Tingkatkan kepuasan pelanggan semasa berniaga di bulan Ramadan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 22 March 2024

Tingkatkan Kepuasan Pelanggan Semasa Berniaga di Bulan Ramadan

 

 

 

HARGA makanan dan minuman di kebanyakan bazar Ramadan terutama di kawasan bandar dikata kini menonjak sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu ekoran peningkatan kos operasi.

 

Apabila kos meningkat nilai perkhidmatan yang diberikan pada pelanggan perlu diberikan dalam keadaan terbaik.

 

Para pengusaha bazar ramadan masih terus menjadi pilihan meskipun saban hari kita dihidangkan dengan perkongsian penbeli yang tidak berpuas hati terbeli makanan yang didakwa basi, hangit dengan harga cekik darah.

 

Para peniaga juga perlu menjaga kualiti jualan makanan berbuka puasa dengan sebaiknya supaya terus mendapat sokongan pembeli sepanjang Ramadan ini sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

 

Kualiti barangan dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang perlu dikekal sebagai faktor penting dalam menentukan harga yang ditawarkan untuk produk sesuatu perniagaan, terutama dalam keadaan kenaikan kos operasi pada ketika ini.

 

 

infiniti

 

 

Panduan perkhidmatan pelanggan ini akan membincangkan seni menyediakan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, menawarkan harga yang menepati nilai untuk meningkatkan kepuasan pelanggan dan memupuk kesetiaan pelanggan.

 

Dengan memahami bahawa setiap pelanggan mempunyai keperluan dan pilihan yang unik, petua ini direka bentuk untuk membantu perniagaan menavigasi pelbagai permintaan asas pelanggan mereka, memastikan setiap interaksi bukan sahaja memenuhi tetapi melebihi jangkaan.

 

Mewujudkan kualiti produk dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang adalah lebih daripada sekadar menyelesaikan masalah, ia mengenai mewujudkan persekitaran di mana setiap pelanggan berasa dihargai dan didengari.

 

Walau apa sekalipun, penjual perlu bertanggungjawab dengan memastikan produk yang dijual perlu bersih, tidak mengitar semula makanan yang dijual serta terjamin kebersihannya.

 

Ini kerana kita tidak mahu insiden keracunan makanan berlaku yang akhirnya akan menyusahkan pembeli malah ada yang terpaksa berhadapan dengan keracunan kerana makan benda yang tercemar.

 

Setiap orang pastinya mahu dilihat sebagai penting, dan merasakan keperluan dan masalah mereka dipenuhi dengan ikhlas dan cekap.

 

Pada masa lalu, perkhidmatan pelanggan bermaksud memberi salam kepada pelanggan apabila mereka masuk dan menjawab sebarang masalah atau soalan secara langsung.

 

Di sinilah mempunyai reputasi yang baik adalah penting untuk pertumbuhan dan kejayaan perniagaan. Itulah sebabnya pengalaman pelanggan harus menjadi sebahagian jika bukan keutamaan strategi pemasaran.

 

 

infiniti

 

 

Dunia perniagaan hari ini perlu menyesuaikan strategi perkhidmatan pelanggannya dan kualiti produk untuk berkembang maju dalam pasaran yang mencabar hari ini.

 

Peniaga hari ini perlu jujur mengenai kualiti bahan yang digunakan dalam mengenakan harga yang tinggi.

 

Menyediakan makanan dengan bahan berkualiti tinggi bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab peniaga terhadap kesihatan pelanggan tetapi juga mencipta kepercayaan dalam aktiviti perniagaan.

 

Jika peniaga berjanji menggunakan bahan-bahan segar dan berkualiti, pelanggan berhak mendapatkannya dan peniaga mesti mengekalkan janji tersebut.

 

Selain itu, kejujuran diperlukan dalam proses penyediaan makanan. Peniaga perlu memastikan bahawa dapur dan peralatan memasak sentiasa bersih dan mematuhi standard kesihatan yang ditetapkan.

 

Para peniaga juga dinasihat memberikan maklumat yang tepat dan secara jujur kepada pelanggan mengenai cara penyediaan makanan juga adalah amalan terbaik.

 

Ini merupakan satu amalan perkhidmatan juga kepada pengguna. Ini juga merupakan usaha memastikan pelanggan yakin dengan kualiti dan keselamatan makanan yang dihidangkan di bazar.

 

Penting juga untuk menyampaikan maklumat yang jelas berkaitan dengan makanan, termasuklah bahan kandungan yang digunakan dan cara penyimpanan.

 

 

infiniti

 

 

Kejujuran dalam memberi maklumat ini membantu pelanggan membuat pilihan yang lebih baik berdasarkan keperluan kesihatan mereka.

 

Ini adalah merupakan amalan baik dalam perkhidmatan pelanggan bersifat proaktif yang menunjukkan tanggungjawab peniaga terhadap kebajikan pelanggan.

 

Selanjutnya, kejujuran dalam penentuan harga juga adalah penting. Peniaga perlu menetapkan harga yang munasabah dan sesuai dengan kualiti makanan yang ditawarkan.

 

Seorang peniaga yang jujur akan memastikan pelanggan diberikan maklumat yang benar dan lengkap mengenai produk makanan yang dijual. Ini memberikan pelanggan keyakinan untuk kembali membeli berulang kali dan menjadi pelanggan setia.

 

Kejujuran peniaga adalah aspek yang sangat dihargai oleh pelanggan, dan apabila kepercayaan dibina, hubungan jangka panjang dapat terbentuk antara peniaga dan pelanggan.

 

Kesimpulannya, kejujuran peniaga dalam menjual makanan bukan sahaja merupakan tuntutan etika perniagaan, tetapi juga kunci kejayaan dalam industri ini.

 

Peniaga yang jujur dalam kualiti dan perkhidmatan pelanggan akan menarik pelanggan setia yang memberi sokongan dalam jangka panjang.

 

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memupuk semangat kejujuran dalam dunia perniagaan, khususnya bermula di bulan Ramadan. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

Portfolio Tags