Keistimewaan amalan soleh di bulan Rejab | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 10 February 2023

Keistimewaan amalan soleh di bulan Rejab

 

 

 

KINI seluruh masyarakat Islam sedang berada di dalam bulan Rejab iaitu salah satu daripada empat bulan Haram (al-Asyhur al-Hurum) yang sangat istimewa dalam Islam sepertimana telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.

 

Bulan Rejab mempunyai pelbagai nama lain antaranya ialah ‘al-Ashom’ bermaksud meninggalkan peperangan pada bulan ini, ‘al-Ashob’ bermaksud orang kafir Makkah mengatakan diturunkan rahmat pada bulan ini, ‘Rajm’ bermaksud syaitan direjam pada bulan ini dan banyak lagi nama lain.

 

Turutan susunan Rejab adalah bulan ketujuh dalam takwim atau kalendar Hijrah. Keistimewaan bulan ini telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan disusuli penjelasan yang lebih terperinci dalam hadis Nabi SAW.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa  menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.

 

"Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa” (Surah al-Taubah: 36).

 

 

irsyad

 

 

Bulan-bulan Haram ini terdiri daripada empat bulan di dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis sahih, yang telah diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

 

“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Sya’ban” (Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 4054).

 

Rejab dari sudut bahasa bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, dinamakan bulan Rejab kerana masyarakat pada zaman jahiliyyah mengagungkan bulan ini dengan meninggalkan peperangan, pembunuhan dan pertumpahan darah.

 

Menurut Ibn Kathir, bulan Rejab merupakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga disebut bulan yang suci kerana Allah SWT mengharamkan melakukan kezaliman.

 

Setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan ini dosanya adalah lebih besar berbanding di bulan-bulan yang lain. Begitu juga sebaliknya, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain (Tafsir Ibn Kathir, 4:130).

 

 

irsyad

 

 

Terdapat pelbagai hadis tidak sahih berkaitan bulan Rejab yang berlegar dalam kalangan masyarakat Islam tanpa disedari yang telah dijadikan asas dan sandaran dalam beramal soleh.

 

1. Hadis palsu

“Kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan al-Quran berbanding semua jenis kalam”. Hadis ini palsu menurut pendapat Imam Ibn Hajar.

 

2. Dusta

“Janganlah kamu lalai pada Jumaat yang pertama daripada bulan Rejab kerana sesungguhnya terdapat padanya satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai al-Raghaib”. Hadis ini dusta keseluruhannya menurut pandangan Ibn al-Qayyim.

 

3. Batil

“Bahawasanya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barang siapa yang berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai tersebut”. Hadis ini batil menurut pandangan Imam al-Zahabi.

 

4. Tiada asal

“Barang siapa yang berpuasa pada hari pertama bulan Rejab umpama berpuasa setahun, barang siapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka dan barang siapa yang berpuasa pada bulan Rejab sepuluh hari diseru daripada penyeru dari langit bahawa mintalah lalu diberikan (apa yang diminta)”. Hadis ini batil dan tiada asal menurut pandangan Imam al-Syaukani.

 

 

irsyad

 

 

Perlu difaham dan ditegaskan kepada masyarakat Islam bahawa bulan Rejab tidak mempunyai kelebihan yang khusus daripada hadis-hadis yang sahih berkaitan amalan ibadah tertentu.

 

Namun, tidak pula menghalang masyarakat Islam daripada terus melaksanakan amalan-amalan ibadah seperti biasa yang telah selalu diamalkan di dalam bulan-bulan lain dengan syarat tidak meyakini bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

 

Anjuran amalan-amalan soleh yang boleh dilazimkan dan diperbanyakkan di bulan ini ialah berpuasa sunat, melaksanakan solat-solat sunat, bersedekah, membaca al-quran, berzikir dan pelbagai lagi amalan yang baik.

 

Masyarakat Islam sangat dianjurkan memperbanyakkan amalan soleh tersebut di dalam bulan Rejab kerana diberikan pahala yang lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain sebagaimana diketahui kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

 

 

irsyad

 

 

Beramal soleh di bulan Rejab juga adalah sebagai persiapan, persediaan dan latihan terbaik untuk melazimkan diri dengan memperbanyakkan amalan soleh sebelum memasuki bulan Ramadan yang bakal di sambut tidak lama lagi. - DagangNews.com

 

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

Portfolio Tags