Belian semula saham: Analisis motif dan rasional Top Glove | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
SENsor RINGGIT - 2 December 2020

Belian semula saham: Analisis motif dan rasional Top Glove

 

 

ERA pandemik COVID-19 kelihatan mewarnai Top Glove dan Hartalega di Malaysia dan antarabangsa. Kedua-dua syarikat pengeluar sarung tangan getah ini mendominasi Bursa Sekuriti Malaysia sejak Mac 2020 dan menjadi komponen baharu FBMKLCI sejak Oktober 2020. Malah, Top Glove bersama pesaingnya Supermax membeli semula sahamnya secara bersiri dan berulang melebihi RM100 juta kumulatif.

 

Ternyata syarikat pengeluar sarung tangan mendapat manfaat besar dalam era pandemik COVID-19 sejak Mac 2020 seperti yang saya huraikan dalam SENsor RINGGIT pada 23 September 2020. Selain Top Glove, pesaing terdekatnya Hartalega juga menjadi komponen berprestij FBMKLCI dalam kalangan 30 syarikat terbesar dari segi nilai pasaran semasa.

 

aaa
Hartalega adalah sektor sarung tangan getah kedua menjadi ahli FBMKLCI bersama Top Glove sejak Oktober 2020.

 

Mengikut rekod yang difailkan kepada Bursa Malaysia, Top Glove sudah membelanjakan hampir RM1 bilion untuk membeli semula sahamnya di pasaran terbuka, manakala Supermax pula membelanjakan sekitar RM110 juta sejak Mac 2020 sehingga November 2020. Menariknya, syarikat sarung tangan getah Supermax yang ketiga terbesar di Malaysia dijangka menjadi komponen baharu FBMKLCI menjelang 2021.

 

aaa
Supermax sedang menjejaki pesaingnya Top Glove dan Hartalega dalam sektor sarung tangan getah dalam radar untuk menjadi ahli baharu berprestig FBMKLCI di Bursa Malaysia menjelang 2021.

 

Profil Cemerlang Top Glove

Top Glove ditubuhkan pada 1991 dan mula disenaraikan 10 tahun kemudian di Bursa Sekuriti Malaysia pada 2001. Selepas 10 tahun bergelar syarikat awam, ia mula mewarnai korporat Malaysia dan global dalam era COVID-19 sejak Mac 2020 di Malaysia.

 

Top Glove juga disenaraikan di Bursa Singapura pada 2016. Ia adalah ahli komponen kepada FBMKLCI sejak Oktober 2020, juga komponen MSCI Global dan FBM Hijrah Syariah Indeks. Kini Top Glove merancang penyenraian di Bursa Hong Kong pada 2021 dengan nilai IPO RM4 bilion.

 

Ia hanya bermula sebagai kilang sarung tangan getah pada kadar “ala-ala ada” dengan hanya satu kilang dan satu pusat pengeluaran. Top Glove menawarkan harga IPO RM2.00 sesaham pada 2001. Kini dengan kekuatan 21,000 tenaga pekerja, 47 kilang, 750 pusat pengeluaran dan kapasiti 90,000 bilion unit pengeluaran setahun, Top Glove muncul syarikat sarung tangan terbesar di dunia. Ia mempunyai kilang-kilang di luar negara seperti Thailand, Vietnam dan China, juga mempunyai pejabat pemasaran di AS, Jerman dan Brazil untuk mengeksport ke 195 negara sehingga Disember 2020.

 

Prestasi Kewangan Top Glove

Ya kita setuju Top Glove berprestasi paling cemerlang dengan merekodkan keuntungan bersih RM1.87 bilion pada tahun berakhir 31 Ogos 2020 dalam era pandemik COVID-19. Harga sahamnya amat cemerlang yang hanya bermula RM1.55 pada Januari 2020 mula naik mendadak dan tinggi kepada RM26.50 dalam era pandemic COVID-19 sebelum ia diseleraskan harga rujukan RM7.71 ekoran daripada terbitan bonusnya 1:2 pada 11 September 2020.

 

aaa
Top Glove mendominasi Bursa Malaysia apabila menjadi ahli FBMKLCI disusuli dengan pelaburan hampir RM1 bilion dalam 14 misi membeli semula sahamnya dalam masa 3 bulan.

 

Di Bursa Sekuriti Malaysia, Top Glove menjadi ahli FBMKLCI sejak Oktober 2020 dan syarikat kedua terbesar di Bursa Malaysia dari segi nilai pasaran. Ternyata ia mencipta rekod demi rekod kewangan di Bursa Malaysia. Terlajak laris sebagai saham paling aktif dan terlajak hangat apabila harga sahamnya turun ketara di Bursa Malaysia apabila 28 kilangnya mula diarah tutup pada 23 November 2020.

