Peranan dan skop tanggungjawab Penasihat Syariah amat penting | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 25 April 2023

PERANAN DAN SKOP TANGGUNGJAWAB PENASIHAT SYARIAH AMAT PENTING

 

 

PENASIHAT Syariah mempunyai fungsi penyeliaan dan perundingan serta memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan kepatuhan Syariah terpelihara dalam urus niaga komersial secara Islam (muamalat) dalam sistem kewangan Islam negara, termasuk dana-dana Islam seperti dana amanah dan sukuk.

 

Penulis ingin berkongsi pengalaman semasa memikul tanggungjawab sebagai pengarah di sebuah institusi yang berdaftar sebagai penasihat Syariah (korporat) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sejak tahun 2002 sehinggalah ke awal tahun 2021.

 

Terdapat dua objektif utama kenapa perlunya penerapan Syariah oleh penasihat Syariah ke dalam aktiviti-aktiviti kewangan Islam.

 

Pertama, penasihat Syariah mengkaji semula operasi institusi yang mengambil bahagian dalam Islamic Capital Market (ICM) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memastikan mereka mematuhi keperluan Syariah. Tanggungjawab ini adalah sebagai penyiasat.

 

Kedua, para penasihat Syariah hendaklah berusaha untuk menjawab sebarang isu atau kebimbangan bagi setiap transaksi tertentu atau pematuhan produk dengan Syariah dan juga bersedia untuk menawarkan pandangan, kritikan yang membina, kreatif atau cadangan alternative kepada isu-isu yang dibincang. Tanggungjawab ini adalah sebagai penasihat.

 

 

iktisad

 

 

Institusi kewangan seperti syarikat pengurusan aset atau pengurus dana yang mengambil bahagian dalam ICM dikehendaki mewujudkan dasar dan prosedur operasi untuk memastikan aktiviti, pelaburan atau operasi mereka dijalankan selaras dengan keperluan Syariah.

 

Keperluan penasihat Syariah untuk mengambil bahagian dan melibatkan diri secara aktif dalam membincangkan isu-isu Syariah yang dikemukakan kepada mereka oleh institusi-institusi yang melibatkan produk kewangan Islam dalam ICM adalah pasti. Antara tugas dan tanggungjawab penasihat Syariah yang lazim dalam ICM adalah seperti berikut:

 

Semak semula produk dan perkhidmatan untuk memastikan kepatuhan dengan keperluan Syariah

Sebagai contoh, dalam industri unit amanah, penasihat Syariah bertanggungjawab untuk memastikan dana yang mereka selia diurus dan ditadbir mengikut prinsip Syariah.

 

Ini juga termasuk tanggungjawab untuk menyediakan kepakaran dan bimbingan kepada syarikat pengurusan unit amanah dan pengurus dana dalam semua perkara yang berkaitan dengan prinsip Syariah yang berkaitan dengan dana, termasuk surat ikatan amanah, prospektus, pelaburan dana dan lain-lain termasuklah urusan operasi dan pentadbiran.

 

Menyemak dan mengesahkan dokumen yang berkaitan

Untuk mematuhi Syariah, setiap produk dan perkhidmatan dalam ICM perlu menjalani proses tapisan dan pengesahan yang telah ditetapkan oleh penasihat Syariah.

 

Penasihat Syariah berperanan untuk menasihati semua aspek sekuriti Islam, termasuk dokumentasi, penstrukturan, pelaburan serta hal pentadbiran dan operasi lain dan untuk memastikan pematuhan terhadap prinsip dan resolusi Syariah yang berkaitan, di samping ketetapan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC dari semasa ke semasa.

 

 

iktisad

 

 

Menyelia pelaburan yang dibuat oleh institusi dalam ICM

Satu lagi peranan penting penasihat Syariah adalah untuk menyelia dan memastikan bahawa pelaburan yang dibuat oleh institusi ini, khususnya dalam industri unit amanah, mematuhi Syariah.

 

Dalam kes ini, penasihat Syariah mesti memastikan bahawa pengurus dana melabur hanya dalam sekuriti yang diklasifikasikan sebagai yang diluluskan Syariah oleh MPS SC.

