Praba Sangarajoo dilantik sebagai CEO TnG berkuat kuasa 1 April 2023 | DagangNews Skip to main content

Praba Sangarajoo dilantik sebagai CEO TnG berkuat kuasa 1 April 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Mac - Praba Sangarajoo bakal menerajui Touch ‘n Go Sdn. Bhd. (TnG) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa 1 April 2023.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, TnG memaklumkan Praba yang sedang menyandang jawatanTimbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan & Pertumbuhan TnG telah menyertai syarikat tersebut pada Jun 2021 dan bertanggungjawab untuk pertumbuhan hasil, perniagaan baharu, inovasi produk serta pengurusan hubungan kerajaan dan pihak berkepentingan.

 

Menurutnya, Praba telah merekod pelbagai pencapaian dalam tempoh kurang daripada dua tahun, di mana beliau telah melancarkan produk baharu dan memperkenalkan aliran pendapatan baharu.

 

Ini termasuk RFID untuk pembayaran tol lebuh raya dan pengisian minyak kenderaan, kad NFC TnG dan pemerolehan tapak letak kereta baharu pada tahun 2022.

 

Pengerusi Kumpulan, Datuk Zainal Abidin Putih berkata, “Pengalaman luas Praba sebelum menyertai TnG ditambah dengan pengalamannya mengendalikan bahagian Perniagaan & Pertumbuhan kumpulan akan membawa syarikat ke tahap pertumbuhan seterusnya.

 

Beliau akan bertanggungjawab untuk meneruskan trajektori pertumbuhan perniagaan kumpulan sambil kami mengharungi lanskap yang semakin kompetitif dalam industri fintech,” katanya.

 

Zainal berkata kumpulan tersebut yakin Praba mempunyai kepintaran perniagaan dan keupayaan kepimpinan untuk mengemudi TnG melalui fasa strategik seterusnya dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

 

Sebelum menyertai TnG, Praba mempunyai pengalaman yang pelbagai seperti Ketua Pegawai Eksekutif Xperanti IoT (M) Sdn Bhd. dan Ketua Pegawai Operasi (Rail) di Sapura Secured Technologies serta berkhidmat dalam kapasiti pengurusan di syarikat multinasional besar seperti Nokia Siemens Networks dan Fujitsu.

 

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dari Universiti Northumbria. -DagangNews.com