 50% pokok-pokok yang diwarisi FGV pada 2012 dianggap sebagai pokok tua (lebih daripada 21 tahun). 

"Tambahan pula, 15,000 hektar tanah setiap tahun diperuntukkan untuk penanaman semula turut menyumbang kepada pengurangan pendapatan FGV," katanya. 

Perbelanjaan penanaman semula untuk kawasan seluas 15,000 hektar adalah dalam lingkungan RM300 juta setahun manakala kos pembajaan dan pemulihan berjumlah RM300 juta setahun.

Namun, jelas syarikat itu, FGV memilih untuk menanam semula dan menaik taraf ladang-ladang untuk mencapai kelestarian jangka panjang. 

"Hasilnya, FGV telah berjaya mengurangkan peratusan pokok tua sekitar 30%. Tanah LLA lebih elok dan bertambah baik berbanding dengan apa yang diberikan kepada FGV semasa IPO," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, kenyataan Felda bahawa ia harus menerima RM800 juta setahun daripada LLA adalah tidak benar.

"Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jumlah yang perlu dibayar kepada Felda adalah RM248 juta setahun serta 15% keuntungan operasi daripada tanah LLA," jelasnya.

Menurut FGV, sehingga ke hari ini, tanggungjawab FGV kepada Felda (menurut LLA) berjumlah RM248 juta setahun telah dipenuhi sepenuhnya yang mana FGV telah membayar lebih daripada RM2.5 bilion kepada Felda sejak 2012 hingga 2019.

Bagaimanapun, syarikat itu memberitahu, sekiranya Felda berhasrat ingin membeli kilang-kilang kelapa sawit FGV, ia harus berdasarkan 'pembeli bersedia, penjual bersedia' dan nilai pasaran semasa. 

"Ia juga memerlukan kelulusan pemegang-pemegang saham yang lain melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

"Namun, buat masa ini, Felda belum lagi menghubungi pihak FGV untuk berunding perkara berkaitan LLA. Di bawah syarat perjanjian, penamatan LLA dibenarkan," katanya.

Tambah FGV, sekiranya Felda mengeluarkan notis tentang perkara ini, FGV akan mengikuti prosedur yang telah dinyatakan dalam LLA tersebut.

Aset-aset yang terlibat dalam LLA adalah ladang-ladang, dan tidak termasuk kilang-kilang kelapa sawit milik FGV.

Menerusi nota penyelidikan AmInvest, ia menganggarkan Felda perlu membayar pampasan sehingga RM4.3 bilion jika mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah ladangnya yang dipajakkan kepada FGV. - DagangNews.com