 

Berbincang mengenai isu Syariah yang berkaitan dengan operasi harian institusi dan memberikan nasihat sewajarnya

Dalam operasi harian institusi-institusi ini, terdapat pelbagai isu Syariah yang akan dihadapi oleh pengamal, khususnya yang berkaitan dengan amalan dan pelaksanaan transaksi kewangan.

 

Isu ini biasanya tidak diliputi oleh buku teks atau rangka kerja teori bagi transaksi tertentu. Oleh itu, penasihat Syariah terpaksa memahami dan menyelesaikan isu-isu ini.

 

Pada amnya, ini memerlukan penasihat Syariah yang terdedah dengan bahagian amalan dan pelaksanaan sebenar, kerana ini akan memberi mereka pemahaman yang lebih komprehensif dan mendalam tentang isu-isu yang mereka hadapi.

 

 

iktisad

 

 

Menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk baru

Perkhidmatan penasihat Syariah diperlukan untuk membangunkan atau meluluskan produk baharu yang inovatif yang berdaya saing dan boleh diterima oleh semua.

 

Mengikut pemerhatian penulis, antara bidang kompleks yang memerlukan fokus utama untuk diselarikan dengan kehendak Syariah ialah pengurusan risiko, alat lindung nilai, derivatif dan kemudahan pembiayaan hibrid.

 

Apabila penasihat Syariah dilengkapi dengan asas-asas fiqh dan muamalat, terutamanya berkaitan pengurusan modal dan aset, maka mereka bersedia untuk mencurahkan idea yang lebih membina ke arah membangunkan produk kewangan yang kreatif.

 

Memberi latihan dan pendidikan tentang muamalat berdasarkan kontrak Syariah

Dalam proses membangunkan ICM, setiap ahli-ahli pengamal kewangan Islam mestilah bermaklumat dan dididik secara sistematik untuk menyediakan mereka dengan pengetahuan yang diperlukan dalam menjalankan aktiviti transaksi berkaitan dengan kewangan Islam.

 

Proses penyebaran ilmu mestilah berterusan, untuk melatih dan mendidik seramai mungkin pengamal supaya dapat menyediakan barisan pengganti yang terlatih.

 

Oleh kerana penasihat Syariah adalah mereka yang mempunyai pengetahuan yang betul dalam muamalat, adalah wajar mereka memimpin jalan dalam menyampaikan ilmu kepada pengamal ini dan juga masyarakat.

 

 

iktisad

 

 

Ini adalah penting ke arah mencapai pemahaman yang benar dan tepat tentang Syariah dan aplikasi kontrak dalam muamalat.

 

Membantu institusi-institusi dalam hal Syariah dan memberikan nasihat atas permintaan

Pihak berkaitan institusi dalam ICM, seperti penasihat undang-undang, juruaudit dan perunding boleh juga mendapatkan nasihat mengenai perkara Syariah daripada penasihat Syariah untuk bantuan yang diperlukan supaya pematuhan sepenuhnya terhadap prinsip Syariah terjamin.

 

Mereka juga mesti menjelaskan isu-isu Syariah dan cadangan yang ditawarkan kepada penasihat Syariah untuk membincang dan menentukan keputusan tertentu.

 

Penasihat Syariah juga boleh merujuk MPS SC dalam sebarang perkara yang dirujuk oleh institusi dalam ICM. Setelah mendapat nasihat daripada MPS, penasihat Syariah hendaklah memastikan bahawa semua keputusan MPS dilaksanakan dengan betul oleh institusi ini.

 

Jelas sekali bahawa penasihat Syariah memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan ICM Malaysia.

 

Mereka memikul tanggungjawab dan akauntabiliti yang berat, bukan sahaja kepada pengurusan institusi ini dan orang ramai, tetapi juga terhadap Allah, Penggubal undang-undang Ilahi.

 

 

iktisad

 

 

Usaha Malaysia untuk membangunkan sistem kewangan Islam yang dinamik pasti akan terbantut sekiranya kita gagal menyedari kepentingan peranan penasihat Syariah.

 

Dengan ini, penulis menyarankan kita mesti mengambil langkah yang betul untuk mencatat kemajuan keseluruhan, dan melahirkan lebih ramai penasihat Syariah sambil menyediakan rangka kerja yang betul untuk mereka menyumbang ke arah pembangunan ICM, bersama-sama dengan para pengamal di pasaran serta pengawal selia. – DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

Portfolio Tags