Sejarah dan kepentingan solat dalam kehidupan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 17 February 2023

Sejarah dan Kepentingan Solat dalam Kehidupan

 

 

 

LAFAS solat telah disebut sebanyak 66 kali dalam al-Quran yang digunakan untuk menunjukkan dua pengertian yang berbeza sama ada untuk menerangkan maksud solat itu sendiri iaitu solat fardu atau maksud yang lain selain dari erti solat fardu seperti rahmat atau kebaikan.

 

Menurut Khatib al-Syarbini dalam kitab al-Iqna‘ fi Hal al-Faz Abi Syuja’ menjelaskan solat ialah perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu.

 

Solat merupakan ibadah yang telah lama disyariatkan oleh Allah semenjak zaman Nabi terdahulu lagi. Contohnya, Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ismail AS untuk mendirikan solat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia menyuruh ahlinya bersembahyang dan menunaikan zakat dan dia adalah seorang yang diredhai disisi Tuhannya.” (Surah Maryam: 55)

 

Seterusnya, agama Nabi Ibrahim AS dan pengikut Nabi Musa AS juga telah mengenali ibadah solat. Allah SWT telah berfirman di atas lisan Nabi Isa AS yang bermaksud: “Dan Allah telah memerintahkan kepadaku dengan sembahyang dan zakat selama aku hidup”. (Surah Maryam: 31)

 

 

irsyad

 

 

Selanjutnya, ketika Nabi SAW diutuskan pada awalnya telah mendirikan solat dua rakaat setiap pagi dan dua rakaat di setiap petang. Tidak lama selepas itu, solat fardu lima waktu telah diwajibkan ke atas setiap muslim yang mukallaf.

 

Solat fardu lima waktu telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW secara langsung tanpa perantaraan Malaikat Jibrail seperti ibadah-ibadah yang lain ketika peristiwa ‘israk’ diperjalankan ke Baitul Maqdis dan kemudian ‘mikraj’ diangkat ke langit.

 

Menurut pendapat yang sahih, peristiwa israk dan mikraj berlaku pada 18 bulan sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah. Lazimnya, kitab-kitab sirah mencatatkan berlaku pada tanggal 27 Rejab.

 

Asalnya 50 waktu solat

Pada awalnya, Allah SWT telah mewajibkan ke atas Nabi SAW dan seluruh umat Islam dengan 50 waktu solat sehari semalam.

 

Kemudian, Nabi SAW telah memohon keringanan dari Allah SWT sehingga menjadi 5 waktu solat sahaja yang ganjaran pahala diberikan seolah-olah mendirikan 50 waktu.

 

Solat yang difardukan ke atas setiap muslim adalah lima waktu sehari semalam iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak sepertimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh, sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).” (Surah al-Israk: 78)

 

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Telah difardukan solat ke atas umatku pada malam isra’ lima puluh waktu, maka aku tidak mampu melaksanakannya dan aku minta diringankannya sehingga menjadi lima waktu sehari semalam.” (Riwayat al-Bukhari, no.458)

 

 

irsyad

 

 

Solat memberikan impak positif dalam mendidik diri supaya sentiasa fokus terhadap tugasan harian. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah Al-Mukminun: 1-2)

 

Seterusnya, solat mampu mencegah dan menahan manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar” (Surah al-‘Ankabut: 45)

 

Selain itu, solat juga boleh membentuk diri seseorang menepati waktu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Seterusnya apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah ketika kamu berdiri, pada waktu duduk dan ketika berbaring. Kemudian, apabila kamu telah merasa aman, maka laksanakanlah solat itu. Sesungguhnya, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman“ (Surah al-Nisa’: 103)

 

Demikianlah sejarah dan kepentingan ibadat solat yang menduduki tempat tertinggi dalam ajaran Islam.

 

 

irsyad

 

 

Seandainya seseorang muslim taat mendirikan solat fardu sebanyak lima kali dalam sehari bermakna seolah-olah telah menegakkan agama.

 

Sebaliknya, jika seseorang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa alasan adalah umpama seseorang yang tidak mahu berusaha membina agama dengan sempurna bahkan seolah-olah meruntuhkan. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags