Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 6 August 2022

Dilema kekurangan pekerja ladang sawit

Nanyang Siang Pao 

 

 

 

PADA 28 Julai yang lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan  mengumumkan bahawa kerajaan Indonesia akan menarik balik pembekuan sementara eksport pekerja asing ke Malaysia mulai 1 Ogos.

 

Jadi majikan yang berminat untuk mengambil pekerja asing boleh memohon kepada pihak berkuasa untuk menguruskan kemasukan pekerja asing Indonesia.

 

Berita ini merupakan berita baik untuk pelbagai sektor ekonomi yang menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja sejak penularan wabak COVID-19.

 

Pada masa ini, negara menghadapi kekurangan tenaga kerja yang sangat serius terutamanya dalam bidang pembinaan, pertanian, industri makanan, perkhidmatan dan pembuatan.

 

Antara industri yang paling terjejas teruk adalah pembinaan, tanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran kerana bergantung kepada pekerja asing Indonesia.

 

Khususnya penanaman dan penuaian kelapa sawit memerlukan kemahiran dan tenaga kerja yang kuat. 

 

Menurut pemilik ladang kelapa sawit, pekerja asing Indonesia sanggup menanggung kesusahan dan sangat rajin, selain mereka juga boleh menyesuaikan diri dengan kerja-kerja buruh.

 

apa

 

Seorang pekerja asing Indonesia yang mahir boleh menuai lebih 10 tan buah kelapa sawit sehari.

 

‘Prestasi’ ini tidak dapat dicapai oleh pekerja tempatan dan pekerja asing dari negara lain.

 

Ini adalah sebabnya industri kelapa sawit negara menghadapi kerugian yang besar apabila pekerja asing Indonesia pulang ke negara mereka.

 

Menurut data daripada pihak berkuasa yang berkaitan, dari bulan Januari sehingga Mei tahun ini, sebanyak 7.25 juta tan buah kelapa sawit tidak dapat dipetik kerana kekurangan tenaga kerja sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM10.4 bilion.

 

Selain itu, disebabkan kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor ekonomi negara, jumlah kerugian adalah mencapai RM33.5 bilion.

 

Hari ini walaupun kerajaan Indonesia telah melonggarkan sekatan dan membenarkan pekerja asingnya memasuki Malaysia, namun mungkin sukar untuk industri kelapa sawit mendapatkan pekerja.

 

Apatah lagi industri kelapa sawit di Indonesia juga sedang berkembang pesat, maka ramai pekerja mahir yang pulang ke Indonesia memilih untuk terus tinggal dan bekerja di negara sendiri. 

 

Selain itu, dasar buruh asing negara sentiasa berubah dan ini mendatangkan kerugian kepada majikan.

 

fgv
FGV melabur RM50 juta bagi menyediakan perumahan untuk pekerjanya. - Gambar hiasan

 

Menurut beberapa majikan, Kementerian Sumber Manusia sangat tegas dan mewajibkan asrama pekerja asing perlu memenuhi spesifikasi kerajaan dan mempunyai permit kediaman atau kelulusan tidak akan dikeluarkan.

 

Ini bermakna asrama pekerja perlu dibina semula dan keadaan ini hanya boleh dilakukan oleh perusahaan besar. Syarat tersebut adalah terlalu berat bagi pemilik kebun kecil yang beroperasi secara kecil-kecilan.

 

Industri kelapa sawit negara memerlukan sekurang-kurangnya 120,000 pekerja asing tetapi setakat ini kerajaan masih tidak menambah baik kecekapan kelulusan.

 

Industri tidak mempunyai pilihan selain mengurangkan skala operasi dan jika mampu dari segi kewangan juga belum tentu dapat mengupah pekerja. 

 

Ramai pengusaha industri kelapa sawit tidak menyimpan harapan tinggi, kerana mereka tahu proses semakan permohonan kerajaan adalah perlahan.

 

Ini bermakna jika sistem pengambilan pekerja asing tidak diperbaiki, kerajaan masih lagi terjerat dengan karenah birokrasi maka pembangunan industri tanaman akan terbantut.

 

apa

 

Sebenarnya industri kelapa sawit negara terlalu bergantung kepada pekerja asing Indonesia dan ia bukanlah amalan yang baik. Terdapat cadangan penggunaan teknologi dron untuk menuai buah kelapa sawit.

 

Jika rancangan itu berjaya, ia bukan sahaja dapat menggantikan tenaga buruh malah boleh membantu meningkatkan hasil.

 

Justeru itu, Kementerian Pertanian, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Sumber Manusia perlu bekerjasama meneroka penggunaan teknologi atau jentera baharu untuk menggantikan penuaian secara manual.

 

Jika penuaian menggunakan teknologi jentera yang terkini, ia pasti akan meningkatkan produktiviti, pengeluaran dan mengelakkan kerugian akibat kekurangan tenaga kerja. – DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 5 Ogos 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags