PRU15: Pilih parti politik yang tahu urus ekonomi, berpengalaman | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 12 November 2022

PRU15: Pilih parti politik yang tahu urus ekonomi, berpengalaman

 

 

 

Hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya seminggu sahaja lagi, mandat kini kembali ke tangan rakyat. Ini adalah pilihan yang paling penting dalam hidup semua untuk tempoh 5 tahun akan datang.

 

Setiap gabungan parti politik sudah pasti mempunyai cita-cita untuk mentadbir negara. Tetapi apabila mandat diberikan kepada gabungan yang menang PRU14, mereka dilihat tidak mampu mentadbir negara dengan baik. Sekali lagi, mandat rakyat dikhianati.

 

Sudah tiba masanya, sebagai pengundi, kita perlu membuat pilihan yang tepat dengan mengundi gabungan parti politik yang terbaik kerana ia bakal memberi kesan terutamanya kepada rakyat, hala tuju negara dan yang paling penting mengembalikan keyakinan pelabur untuk kembali ke Malaysia untuk merancakkan ekonomi negara.

 

Ayuh semua rakyat Malaysia! Tunaikan kewajipan anda pada PRU15 kali ini.

 

 

PRU15

 

 

Pastikan pembentukan kerajaan kali ini adalah secara majoriti yang datang dari satu gabungan parti politik sahaja!

 

Sebagai pengundi yang bijak bestari, lakukan pilihan yang tepat diantara 945 calon yang bertanding baik yang mewakili Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) mahupun calon bebas.

 

Buka mata, kenal pasti gabungan parti politik mana yang bakal membina kerajaan dengan daya tahan dalam mengharungi kelembapan pertumbuhan ekonomi pasca pandemik COVID-19 dan siapa calon yang paling layak dan berpotensi besar untuk memimpin negara dalam usaha membuat perubahan positif ini.

 

Tak lupa, kenal pasti juga siapa yang bakal membawa ancaman terbesar terhadap negara dan mengkhianati amanah serta mandat yang diberikan.

 

Manifestasi Manifesto Melalui Pentas Kempen

Semua gabungan besar parti politik yang bertanding pada PRU15 ini telah membentangkan manifesto masing-masing.

 

Semua kedengaran hebat, cakna rakyat dan berjanji untuk membina semula negara supaya lebih hebat dari sebelum ini.

 

Menyedari bahawa hanya sedikit pengundi yang membaca manifesto gabungan parti politik yang bertanding, adakah kita sebagai pengundi sedar apa yang mereka tulis dan adakah mereka mampu melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto itu?

 

Adakah semua janji tertulis itu cukup realistik untuk dilaksanakan? Adakah pentas kempen PRU digunakan sebaiknya untuk mereka menjelaskan bagaimana mereka akan melaksanakan dan merealisasikan semua manifesto seperti tertulis?

 

Jawapannya tidak!


 

Eksponen

 


Di kebanyakan pentas kempen hanyalah berkisarkan isu yang langsung tak berkenaan dengan manifesto yang dijanjikan.

 

Merapu meraban tentang isu telur, masih kedengaran isu lapuk, negara jiran lebih maju dan bermain isu perkauman.

 

Seolah-olah mereka hanya mahu menang untuk kelangsungan kuasa mereka bukan untuk membawa suara dan mewakili pengundi yang memenangkan mereka.

 

Lagi menyedihkan pentas kempen politik juga mengundang kepada keretakan dan perpecahan rakyat Malaysia secara perlahan lahan.

 

Alangkah eloknya jika pentas kempen dijadikan medium untuk mereka menerangkan dasar mereka secara terperinci kepada rakyat.

 

Bagaimana mereka yang bakal diberi mandat kelak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan dan merealisasikan semua janji seperti mana yang tertulis dalam manifesto mereka.

 

Bukan sahaja pentas kempen, baik melalui media arus perdana mahupun media sosial, kebanyakan calon yang bertanding dilihat ‘terlebih sibuk berlakon’ daripada memikirkan cara bagaimana untuk meyakinkan rakyat yang mereka adalah calon tepat dan benar-benar layak untuk menjadi kerajaan.

 

Mereka dilihat lebih suka membuat kejutan dengan hanya muncul setiap 5 tahun sekali menjelang PRU!


 

Eksponen

 


Sepatutnya tempoh dan pentas kempen dijadikan sebagai salah satu medium untuk mereka berkomunikasi dan meyakinkan pengundi, bagaimana mereka akan menyelesaikan segala isu dan menetap hala tuju negara apabila mereka membentuk kerajaan kelak.

 

Mereka juga perlu memainkan peranan yang lebih dalam usaha untuk mentransformasi kerajaan supaya lebih produktif dan lebih dipercayai dalam menangani pelbagai cabaran dihadapi oleh orang rakyat Malaysia.

 

Apa yang penting, setiap janji dalam manifesto perlu dikotakan! Jangan jadikan alasan lagi yang manifesto bukan kitab suci! Yang paling penting bagaimana mereka mampu mengurangkan tekanan ekonomi dan kewangan yang dihadapi oleh rakyat!

