Kesan kenaikan cukai SST kepada rakyat: Kembalikan GST? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 24 October 2023

KESAN KENAIKAN CUKAI SST KEPADA RAKYAT: KEMBALIKAN GST?

 

 

KERAJAAN Malaysia bercadang untuk menaikkan cukai perkhidmatan daripada 6 peratus kepada 8% dengan pengecualian cukai kepada perkhidmatan makanan, minuman dan telekomunikasi.

 

Kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8% (kecuali bagi sektor makanan dan minuman serta telekomunikasi) dikatakan akan menghalang atau memperlahankan kitaran ekonomi, yang boleh menyebabkan peningkatan caj perkhidmatan merentas pelbagai sektor.

 

Penulis melihat banyak komentar yang ditulis yang menyatakan bahawa kenaikan 2% dalam cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8% ini dijangka memberi kesan negatif kepada pengguna walaupun terdapat pengecualian ke atas kedai makanan dan minuman (F&B) kerana kenaikan cukai akan juga memberi kesan besar kepada rantaian bekalan dalam ekonomi.

 

Walaupun Perdana Menteri mengumumkan bahawa SST tidak akan menyentuh F&B, tetapi dengan mengambil kira isu logistik dan kos semua rantaian bekalan yang lain, kenaikan cukai ini akan menuju ke arah kenaikan harga makanan juga akhirnya.

 

 

irsyad

 

 

Logiknya, apabila harga di restoran meningkat, maka orang ramai akan kurang makan di luar. Kesannya, akan berlaku impak di mana restoran-restoran ditutup yang akan menjejaskan pembekal, pekerja (restoran), dan lain-lain. Ia akan mempunyai kesan rantaian.

 

Tambahan, majoriti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga menghadapi tekanan dari segi usaha untuk mengekalkan keuntungan mereka. Ini menyebabkan mereka akan memindahkan kos tambahan tersebut kepada rakyat. Oleh itu, rakyat perlu mengeluarkan wang tambahan untuk menikmati semua perkhidmatan ini.

 

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah satu NAMA UMUM kepada bentuk cukai penggunaan yang dikenakan ke atas penjualan barangan dan penyediaan perkhidmatan.

 

Cukai Perkhidmatan di Malaysia (sekarang 6%) biasanya dikenakan ke atas perkhidmatan khusus yang disediakan oleh syarikat perniagaan yang berpendapatan melebihi RM500,000 setahun.

 

Ini termasuk perkhidmatan profesional, perkhidmatan perundingan, perkhidmatan insurans, bil elektrik, perkhidmatan telekomunikasi dan restoran yang eksklusif.

 

Cukai Jualan di Malaysia pula dikenakan ke atas penjualan barangan tertentu. Tidak seperti Cukai Perkhidmatan, cukai jualan tertumpu pada barangan. Maknanya cukai perkhidmatan bukan cukai jualan.

 

Cukai perkhidmatan tidak melibatkan cukai jualan kerana harga yang dijual kepada pembeli sudah pun termasuk cukai jualan yang dikenakan. Dalam erti kata lain, pelanggan membayar satu harga yang terdiri daripada kos barang, keuntungan dan cukai jualan.

 

Pada penulis, kenaikan SST kepada 8% tersebut tidak melibatkan cukai jualan. Jadi, kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8% hanya melibatkan cukai ke atas perkhidmatan kepada pelanggan yang melanggan atau diberikan perkhidmatan di mana-mana syarikat yang berpendapatan melebihi RM500,000 setahun seperti yang disebut di atas, KECUALI makanan dan telekomunikasi. Ianya tidak sama sekali berkait dengan cukai jualan.

 

 

Iktisad

 

 

GST

GST di Malaysia ialah cukai nilai tambah yang dikenakan ke atas pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan. Ia direka bentuk untuk menjadi cukai penggunaan yang dikenakan pada pelbagai peringkat rantaian bekalan.

