Benarkah Gen Z tidak minat sambung belajar? Mahu jadi Influencer | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 17 October 2022

Benarkah Gen Z tidak minat sambung belajar? Mahu jadi Influencer

Oleh Dr. Marziah Mokhtar, Aimi Syafiqah Ghazali & Sakinatul Ain Jelani

 

 

 

KEPUTUSAN mengenai permohonan pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat ijazah telah diumumkan oleh pihak bertanggungjawab, baru-baru ini.

 

Hal ini telah mendapat perhatian di media sosial kerana terdapat sebilangan individu yang tidak berjaya mendapat tempat di institut pengajian tinggi walaupun keputusan yang diperoleh adalah cemerlang.

 

Pada masa yang sama, beberapa bulan yang lepas, terdapat berita tentang penutupan beberapa kursus di pusat pengajian tinggi disebabkan kursus sedia ada yang ditawarkan tidak lagi dilihat sebagai pilihan Gen Z.

 

Terdapat keperluan kursus lain yang lebih relevan di masa kini yang menjadi permintaan dan minat mereka dan perlu ditawarkan di pusat pengajian tinggi.

 

Ini adalah antara isu yang timbul yang perlu diberi perhatian untuk memastikan pendidikan generasi akan datang terjamin.

 


 

mulanya di sini

 


 

Sehubung dengan ini, dapat juga dilihat pelajar lepasan SPM yang merupakan sebahagian dari Gen Z tidak berminat untuk menyambung pembelajaran di peringkat pengajian tinggi kerana persepsi dan penilaian mereka terhadap pendidikan telah berubah.

 

Ada di antara mereka berpendapat kursus di peringkat pengajian tinggi tidak berbaloi berbanding dengan hutang pendidikan yang perlu ditanggung.

 

Mereka menjadi lebih kritikal kerana secara umum, bagi menamatkan ijazah sarjana muda, memerlukan anggaran kos sebanyak RM40,000 yang perlu dilangsaikan dalam tempoh masa yang lama.

 

Pada pandangan mereka, adalah tidak ideal untuk memulakan kehidupan sebagai graduan dan dibebani hutang sedangkan peluang pekerjaan masih tidak terjamin.

 

Berdasarkan contoh sedia ada, ramai yang telah menamatkan pengajian di institusi tinggi, namun masih menganggur. Ini mengukuhkan terhadap persepsi bahawa pendidikan tinggi tidak dapat menjamin kejayaan.

 

Bagi Gen Z, dapat dilihat secara umum nilai pendidikan tidak diraikan dan mereka lebih cenderung untuk mendapatkan easy money.

 


 

mulanya di sini

 


 

Ada yang mempunyai kefahaman tanpa mengikuti trek pendidikan secara formal masih mampu menjana pendapatan yang lumayan.

 

Salah satu kaedah yang menjadi pilihan adalah seperti menceburi gig economy sebagai influencer/content creator di media sosial.

 

Dapat dilihat ramai yang berjaya sebagai personaliti media sosial atau sebagai duta produk dalam bidang ini. Terkini, pengguna juga boleh menjana pendapatan secara mudah melalui media sosial hanya dengan mengadakan live session bersama followers dimana mereka boleh menerima hadiah atau dikenali sebagai gifts.

 

Hadiah ini boleh ditebus dalam bentuk wang ringgit. Sehubung dengan ini, pembelajaran luar bilik darjah atau tidak formal juga dipandang penting dan berupaya menyumbang kepada penjanaan pendapatan.

 

Sebagai contoh, tersiar berita tentang pendapatan pelajar berusia belasan tahun mencecah belasan ribu ringgit sebagai backend engineer, sedangkan masih lagi dibangku sekolah.

 

Personaliti media sosial ini banyak mempamerkan kehidupan yang mewah seperti percutian ke luar negara dan pameran barangan serta aksesori mewah.

 

Secara tidak langsung, gaya hidup begini mendorong dan mempengaruhi Gen Z untuk mencari jalan pintas untuk mendapatkan pendapatan dengan cara yang mudah.

 


 

mulanya di sini

 


 

Walaubagaimanapun, disebabkan peredaran teknologi menunjukkan trend penggunaan sesuatu platform berubah dengan cepat.

 

Sebagai contoh, Friendster yang sudah tidak digunakan lagi sementara MySpace pula telah kurang digunakan sebagai platform komunikasi tetapi lebih kepada platform hiburan.  Hal ini perlu disedari dan dikaji agar tidak kecundang dan menyesal di kemudian hari.

 

Seperti mana populariti sesuatu platform itu boleh hilang, begitu juga dengan populariti personaliti media sosial.

 

Sekiranya mereka tidak mempunyai content yang relevan kepada pengguna media sosial, maka populariti mereka tidak akan kekal lama.

 

Golongan individu profesional yang menjadikan media sosial sebagai platform untuk berkongsi maklumat yang berfaedah selalunya berkekalan dan mampu mempunyai fanbase yang lebih kukuh.

 


 

mulanya di sini

 


 

Tetapi, jika mereka tidak mempunyai content yang berfaedah dan sebaliknya memudaratkan, mereka berdepan dengan risiko cancel culture yang akan menjatuhkan prestasi mereka.

 

Dalam masa yang sama, maklumat yang tidak tepat juga boleh menyebabkan salah faham yang disengajakan dalam kalangan pengguna media sosial dan seterusnya menjadi ikutan dan dinormalisasikan. Hal ini akan menjatuh nilai dan moral sesuatu masyarakat.

 

Pemikiran Gen Z ternyata berbeza dengan generasi sebelumnya dari perspektif dunia pekerjaan, kewangan dan gaya hidup.

 

Terdapat pelbagai pendapat mengenai komitmen terhadap pekerjaan di mana ada yang tidak mahu terikat dengan suatu organisasi untuk jangka masa yang lama, ada juga yang ingin pekerjaan yang lebih fleksibel dari aspek masa dan tempat sementara ada juga pihak yang memilih jaminan kerja yang berpanjangan.

 

Manakala dari segi perspektif kewangan pula, pulangan yang setimpal dengan usaha dan tenaga yang digemblengkan menjadi keutamaan mereka. Gen Z mengutamakan kebahagiaan diri sama ada dengan berbelanja bagi memenuhi kehendak cita rasa, melancong dan mengutamakan masa untuk bersosial bersama rakan.

 

 

 

mulanya di sini

 

 

 

Sistem pendidikan dan pasaran kerja di Malaysia perlu menjadi lebih fleksibel untuk memenuhi keperluan Generasi Z.

 

Dari aspek sistem pendidikan, kaedah pengajaran konvensional tidak lagi mendapat tempat bagi generasi ini dan para pendidik perlu mengintegrasi teknologi dalam menyampaikan maklumat.

 

Penggunaan alat dan platform pengajaran yang lebih interaktif diperlukan bagi menghasilkan komunikasi dua hala agar pengajaran serta pembelajaran menjadi lebih efektif.

 

Manakala dari segi pasaran kerja pula, majikan perlu mempertimbangkan keperluan pekerja Gen Z bagi menarik minat mereka untuk bekerja di organisasi mereka.

 

Sekiranya kondisi tersebut tidak berjaya dipenuhi, akan berkemungkinan wujud situasi brain drain di mana mereka memilih untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan kekurangan tenaga kerja tempatan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

Generasi Z dapat dilihat lebih jelas dalam menzahirkan hala tuju yang ingin dicapai. Hal ini dapat dijelaskan dari dua perspektif iaitu pada aspek individu tersebut atau majikan.

 


 

mulanya di sini

 


 

Sebagai seorang individu, untuk memenuhi aspirasi diri, Gen Z berkemungkinan sering bertukar kerja selama mana matlamat tersebut tidak lagi tercapai.

 

Matlamat yang dicari mungkin berkait rapat dengan keselesaan tempat kerja, faedah yang ditawarkan dan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

 

Tindakan Gen Z ini boleh dilihat suatu aspek yang negatif bagi pihak majikan kerana terdapat pertukaran pekerja yang kerap mengakibatkan kos pengeluaran yang tinggi di mana pekerja baru perlu dicari melalui pengiklanan seterusnya dilatih semula.

 

Secara tidak langsung, terjadinya kekurangan kemahiran yang akan mengganggu produktiviti dan kecekapan organisasi.

 

Kesedaran terhadap cara kerja dan keperluan Gen Z adalah perlu untuk pihak majikan agar suasana pekerjaan yang harmoni dapat diwujudkan.

 


 

mulanya di sini

 


 

Pada masa yang sama, di pihak Gen Z, pemahaman terhadap perbezaan cara kerja yang sedia ada bagi generasi sebelumnya perlu diterapkan agar terdapat toleransi antara generasi yang berbeza di dalam sesebuah organisasi.

 

Gen Z merupakan modal insan yang perlu dijaga dan dihargai kerana mereka adalah aset negara kita pada masa kini dan akan datang. – DagangNews.com

 

 

Dr. Marziah Mokhtar adalah Pensyarah Kanan Ekonomi, Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil
dan
Aimi Syafiqah Ghazali & Sakinatul Ain Jelani adalah Pensyarah Teaching English as a Second Language (TESL), Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil
Portfolio Tags