 

Siri belian semula sahamnya bermula

Ya kita bangga Top Glove kini menjadi pengilang terbesar sarung tangan getah di dunia dengan kapasiti pengeluaran tahunannya mencecah 90 bilion unit. Kita kagum Top Glove mencatatkan keputusan kewangan luar biasa, apabila keuntungannya melonjak 417%s kepada RM1.9 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020. Kita teruja apabila pendapatannya dalam tahun dikaji juga mencatatkan paras rekod baharu sebanyak RM7.24 bilion, meningkat 51% berbanding RM4.80 bilion sebelumnya.

 

Namun para penganalisis saham mula melihat apakah motif dan rasional pengurusan Top Glove membelanjakan sekitar RM1.16 bilion dalam 14 siri pembelian sahamnya di pasaran terbuka bermula September hingga November 2020.

 

Berpandukan kepada rekod yang difailkan kepada Bursa Malaysia, Top Glove kini memiliki 160.02 juta dengan nilai belian semula RM1.16 bilion, iaitu mewakili 1.95% pegangan dalam saham perbendaharaannya. Top Glove memaklumkan ia sudah membelanjakan RM355 juta dalam September 2020 dan tambahan RM802.55 juta dalam November 2020 pada harga minimum RM6.99 dan maksimum RM7.78 di pasaran terbuka.

 

Mengikut rekod laporan tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020, pembelian semula kumulatif RM1.16 bilion adalah bersamaan 62% daripada keuntungan bersihnya RM1.87 bilion. Berpandukan kepada kedudukan tunainya sebanyak RM1.21 bilion, Top Glove sudah membelanjakan 95.6% daripada kedudukan tunainya. Namun, ia mempunyai pelaburan sekuriti bernilai RM1.67 bilion yang membawa erti Top Glove masih mempunyai kecairan sokongan tunai yang tinggi!

 

Persoalannya, apa implikasi saham perbendaharaannya berjumlah 160.02 juta dengan kos pelaburan RM1.16 bilion? Ini membawa pengiraan kasar harga purata yang dibeli semula oleh Top Glove adalah sekitar RM7.25 sesaham. Ini bermakna pihak pengurusan Top Glove mempunyai ruang dan peluang untu menjual balik 160.02 juta sahamnya secara berperingkat apabila harga pasaran semasanya melebihi harga belian semula tertinggi RM7.78 yang memungkinkannya membayar dividen khas kepada pemegang saham setianya!

 

Top Glove sebagai kilang sarung tangan terbesar dunia menjadi buruan pelabur dalam era awal COVID-19 kini dibelenggui oleh penutupan 28 buah kilangnya dan penemuan penawar vaksin COVID-19 menyebabkan harganya susut di bawah paras RM7 sesaham pada 27 Nov 2020.

 

Mengikut hukum perakaunan, pembelian semula saham digunakan oleh syarikat senaraian sebagai kaedah yang cekap cukai untuk meletakkan agihan tunai kepada pemegang saham. Ini bermakna syarikat tersebut bukannya membayar dividen tunai tetapi membolehkannya mengurus keuntungan modalnya dengan lebih baik kepada para pemegang sahamnya.

 

Dalam kes Top Glove, ia mempunyai bidang kuasa untuk membeli balik sahamnya sehingga 10% sebagai saham perbendaharaannya di mana pemilikannya hanya 2% sahaja. Malah, saham perbendaharaannya masih belum dibatalkan oleh Top Glove yang menyaksikan modal berbayar dan bilangan saham dalam edaran tiada perubahan sehingga November 2020.

 

Saham yang dibeli semula akan direkod sebagai saham perbendaharaan dalam akaun ekuitinya, bermakna ia masih menjadi hak milik dalam akaun dana pemegang sahamnya dan pengurusan Top Glove boleh menjual balik saham perbendaharaannya pada masa akan datang.

 

Menariknya, semasa 28 kilangnya diarah tutup, harga saham Top Glove jatuh sekitar RM6.80 sesaham pada 25 November 2020. Namun Pengerusi Eksekutif Top Glove pantas bertindak dengan memaklumkan hasil dividen dijangka melebihi 6% yang menyaksikan harga sahamnya ditutup lebih tinggi RM7.12 pada 30 November 2020.

 

Namun dengan vaksin Pfizer-BionTech akan datang ke pasaran Malaysia menjelang 2021, apakah Top Glove mampu mengekalkan rekod kewangan cemerlangnya menjelang 2021 apabila FBMKLCI sedang menguji paras 1,700?

 

aaa
KMM mengesahkan vaksin Pfizer-BionTech akan berada di pasaran Malaysia bermula awal 2021 dijangka membantu pemulihan ekonomi global lebih awal dan pantas sebagai penawar kepada pandemik COVID-19!

 

Justeru, adakah motif dan rasional Top Glove membelanjakan RM1 bilion wajar apabila harga sahamnya masih ditutup bawah paras RM7.00 pada 1 Disember 2020? “Lu fikirlah sendiri:.…..pesan pelawak dan peracara terkenal Nabil!

 

 

aaa

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags