Kecerdasan Buatan: Pelaksanaan mesti diiringi 4 Kemahiran Insaniah
BARU-BARU ini kita diperkenalkan dengan suatu inisiatif baru kerajaan dalam memperkasa program pendigitalan negara. Program ini dinamakan AI Untuk Rakyat.
Program ini ialah merupakan satu program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ‘Kecerdasan Buatan’ atau Artificial Intelligence (AI).
Program ini bertujuan untuk memberi penjelasan tentang kecerdasan buatan kepada semua lapisan masyarakat, pelajar, ibu bapa yang tinggal di rumah, profesional dalam apa jua bidang, warga emas, pada asasnya, sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari dan ingin membina ‘Minda Digital’.
Kecerdasan buatan merupakan suatu teknologi yang dihasilkan dalam bentuk robot yang dijana daripada sistem komputer.
Teknologi ini mempunyai kemampuan intelektual sama seperti manusia dan berfungsi mengikut cara pemikiran manusia.
Berdasarkan pendapat pakar pendigitalan, ramai yang mengutarakan pendapat bahawa mereka gusar akan pekerjaan, gaji dan kecekapan manusia akan mula digantikan oleh kecerdasan buatan pada masa akan datang.
Oleh itu, kemahiran insaniah menjadi pembezaan penting yang di perlu dalam membezakan kecerdasan buatan daripada manusia.
Walaupun ramai yang mengatakan kecerdasan buatan adalah merupakan kesan daripada evolusi teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa kewujudannya juga sering membuatkan manusia berasa terancam dan perlu mencari sebab untuk terus hidup.
Kerana pada dasarnya, manusia adalah pencipta kecerdasan buatan dan ia juga seharus berada di bawah kawalan manusia.
Dengan cara ini, setiap pemimpin dan profesional perlu menyedari bahawa manusia yang mempunyai kemahiran insaniah yang berharga akhirnya akan tidak boleh digantikan oleh kuasa kecerdasan buatan.
Kemahiran insaniah ialah kemahiran peribadi dan interpersonal yang merangkumi pelbagai aspek keupayaan manusia melangkaui kemahiran teknikal dan khusus pekerjaan.
Kemahiran ini bukan sahaja penting dalam konteks profesional, tetapi juga memainkan peranan yang besar dalam kehidupan seharian seseorang.
Berikut adalah 4 kemahiran insaniah yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan apabila mereka mengggiatkan usaha untuk memacu kemajuan digital negara termasuk bidang kecerdasan buatan.
1. Penyelesaian masalah
" Berfikir di luar kotak " ini merupakan istilah yang paling sesuai untuk menerangkan cara manusia harus menyelesaikan masalah, meramal dan mengurangkan risiko dalam perniagaan atau kerja.
Sebagai contoh, ChatGPT sebagai alat kecerdasan buatan pastinya sangat mampu menjawab semua soalan yang anda ajukan, tetapi ia masih mempunyai batasan.
Kecerdasan buatan boleh menghasilkan jawapan yang berat sebelah, tidak tepat dan tidak berperasaan. Kecerdasan buatan tidak boleh melebihi wawasan manusia yang kreatif dan inovatif.
2. Bina hubungan yang baik
Manusia diciptakan dan dilengkapi dengan emosi dan perasaan yang menjadikannya unik, berbeza dan tidak boleh diganti.
Cuba bayangkan apabila pekerja perlu berbincang di hadapan bakal pelabur dengan hanya menggunakan kecerdasan buatan, adakah hubungan dan keputusan yang dibuat oleh kecerdasan buatan kelihatan semulajadi seperti manusia?
Walau secanggih dan berkesan mana pun teknologi, peranan manusia dalam berinteraksi dengan manusia lain adalah kemahiran insaniah yang tidak boleh ditiru.
Manusia akan sentiasa jauh lebih hebat jika mereka mampu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, keikhlasan dan kejujuran yang boleh menjadikan anda lebih boleh dipercayai daripada kecerdasan buatan.
3. Kepimpinan
Kepimpinan adalah keupayaan dan kecekapan yang lebih daripada kepakaran teknikal.
Kepimpinan mampu memotivasikan dan mempengaruhi manusia untuk bertingkah laku mengikut apa yang kita mahukan.
Dalam kepimpinan, manusia akan mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan konflik, bimbingan, empati, membuat keputusan, pengurusan pasukan dan sebagainya, yang jelas tidak akan dimiliki oleh kecerdasan buatan.
Masyarakat boleh meningkatkan kebolehan kepimpinan mereka dengan terlibat secara langsung, melakukan latihan kepimpinan, membaca buku kepimpinan , berbincang dan dari bimbingan mentor mereka.
4. Kecerdasan emosi
Kecerdasan buatan tidak mempunyai emosi dan perasaan.
Kecerdasan emosi yang baik akan menjadi kekuatan manusia yang unggul kerana kebolehan menerima dan memproses setiap emosi yang mereka alami.
Kecerdasan emosi berkaitan dengan keupayaan untuk berempati, mendengar, kesedaran diri, kemahiran interpersonal, dan lain-lain.
Individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang baik akan dapat menganalisis situasi di sekeliling mereka, mengenali perasaan mereka, mengurus emosi mereka, dan dapat menyesuaikan diri dengan mana-mana persekitaran.
Kesimpulannya, selagi masyarakat kita sentiasa ingin belajar untuk dapat terus menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan, kecerdasan buatan tidak akan pernah menggantikan kerjaya manusia.
Masyarakat perlu menjadi proaktif dalam meningkatkan kecekapan profesional secara bebas, terutamanya dalam empat kemahiran insaniah yang dijelaskan sebelum ini.
Jangan biarkan teknologi menggantikan peranan kita, tetapi kawal setiap teknologi yang kita gunakan. - DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI