UDA rancang bangunkan lebih banyak hab usahawan dengan peruntukan RM10 juta | DagangNews Skip to main content

UDA rancang bangunkan lebih banyak hab usahawan dengan peruntukan RM10 juta

Datuk Ewon Benedick (tengah) menyerahkan insentif Program Pembangunan Usahawan UDA (PPUU) kepada wakil usahawan UDA di Hab Keusahawan Kampung Morten, Melaka baru-baru ini. Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Ahmad (kiri) dan Datuk Mohd Salem Kailany (dua, kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - UDA Holdings Bhd merancang membangunkan lebih banyak hab keusahawanan di seluruh negara dengan peruntukan pembangunan bagi setiap hab dianggarkan sebanyak RM10 juta.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany berkata, antara hab yang dikenalpasti, termasuk di Heritage Walk, Jalan Sultan Ismail dan Odeon Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur serta di Kuala Terengganu Golf Resort, Terengganu.

 

Katanya, UDA komited menggalas tanggungjawab tersebut dengan menyediakan pelbagai insentif di bawah Program Pembangunan Usahawan UDA (PPUU), antaranya Malaysia Entrepreneur Hub, Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre MARI Mart, UDA Craft Corner KIRANA dan UDA Niaga.

 

“UDA juga berharap pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk di bawah program Malaysia Entrepreneur Hub ini dapat terus mempergiat aktiviti keusahawanan seterusnya merancakkan lagi sosioekonomi tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, UDA menyalurkan sebanyak RM250,000 kepada 100 usahawan yang berniaga di Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, Melaka menerusi insentif PPUU, yang dirasmikan oleh  Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick baru-baru ini.

 

Selain itu, para usahawan turut menerima surat tawaran dan dijangka memulakan operasi perniagaan pada April ini. 

 

Ewon berkata, kementerian menerusi UDA mengambil langah proaktif membangunkan Hab Keusahawanan Morten Walk bagi menyediakan akses pasaran menerusi penyediaan fasiliti di lokasi strategik dan kondusif.

 

 

uda
Datuk Ewon Benedick (dua, kiri) melawat Hab Keusahawanan Morten Walk, Kampung Morten, Melaka yang dibangunkan UDA.

 

 

uda

 

 

Katanya, ia bertujuan membuka peluang untuk usahawan mengembangkan perniagaan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan berdaya maju.

 

“Selain menawarkan ruang niaga di tengah bandar, UDA turut menyediakan insentif pembiayaan dalam bentuk rebat sewa, kos pengurusan atau manfaat fasiliti yang turut disalurkan kepada 100 usahawan di Hab Keusahawanan Morten Walk dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM250,000. 

 

 

uda
Datuk Ewon Benedick menyantuni usahawan di Hab Keusahawanan Morten Walk selepas melawat ke sekitar tapak pembangunan tersebut, baru-baru ini.

 

 

“Pengoperasian Hab Keusahawanan Morten Walk juga dianggarkan menjana 1,500 peluang pekerjaan membabitkan pekerja untuk penyewa, pembekal, kontraktor perkhidmatan pelbagai dan sebagainya," katanya.

 

Hab Keusahawanan Morten Walk merupakan pusat komersial berkonsepkan ‘modern & trendy’ yang menyediakan ruang niaga sewaan merangkumi lot berbentuk kabin serta lot promosi terbuka untuk pelbagai jenis perniagaan seperti makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai pelbagai, kedai elektronik dan sebagainya.

 

Hab yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 4.13 ekar dengan nilai kos pembangunan RM8 juta ini terletak di tengah bandar berdekatan dengan tarikan utama seperti Perkampungan Tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari. - DagangNews.com