 

Perniagaan yang berdaftar bertanggungjawab untuk mengenakan GST kepada pelanggan dan mengutip GST daripada pelanggan mereka, menyediakan rekod yang tepat dan memfailkan penyata GST berkala dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

Perniagaan yang mendaftar untuk GST dibenarkan menuntut kredit untuk GST yang mereka bayar untuk perbelanjaan dan input perniagaan mereka. Sistem ini membantu mengelakkan cukai berganda dalam rantaian bekalan barangan.

 

SST dan GST adalah berbeza. GST ialah cukai nilai tambah yang dikenakan ke atas pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan. Ia dikenakan pada pelbagai peringkat rantaian bekalan.

 

SST pula terdiri daripada dua komponen: Cukai Jualan, yang digunakan untuk barangan tertentu pada peringkat pembuatan dan import (termasuk dalam harga jualan kepada pelanggan), dan Cukai Perkhidmatan, yang dikenakan untuk perkhidmatan tertentu.

 

Pada penulis walaupun peningkatan dalam cukai perkhidmatan boleh memberi pelbagai kesan kepada orang kaya, namun ia juga secara tidak langsung memberikan impak mendalam kepada orang miskin di Malaysia.

 

Pihak Kerajaan perlu menimbang dasar fiskal negara dengan perbelanjaan kerajaan kepada rakyat miskin melalui subsidi bersasar untuk mengelakkan kesan kenaikan cukai perkhidmatan ini. Ini adalah penting untuk mempertimbangkan konteks ekonomi dan sosial yang lebih luas semasa menganalisis kesannya.

 

 

irsyad

 

 

Antara akibat daripada kenaikan cukai perkhidmatan menyebabkan kos sara hidup yang lebih tinggi kepada rakyat. Peningkatan dalam cukai perkhidmatan boleh menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan lebih tinggi, kerana perniagaan mungkin menyalurkan beban cukai tambahan kepada pengguna. Ini secara langsung boleh menjejaskan kos sara hidup semua rakyat Malaysia termasuk golongan miskin.

 

Apabila kos barangan dan perkhidmatan penting meningkat, individu dan keluarga yang berpendapatan rendah akan kekurangan pendapatan bersih untuk diguna dan dibelanjakan kepada keperluan asas yang lain, simpanan atau aktiviti riadah. Ini boleh membawa kepada penurunan kualiti hidup bagi mereka yang sudah bergelut dari segi kewangan.

 

Peningkatan cukai perkhidmatan boleh memburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan di Malaysia.

 

Beban kenaikan cukai dilihat lebih banyak jatuh pada individu dan keluarga yang berpendapatan rendah, kerana mereka membelanjakan peratusan pendapatan yang lebih tinggi untuk barangan dan perkhidmatan asas.

 

Sebaliknya, individu berpendapatan tinggi kurang terjejas kerana sebahagian kecil daripada pendapatan mereka digunakan untuk barangan ini.

 

Sesetengah individu miskin mungkin terlibat dalam ekonomi tidak formal atau berasaskan tunai, menjadikan mereka kurang berkemungkinan mendapat manfaat daripada jaringan keselamatan sosial.

 

 

irsyad

 

 

Peningkatan cukai perkhidmatan boleh mendorong lebih ramai orang ke dalam sektor ini untuk mengelakkan cukai, menjadikannya lebih sukar bagi mereka untuk mengakses perkhidmatan dan sokongan kerajaan.

 

Akhirnya para perniagaan kecil yang memenuhi keperluan pelanggan berpendapatan rendah boleh menyaksikan penurunan dalam permintaan disebabkan impak tidak langsung kenaikan cukai perkhidmatan ini, melalui kesan kepada harga yang lebih tinggi.

 

Ini boleh menyebabkan penutupan perniagaan dan kehilangan pekerjaan, seterusnya menjejaskan keadaan ekonomi golongan miskin.

 

Apakah GST perlu dikembalikan dengan kadar yang berpatutan? Penulis merasakan ia adalah perlu.

 

Demi rakyat, buanglah keegoan dan terima hakikat yang GST lebih efektif dalam pengurusan percukaian seperti yang diamalkan di negara-negara luar.  - DagangNews.com

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags