Wacana Strategi KPT: Pahit Dalam Kebenaran | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 12 January 2024

Wacana Strategi KPT: Pahit Dalam Kebenaran

 

 

 

WACANA Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah berlangsung pada 5 hingga 6 Januari 2024 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

 

Diteliti pelaksanaan program ini sememangnya menjadi tuntutan dan asas aspirasi nasional di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dalam menjadikan negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan dapat memberikan kehidupan lebih baik kepada segenap lapisan rakyat.

 

Wacana ini seharusnya menjadi panduan untuk industri pendidikan tinggi negara memeta hala tuju serta melihat semula pemugaran idea baharu sektor pendidikan tinggi Malaysia yang  melibatkan penyertaan institusi pendidikan tingi awam mahu pun swasta.

 

Objektif pelaksanaan wacana iniperlu memberikan penekanan bagi merangka hala tuju strategik KPT berdasarkan aspirasi Perdana Menteri serta pemegang taruh KPT; menyelaras semula pelaksanaan strategi KPT; mencadangkan program dan inisiatif berdasarkan kluster perancangan hala tuju KPT; serta membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan penyelesaian.


 

infiniti

 


Di dalam wacana dapat dilihat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato Seri Zambry Abdul Kadir dan Perdana Menteri Malaysia sepakat untuk memperkasa budaya keilmuan berasaskan insaniah dan mempunyai kejiwaan di institusi pengajian tinggi.

 

Mereka bersama sama sepakat mengupas buku karangan Harry R. Lewis tentang bencana kependidikan yang sedang menimpa Universiti Harvard,“Excellence Without a Soul” (Kecemerlangan Tanpa Roh), dimana ia tepat untuk menggambarkan gejala global dari segi krisis pendidikan tinggi yang kehilangan esensi, erti hakiki dan misi asasinya iaitu memanusiakan manusia.

 

Melalui wacana ini banyak kepincangan yang didedahkan oleh Harry R. Lewis, Profesor yang pernah menjadi Dekan di Harvard itu dibincangkan, dan sememangnya pada hakikat bukan hanya kepincangan Harvard, tetapi kepincangan universiti-universiti di seluruh dunia secara global umumnya.

 

Sememangnya demikianlah hakikatnya, ucapan PM dan Menteri Pengajian Tinggi yang mengupas tentang budaya tiada hala tuju , merupakan bencana kehilangan arah pengajian tinggi telah melanda arena global. Apa yang terjadi kepada Harvard adalah cerminan apa yang terjadi kepada IPT dunia.

 

Benar buat masa ini, institusi-institusi pengajian tinggi umumnya tetap berjaya memberikan pengetahuan dan kemahiran, tetapi ternyata gagal melaksanakan misi asasi pendidikan iaitu pengutuhan dan penyempurnaan insan seperti yang dikatakan karamah insaniah atau memanusiakan manusia.


 

infiniti

 


Kebanyakan pimpinan besar universiti terkemuka dunia umumnya lebih banyak berkisar pada masalah-masalah dunia, kepentingan ilmu, kerja kuat dan kejayaan; tetapi amat sedikit sekali dalam kalangan pemimpin akademik ini yang menyentuh persoalan tentang kekuatan peribadi, integriti, kasih-sayang, kerjasama dan bagaimana untuk hidup dalam dunia yang lebih baik.

 

Semakin besar nama sesebuah universitinya, semakin sengit pula ia bersaing meraih kemenangan di kancah pasaran dan di arena perebutan dana penyelidikan, tetapi ketika itu jugalah mengurangnya pembicaraan yang serius tentang pembinaan watak pelajar.

 

Menyemai dan Memupuk Pengutuhan Keinsanan

Melihatkan latar belakang persaingan dunia pengajian tinggi global yang sedemikian rupa, ini menambah keyakinan kita terhadap relevanannya Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi ini untuk dipandang penting sebagai pengembang misi pengutuhan dan penyempurnaan insan.

 

Sesungguhnya komitment semua pemegang taruh bukanlah kini suatu piIihan, tetapi suatu kewajipan kemanusiaan dan mengekal peradaban.

 

Kini ahli akademik diperlukan kembali semula kepada melaksanakan tanggungjawab pendidikan keinsanan dalam erti pengembalian insan kepada kemurnian (nilai murni) dan keunggulan fitrahnya sebagai makhluk sebaik-baik kejadian (ahsani taqwim).


 

infiniti

 


Kekal Sebagai Manusia Berprinsip Berpaksi Ilmu

Sebagai seorang ahli akademik mungkin akan ada kecewaan seandainya mereka terlupa sebahagian daripada kurikulum pengajian semasa mengajar tetapi mereka pastinya akan sangat kecewa seandainya mereka gagal membenarkan pelajar mereka meninggalkan institusi pengajian sebagai seorang manusia yang lebih baik berbanding sebelum beliau memasuki institusi pengajian tinggi.

 

Justeru, pendidikan keinsanan adalah misi terbesar perubahan yang di tuntut.

 

Institusi pendidikan yang dibina di atas kesedaran untuk membebaskan manusia dari kegelapan kepada kecerahan melalui ilmu, akan selamanya komited terhadap misi perubahan.

 

Mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang berfikir ini adalah satu omongan kosong, bahawa kita sebenarnya hanya bermimpi.

 

Perubahan apalah yang dapat dilakukan oleh orang kecil seperti kita. Mungkin benar, ketika ini kita sedang bermimpi. Tetapi bersyukurlah, kita masih berani bermimpi untuk berubah. Siapa tahu sewaktu bermimpi ini akan menjadi realiti.


 

parafrasa

 


Semua pihak yang terlibat jangan terlupa sebenarnya negara masih memiliki potensi kekuatan raksaka yang berupa generasi muda yang perlu diurus dengan baik.

 

Masyarakat pastinya akan sangat berbahagia menyaksikan para graduan menjadi insan yang berakhlak mulia atau yang disebut orang sebagai orang baik.- DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

 

 

 

Portfolio Tags