Krisis SVB sama dengan kejatuhan Lehman Brothers, sama tamak | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 28 March 2023

Krisis SVB sama dengan kejatuhan Lehman Brothers, sama tamak

 

 

 

SATU artikel majalah Smartinvestor, bertajuk “Lessons from Silicon Valley Bank (SVB) and Lehman Brothers: How Islamic Financial Principles Offer More Robust Risk Management in Investments”, tulisan Mukhriz Mangsor dari Quantdynamic Research Company cukup menarik untuk diteliti.

 

Dalam krisis kewangan yang lepas antara faktor kejatuhan Lehman Brothers pada 2008 ialah pergantungan kepada penggunaan derivatif dan produk kewangan yang memperoleh nilainya daripada aset asas seperti saham, bon dan gadai janji.

 

Kesan kejatuhan ketara adalah kerana pelaburan yang dibuat mereka banyak dalam sekuriti bersandarkan gadai janji atau mortgage-backed securities (MBS) yang memiliki leveraj (leverage) tinggi, berstruktur kompleks yang menggabungkan beribu-ribu gadai janji. Kemudian produk ini dipotong kepada kelas-kelas yang berbeza dengan tahap risiko yang berbeza-beza.

 

Strategi Lehman Brothers adalah untuk membeli MBS ini dan menggunakannya sebagai cagaran seterusnya melayakkan mereka untuk terus meminjam lebih banyak lagi wang daripada bank dan pelabur lain.

 

Ini mewujudkan kedudukan berleveraj tinggi yang sangat berisiko tetapi menjanjikan ganjaran besar jika pasaran perumahan terus berkembang.

 

Walau bagaimanapun, apabila pasaran perumahan mula runtuh pada tahun 2007, nilai pegangan MBS Lehman Brothers juga menjunam. Akibatnya, bank menghadapi kerugian besar dan tidak dapat memenuhi obligasi kewangannya.


 

Lehman Brothers
Dua kakitangan firma lelongan Christies membawa masuk papan tanda Lehman Brothers untuk dilelong.

 


Pemiutangnya mula mengeluarkan wang mereka, menyebabkan bank kehilangan dana pendeposit dan pelaburan mereka yang akhirnya membawa kepada kemuflisan.

 

Kejatuhan Lehman Brothers mempunyai kesan yang meluas kepada ekonomi global. Ia mencetuskan krisis kewangan besar yang merebak ke seluruh dunia, menyebabkan kemerosotan mendadak dalam pasaran saham, pembekuan dalam pasaran kredit, dan gelombang kegagalan bank.

 

Pengajaran yang diperoleh daripada kejatuhan Lehman Brothers telah membawa kepada peningkatan peraturan industri kewangan, dengan kawalan yang lebih ketat terhadap penggunaan derivatif dan produk kewangan kompleks lain.

 

Walau bagaimanapun, risiko krisis kewangan yang lain kekal, dan pelabur dan pengawal selia mesti sentiasa berwaspada untuk mengelakkan satu lagi keruntuhan gaya Lehman daripada berlaku lagi.

 

Krisis SVB

Selepas 14 tahun perkara yang agak serupa berlaku lagi. Kali ini ia berlaku kepada Silicon Valley Bank (SVB). SVB adalah sebuah bank terkenal di Amerika Syarikat, baru-baru ini diisytiharkan sebagai satu lagi kegagalan bank terbesar sejak 2008 dan kedua terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

 

Berita ini mengejutkan ramai orang, memandangkan hanya setahun sebelumnya, Forbes telah menamakan SVB sebagai salah satu Bank Terbaik Amerika, dan Moody's telah memberikannya penarafan A.


 

svb

 


SVB telah wujud selama 40 tahun dan telah menjadi pembiaya kepada separuh daripada semua syarikat permulaan (start-up companies). Jadi bagaimanakah bank yang bereputasi sedemikian boleh gagal dengan begitu teruk?

 

Terdapat pelbagai sebab, tetapi beberapa punca telah dikenal pasti adalah punca yang seiring sejalan dengan sebab kejatuhan Lehman Brothers.

 

Profesor Lewis dari University of South Australia pernah membentangkan kertas kerja yang bertajuk “The Rise of Islamic Finance” dan menyebut sikap tamak pemain-pemain di pasaran kewangan telah mengakibatkan tragedi krisis ini.

 

Mengikut beliau, ubat kepadanya ialah melalui suntikan satu set undang-undang Islam yang membimbing tingkah laku etika dan moral para pemain industri kewangan dunia.

 

  1. Berdagang hutang

Penyebab pertama kegagalan SVB adalah perdagangan hutang di mana mereka menggunakan deposit pelanggan untuk membeli bon dan mengharap Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah secara perlahan.

 

Faktanya Rizab Persekutuan telah menaikkan kadar lebih cepat daripada jangkaan, menyebabkan bon kehilangan nilai. Perdagangan hutang jenis ini tidak dibenarkan dalam Syariah.

 

  1. Sistem riba

Penyebab kedua ialah sistem bertuhankan riba yang mengenakan atau membayar faedah ke atas pinjaman.

 

Apabila riba dan hutang bergabung, gabungan ini mewujudkan rangkaian risiko dalam pasaran yang mendedahkan semua orang kepada liabiliti masing-masing yang seterusnya menghasilkan kesan domino.

 

Insentif untuk mengambil hutang didorong oleh riba, menjadikannya salah satu sebab utama kegagalan itu. Riba adalah haram dalam Islam.

 

  1. Tiada barang dagangan

Penyebab ketiga kegagalan SVB ialah berdagang barangan yang tidak boleh berikan. Kelakuan ini ditolak oleh Syariah.

 

Sistem rizab pecahan, di mana bank hanya menyimpan sebahagian kecil daripada deposit mereka dalam rizab dan meminjamkan selebihnya menyebabkan bank tidak mampu untuk membayar kepada pelanggan dan pelabur sekiranya permintaan pengeluaran deposit tinggi berlaku.

 

  1. Tidak cekap, tiada etika

Penyebab keempat ialah ketidakcekapan pengurusan dan kekurangan etika dan moral yang rendah.

 

Terdapat jurang keselarian antara aset dan liabiliti bank dan sistem rizab pecahan mewujudkan bahaya kurang etika dan moral yang rendah, yang seterusnya membawa kepada amalan pinjaman berisiko tinggi.

 

Syariah melarang bahaya moral (moral hazard) sebegini dan menekankan kepentingan tadbir urus yang baik.

 

  1. Tiada tadbir urus baik

Penyebab kelima ialah kekurangan tadbir urus yang baik. Pada 2018, rang undang-undang penyahkawalseliaan membenarkan bank seperti SVB mengambil risiko yang tidak munasabah, yang tidak boleh diterima dalam rangka kerja Syariah.

 

Syariah mempunyai kawalan untuk mengurangkan risiko penularan (contagion risk).

 

parafrasa

 


Pengajaran besar kali ini adalah, apabila hutang, riba, dan ketidakpastian (gharar) bersatu, keruntuhan sistem kewangan akan timbul. Kisah lama akan terus berulang lagi. – DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

Portfolio Tags