Belanjawan 2024: Revolusi Cukai di Malaysia  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 18 October 2023

Belanjawan 2024: Revolusi Cukai di Malaysia 

 

 

SELEPAS pembentangan Bajet 2024 Jumaat lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan dengan jelas bakal membuat perubahan kepada sistem percukaian pada tahun 2024. Mungkin ramai yang menanti kerana takut Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula.

 

Tetapi tiada GST bagi tahun 2024. Sebaliknya perubahan pada kadar cukai sedia ada serta pengenalan kepada cukai baharu.  Perubahan sistem percukaian ini bukan hanya mengenai angka; tetapi ini adalah sebahagian daripada rancangan yang lebih besar.

 

Melalui revolusi percukaian ini, kerajaan mahu mendapatkan lebih banyak hasil pendapatan bagi membantu ekonomi berkembang, menggalakkan perbelanjaan yang bertanggungjawab, serta dalam usaha melindungi alam sekitar.

 

 

parafrasa

 

 

Cukai Perkhidmatan Lebih Tinggi

Dalam pembentangan Bajet 2024, kerajaan mahu menaikkan cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8%. Cukai perkhidmatan yang lebih tinggi ini dijangka bakal menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan pada tahun-tahun akan datang. Ia dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak RM5 bilion setiap tahun, menyediakan dana yang sangat diperlukan untuk pelbagai inisiatif kerajaan.

 

Apa yang berbeza mengenai pelan cukai perkhidmatan ini ialah tidak semuanya dikenakan cukai dengan kadar yang sama. Pengecualian untuk barangan dan perkhidmatan asas yang penting makanan, minuman, perkhidmatan telefon, tempat letak kereta, dan logistik masih mengekalkan kadar cukai lama sebanyak 6%. Pengecualian ini dijangka dapat mengurangkan beban kewangan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Selain daripada yang dinyatakan, perkhidmatan seperti penyelengaraan dan pembaikan kenderaan akan menjadi lebih mahal. Tetapi kita perlu melihat melalui perspektif yang berbeza. Apabila kos penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan menjadi lebih mahal, orang ramai mungkin akan memilih kenderaan elektrik atau kenderaan alternatif yang lebih baik untuk alam sekitar kerana kosnya lebih rendah untuk diselenggara.

 

Ini secara langsung adalah langkah ke arah menggunakan pengangkutan yang lebih mesra alam. Perubahan ini sejajar dengan matlamat global untuk menjadikan bumi lebih hijau.

 

Cukai Kemewahan dan Pelaburan

Kerajaan juga bakal memperkenalkan cukai baru untuk barangan mewah dan pelaburan. Jika anda membeli saham yang tidak disenaraikan di pasaran saham, akan ada cukai 10% ke atas sebarang keuntungan bermula dari 1 Mac 2024. Terdapat juga cukai ke atas barangan mewah seperti barang kemas dan jam tangan mewah. Ini adalah cara untuk memastikan bahawa orang yang mampu membeli barangan mahal juga menyumbang kepada pendapatan kerajaan.

 

Cukai baru ke atas barangan mewah dan keuntungan modal ini dijangka akan meningkatkan pendapatan kerajaan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun pertama pelaksanaannya. Pendapatan melalui kedua cukai ini dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang apabila peraturan cukai baru berkuat kuasa.

 

 

parafrasa

 

 

Mengimbangi Perbelanjaan

Melalui Bajet 2024, kerajaan juga berhasrat  untuk  mengurangkan jumlah perbelanjaan berbanding dengan jumlah pendapatan. Pada tahun hadapan, matlamat kerajaan  adalah untuk membelanjakan 4.3% kurang daripada apa yang dibelanjakan sekarang.

 

Lebih tepat, kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan defisit belanjawan daripada 5% daripada pendapatan negara kepada 4.3% pada 2024 dan lebih rendah pada masa hadapan. Langkah pemotongan bajet ini dijangka membantu negara mengurangkan defisit belanjawan dan mencapai kestabilan fiskal, memastikan kesihatan kewangan negara berada dalam keadaan utuh dan kukuh.

 

Untuk mencapai keseimbangan bajet ini, kerajaan akan memberi tumpuan kepada meningkatkan mekanisme pengumpulan cukai. Ini termasuk langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan proses kutipan cukai.

 

Tidak terhad dengan itu, rasionalisasi subsidi secara beransur-ansur juga bakal dilakukan untuk mencapai matlamat ini. Dengan mengurangkan dan akhirnya menghapuskan subsidi tertentu, kerajaan boleh memperuntukkan sumber dengan lebih cekap.

 

Alam Sekitar dan Pelaburan Hijau

Ciri utama pembaharuan fiskal kerajaan dalam Bajet 2024 kali ini adalah komitmennya terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar.  Kerajaan bakal menerbitkan sukuk biodiversiti, bernilai sehingga RM1 bilion, yang melibatkan penghutanan semula hutan. Inisiatif ini bertujuan untuk menjana kredit karbon dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang berminat. Mereka juga akan menikmati sebahagian daripada kredit karbon yang dihasilkan dari projek ini.

 

Di samping itu, bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada sektor swasta dalam menyumbang kepada projek kebajikan atau komuniti, kerajaan bakal menawarkan insentif cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek pemuliharaan dan kesedaran alam sekitar yang diperakui oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Langkah ini sejajar dengan matlamat Malaysia yang lebih luas untuk mencapai kemampanan dan menggalakkan kesejahteraan menyeluruh.

 

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai ke atas semua pendapatan perusahaan sosial sehingga 2025. Pelanjutan ini bertujuan untuk menyokong pergerakan perusahaan sosial dalam mewujudkan kesan alam sekitar dan sosial yang positif, selaras dengan prinsip kelestarian dan kesejahteraan yang digariskan di bawah Malaysia MADANI.

 

Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memupuk inisiatif yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial yang bermanfaat. Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan terhadap alam sekitar tetapi juga menggalakkan penyertaan aktif dari sektor awam dan swasta dalam projek yang menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

 

 

parafrasa

 

 

Bajet 2024,  Bukan Sekadar Revolusi Percukaian

Bajet 2024 bukan sekadar angka di atas kertas; ia adalah komitmen kerajaan untuk masa hadapan negara yang lebih cemerlang. Ia bukan hanya tentang pengutipan cukai yang lebih tinggi, tetapi tentang mewujudkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan ekonomi yang lebih lestari. - DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags