RHB Investment semak turun penarafan, harga sasaran MPI selepas prestasi separuh kedua tersasar daripada jangkaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment semak turun penarafan, harga sasaran MPI selepas prestasi separuh kedua tersasar daripada jangkaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Feb - RHB Investment Research menyemak turun penarafan Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) kepada 'neutral' daripada 'beli' dengan harga sasaran lebih rendah pada RM30.50 daripada RM31.70 sesaham sebelum ini memandangkan prestasi kewangan separuh pertamanya tersasar daripada jangkaan. 

 

Bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember itu, MPI merekodkan pendapatan sebanyak RM1.09 bilion (susut 8.6% tahun ke tahun) dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM84.1 juta, hanya merangkumi unjuran firma dan konsensus masing-masing pada 33% dan 34.9% daripada tahun kewangan penuh.

 

Ini disebabkan hasil dan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah daripada jangkaan, susut 4.1% tahun ke tahun kepada 26% di tengah-tengah kadar penggunaan rendah di kilang Suzhou, caj susut nilai serta kos elektrik dan kakitangan yang tinggi.

 

Dalam nota kajiannya hari ini, RHB Investment berkata, kumpulan menjangkakan satu lagi suku yang lebih perlahan memasuki suku ketiga di tengah-tengah permintaan yang lembap dalam pasaran elektronik pengguna, dengan peningkatan permintaan secara beransur-ansur di China selepas pembukaan semula ekonomi negara itu.

 

Bagaimanapun, katanya, permintaan di M-Site dan S-Site kekal secara relatifnya sihat, membantu mengatasi kelemahan dari kilang Suzhou.

 

"Ini memandangkan permintaan yang agak kukuh untuk sistem mikro-elektromekanikal atau penderia MEMS dan produk automotif," katanya.

 

Firma itu kini mengurangkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) hingga FY25 sebanyak 22 hingga 14% setelah mengambil kira kelemahan berterusan dari segi permintaan dan kos dianggarkan lebih tinggi.

 

Sejajar dengan penurunan semakan penarafan saham MPI kepada 'neutral', RHB Investment percaya penilaian semasa adalah adil dengan mengambil kira kelemahan jangka pendek dalam operasi di China.

 

"Namun, kami melihat kelebihan dalam prospek jangka sederhana MPI ekoran pendedahannya kepada modul kuasa dalam pembungkusan silikon karbida dan galium nitrida untuk ruang elektrifikasi automotif.

 

"Malah, kumpulan juga dilihat sebagai penerima manfaat utama daripada pemulihan pantas dalam ruang semikonduktor," jelasnya.

 

Menurutnya, risiko utama kepada penarafan ini bergantung kepada pesanan yang lebih perlahan atau kukuh daripada jangkaan, kekurangan bahan mentah dan kadar tukaran asing sama ada menguntungkan atau tidak.

 

Setakat 11.30 pagi ini, MPI muncul kaunter paling rugi dengan harga sasarannya susut RM2.66 atau 7.88% kepada RM31.08 dengan 498,700 saham diniagakan. - DagangNews.com