Bertemu Pirates of the Red Sea sebenar di Dubai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 29 February 2024

Bertemu Pirates of the Red Sea sebenar di Dubai

 

 


SEWAKTU di Dubai, UAE saya bergaul dengan ratusan orang dalam pelbagai bidang. Semua diperkenalkan kepada seorang yang lain kerana persahabatan. Dengan lebih daripada 200 warganegara yang tinggal dan bekerja di UAE. 

 

Komuniti ekspatriat melebihi jumlah penduduk warga UAE. Orang India membentuk komuniti asing terbesar di UAE, diikuti oleh Pakistan, Bangladesh, Asia, Eropah dan Afrika yang lain.

 

Saya suka bercampur dengan warga komuniti ekspatriat yang minoriti terutama untuk mengetahui dari negara mana mereka datang dan kenapa mereka datang ke UAE. Pelbagai jawaban namun yang pastinya kerana UAE menawarkan bidang pekerjaan dan tiada cukai.

 

Dalam hampir 20 tahun di UAE saya teruja dengan pelbagai ekspatriat dengan rupa, warna kulit dan tinggi rendah yang berbeza. Setelah agak lama saya dapat mengenal dari rupa dengan hanya memandang.

 

 

waionuiomata

 

 

Dari ekspatriat yang bersahabat, ada dari dua orang Yemen yang saya temui di sebuah kafe di pinggir Dubai. Kami bermesraan dan bertanya khabar seperti biasa. Orang Yemen sangat baik dan menghormati orang Malaysia.

 

Saya bertanya apakah pekerjaan di Dubai kerana melihat pakaian orang Yemen yang kemas, bukan jubah atau kain pelekat. Mereka tergelak tanpa memberitahu dan kami terus berbual.

 

Saya merasakan ada sesuatu yang hebat kerana kedua-dua orang Yemen menjaga tata susila dengan perkataan yang baik dalam bahasa Inggeris yang cukup fasih. Sekali lagi saya bertanya, apakah bidang kedua mereka?

 

Seorang berkata yang dia mula percaya kepada saya, bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia tetapi juga sebagai muslim yang baik. Dari bahasa yang digunakan cukup menguja saya kerana ingin tahu.

 

Dia dengan perlahan bercakap ke telinga saya, “Kami lanun Laut Merah!”

 

Saya sungguh terkejut kerana membayangkan pakaian lanun yang selalu ditonton di filem dan TV. Terpegun seketika.

 

“Bila ada kapal yang kami mahu rampas, kami hubungi dengan telefon dan pembayaran melalui pemindahan di bank seluruh dunia. Kami membenarkan kapal lalu dan kalau berdegil, kami serang dengan anggota kami.”

 

Saya bertanya bagaimana lanun boleh berada di Dubai?

 

Dia tergelak, “Dubai pusat kewangan pelbagai, termasuk yang haram dan dibiarkan asal masuk ke Dubai.”

 

 

waionuiomata

 

 

Pertemuan itu cukup menyedarkan saya yang pelbagai kompleks dengan wang masuk dari bermacam-macam negara termasuk wang haram dari India, Rusia, Pakistan, Filipina antaranya, sudah tentu Malaysia.

 

“Kami di Dubai untuk menelefon kapal dan sentiasa bersedia dengan kelengkapan moden, sekarang lanun telah moden dengan teknologi canggih.”

 

Dia kemudian menawarkan saya untuk mencari pembeli minyak kerana ada kapal membawa minyak yang tersadai di Laut Merah. Harga lebih murah dari pasaran tetapi saya tidak berani walau bertanya rakan yang bekerja mengedar minyak di Dubai dan boleh dibeli.

 

Mungkin dia dari kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman, banyak kali mendakwa pasukannya menyerang beberapa kapal milik Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

 

Serangan Houthi yang bersama Iran, menurut tinjauan, ke atas kapal komersial di Laut Merah menyebabkan banyak syarikat perkapalan terbesar dunia mengubah laluan perjalanan sekaligus mengakibatkan gangguan kepada perdagangan global.

 

Serangan militan Houthi, yang didakwa dilakukan sebagai menyokong perjuangan rakyat Palestin, disifatkan sebagai gangguan terbesar kepada industri perdagangan laut.

 

Walaupun pemberontak Houthi mendakwa hanya menyasarkan kapal yang ada kaitan dengan Israel, pada hakikatnya semua kapal menjadi sasaran dan tindakan mereka lebih disifatkan sebagai kegiatan lanun.

 

Sekurang-kurang 18 syarikat perkapalan termasuk syarikat gergasi Denmark, Maersk terpaksa mengubah laluan kapal melencong ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan sebagai alternatif mengelak melalui Teluk Aden.

 

 

waionuiomata

 

 

Alternatif itu terpaksa diambil meskipun ia menjadikan perjalanan antara Asia dan Eropah lebih lama selain meningkatkan kos sehingga tiga kali ganda.

 

Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Arsenio Dominguez, berkata keputusan dibuat syarikat perkapalan untuk memilih laluan laut ke Afrika Selatan adalah bagi mengurangkan serangan ke atas kapal mereka.

 

Sejak 23 November lalu, beliau mendakwa 23 kapal komersial diserang dan terbaru pada minggu lalu terhadap Maersk, walaupun Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi rondaan di kawasan itu.

 

"Sasaran awal adalah kapal dikaitkan dengan Israel, tapi berdasarkan maklumat yang kami terima baru-baru ini, nampaknya semua kapal menjadi sasaran.”

 

Saya pernah pergi ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan dan dapat melihat kesibukan laut sepanjang selatan Afrika.

 

Selepas serangan baru-baru ini di Laut Merah, kapal-kapal memilih untuk memintas Terusan Suez dan mengemudi di sekitar Tanjung Harapan Afrika Selatan.

 

Peralihan ini telah mengganggu laluan perkapalan global yang penting, memaksa kapal untuk menambah 15 hari lagi untuk perjalanan mereka, disertai dengan peningkatan kos.

 

Walaupun laluan Cape of Good Hope memerlukan 4,000 batu tambahan di sekitar Afrika, ia dianggap sebagai alternatif yang lebih selamat oleh banyak syarikat.

 

 

waionuiomata

 

 

Pelabuhan Cape Town telah menjadi penting, terutamanya dengan penutupan zon bunkering Teluk Algoa di Lautan Hindi.

 

Peningkatan aktiviti bunkering (mengisi minyak) di Cape Town adalah disebabkan oleh penutupan Teluk Algoa, seperti yang disahkan oleh Alex Miya, tuan pelabuhan Pelabuhan Cape Town.

 

Wilayah Western Cape sedang mengalami faedah ekonomi daripada pengalihan laluan perkapalan ini. Ini menyerlahkan kelebihan langsung kapal yang melalui rantau ini, menekankan keperluan untuk operasi yang cekap dan memaksimumkan peluang ekonomi yang diberikan oleh kejatuhan yang tidak dijangka ini.

 

Memandangkan krisis di Laut Merah berterusan, penghalaan semula kapal melalui Tanjung Harapan berterusan, memberikan Afrika Selatan dan benua itu peluang ekonomi yang unik.

 

Dewan Perniagaan British berkata 55 peratus pengeksport melaporkan gangguan, begitu juga 53 peratus pengeluar dan firma perkhidmatan perniagaan kepada pengguna, kategori yang merangkumi peruncit dan pemborong. Merentasi semua perniagaan, 37 peratus melaporkan kesan.

 

Terdapat kapasiti ganti dalam industri kargo perkapalan untuk bertindak balas terhadap kesukaran, yang telah beberapa lama.

 

Tetapi penyelidikan mencadangkan bahawa semakin lama keadaan semasa berterusan, semakin besar kemungkinan tekanan kos akan mula membina.

 

Sesetengah perniagaan melaporkan kos sewa kontena meningkat empat kali ganda, manakala yang lain menghadapi kelewatan penghantaran selama tiga hingga empat minggu, serta kesukaran aliran tunai dan kekurangan alat ganti.

 

 

waionuiomata

 

 

Bank of England telah menekankan gangguan Laut Merah sebagai salah satu risiko kenaikan inflasi yang utama pada tahun ini, walaupun sehingga kini serangan dan konflik yang lebih meluas di Timur Tengah kurang memberi kesan ekonomi di Britain daripada yang dikhuatiri pada asalnya.

 

Militan Houthi telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali di Laut Merah, Selat Bab Al-Mandab dan Teluk Aden sejak November bagi menyokong rakyat Palestin, ketika perang Israel-Hamas berterusan.

 
Mengingatkan saya kepada lanun Yemen yang ditemui di Dubai, tentunya makin sibuk. - DagangNews.com

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

dagangnews

 

Portfolio Tags