Produktiviti buruh Malaysia menurun kepada 2.2% | DagangNews Skip to main content

Produktiviti buruh Malaysia menurun kepada 2.2%

Official Launcing of Productivity report

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kadar produktiviti buruh Malaysia 2019 mencatatkan penurunan kepada 2.2 % berbanding 3.4 % pada 2018. 

Menurut laporan yang dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali , prestasi buruh Malaysia pada tiga suku pertama menunjukkan peningkatan namun menurun pada suku keempat susulan tekanan domestik dan antarabangsa.

“Kadar produktiviti buruh setiap individu pula mencatatkan jumlah AS$  68,473  mendahului Thailand, Indonesia, China dan Vietnam. Namun, kita tidak boleh selesa dengan kedudukan itu kerana Malaysia masih berada di belakang Korea Selatan dan Jepun.

“Dalam masa sama, China dan Vietnam pula mencatatkan pertumbuhan produktiviti yang pesat dan konsisten. Oleh itu, Malaysia perlu melipatganda usaha untuk mengembangkan prestasi produktiviti kita,” kata Mohamed Azmin ketika pelancaran maya Laporan Produktiviti 2020 yang bertemakan ‘Resilience Through Productivity’ hari ini. 

Sementara itu, kadar tenaga buruh Malaysia pada tahun 2019 menyaksikan peningkatan sebanyak 2% iaitu hampir 15.6 juta orang, manakala kadar pengangguran kekal pada 3.3 % bagi tahun sama. 

Bagaimanapun, peratusan pengangguran meningkat kepada 3.5% pada suku pertama tahun 2020 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19). 

“Cabaran yang dihadapi negara akibat wabak pandemik ketika ini memerlukan tindakan yang kolektif serta berkesan menerusi pelaksanaan dan aspek perundangan yang terbaik. 

“Sehubungan itu, saya meminta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk melaksanakan langkah terbaik menerusi 9 pelaksanaan sektor di bawah Rangka Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB),” tambahnya. 

Bagi Laporan Produktiviti 2020 yang lengkap, sila layari pautan http://www.mpc.gov.my/wp-content/uploads/2020/06/Productivity-Report-2020_online.pdf. – DagangNews.com