 

Tindak Balas Terhadap Kemelesetan Global Seterusnya

Semua perlu sedar, baik rakyat mahupun calon yang bertanding pada PRU15 kali ini. Mana-mana negara di seluruh dunia termasuk Malaysia kini lebih senang terdedah kepada kejutan dan cabaran.

 

Ekonomi yang makin suram dan curam, krisis kos sara hidup yang disebabkan oleh tekanan inflasi yang berterusan dan meluas, krisis bekalan makanan dan tekanan kewangan menyebabkan ramai terfikir adakah kerajaan yang bakal diberikan mandat mampu menyelesaikan dan meredakan tekanan ini.

 

 

Eksponen

 

 

Negara tidak lagi memerlukan kerajaan yang bertukar bersilih ganti, berebut kuasa dan takhta! Tetapi sebaliknya kita memerlukan seorang calon yang berwibawa yang mampu melakukan perubahan positif, bertindak tegas, berkomunikasi dengan jelas, menguatkan ekonomi, mengembalikan kestabilan dan kemakmuran serta menyesuaikan dasar dengan sewajarnya.

 

Kos sara hidup adalah agenda yang paling penting dan diberikan perhatian sepatutnya di pentas kempen pada masa ini!

 

Sepatunya setiap gabungan parti politik yang bertanding ini perlu membentangkan bagaimana strategi, pelaksanaan dan kaedah untuk mereka menyelesaikan segala isu dan permasalahan yang menyelubungi rakyat dan negara jika mereka diberikan mandat untuk membentuk kerajaan.

 

Mereka juga sepatunya peka dengan kenyataan Bank Dunia yang telah memberi amaran bahawa dunia mungkin sedang menuju ke arah kemelesetan ekonomi global pada tahun 2023 berikutan hampir seluruh bank-bank pusat di seluruh dunia menaikkan kadar faedah secara serentak sebagai tindak balas kepada inflasi.

 

Jika langkah pengetatan dasar monetari berterusan adalah untuk mengurangkan kadar inflasi kepada kadar yang konsisten dengan sasaran Bank Negara Malaysia (BNM), kita bakal menyaksikan kaedah asas bakal melonjak sehingga 3.50 peratus pada tahun hadapan.

 

Ini akan menyebabkan tekanan kepada pasaran kewangan dan menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi lebih perlahan. Dan apabila ia berlaku, negara bakal menghadapi satu lagi siri kemelesetan ekonomi.

 

Buat calon yang bertanding yang mewakili mana-mana parti, pastikan manifesto yang dibuat adalah realistik untuk dilaksanakan! Manifesto bukan janji kosong! Bukan juga hanya untuk mengumpan pengundi!

 

Apatah lagi bukan sekadar formula sahaja  seperti cakap kosong yang kerajaan baru boleh hapuskan pinjaman, hapuskan tol dan membuat penilaian dan dasar merapu yang tak masuk dek akal! Ini bukan Bolehland!, kita boleh dan sebagainya!

 

 

Eksponen

 

 

Ini berkenaan masa hadapan Malaysia sama ada kita mampu atau tidak mendepani sebarang kejutan, ancaman dan cabaran global.

 

Manifesto adalah janji yang perlu dikotakan kerana ia dianggap sebagai “janji” yang mengikat gabungan parti politik yang menang untuk dilaksanakan secara mutlak sebaik sahaja membentuk kerajaan.

 

Realitinya tiada satu manifesto pun dari mana-mana gabungan parti politik yang menyentuh isu ini kecuali Bajet 2023 daripada kerajaan terdahulu.

 

Bajet 2023 boleh disifatkan sebagai langkah komprehensif yang tidak hanya terus memperkukuhkan pemulihan ekonomi negara, sebaliknya, turut membina daya tahan rakyat dan perniagaan untuk kalis cabaran masa hadapan.

 

Kestabilan Dan Kemakmuran Negara

Biarkan tarian naga bermula, pastikan permainan takhta mempunyai titik noktah! Mengharungi cabaran kemelesetan ekonomi dan meredakan segala tekanan yang dihadapi oleh rakyat sepatutnya menjadi fokus buat semua gabungan yang bertanding!

 

Empat tahun yang penuh drama! Punca kepada ketidakstabilan politik dan ekonomi di negara ini. Bukan lakonan yang rakyat minta! Bukan drama dan kempen basi menipu, mencela, bercakap tentang ekonomi merapu seperti sebelumnya!

 

 

Eksponen

 

 

Rakyat hanya mahukan kerajaan yang mampu membawa kepada kestabilan dan kemakmuran baik dari segi politik mahupun ekonomi!

 

Apa jua keputusan PRU15, untuk gabungan parti politik yang menang, bentuklah kerajaan yang lebih berkesan, amanah, bertanggungjawab, bekerja untuk rakyat serta berdaya tahan dan lebih baik daripada kerajaan sebelumnya. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Portfolio Tags