Pernas tandatangani MoU bersama Mardi dan SSM, kolaborasi strategik tambah nilai produk dan promosi | DagangNews Skip to main content

Pernas tandatangani MoU bersama Mardi dan SSM, kolaborasi strategik tambah nilai produk dan promosi

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani (tiga dari kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek (dua dari kanan) memegang MoU yang telah ditandatangani, disaksikan oleh Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin; Timbalan Menteri KUSKOP, Saraswathy Kandasami; Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad pada majlis perasmian BITe 2023 di Setia City Convention Center.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

SETIA ALAM 4 Mac - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) masing-masing bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.

 

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, kerjasama strategik bersama MARDI akan memanfaatkan usahawan program Business In Transformation (BIT) melalui khidmat konsultansi MARDI.

 

Tambahnya, ia sejajar usaha menambah nilai kepada kualiti serta mutu produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Pernas.

 

“Sementara itu, MoU Pernas & SSM pula melibatkan usahasama mempromosi produk kedua-dua agensi melalui pelbagai platform promosi seperti Pybli, program jelajah usahawan, media sosial dan kaunter bergerak,” katanya di majlis perasmian Business In Transformation Expo (BITe) 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

 

 

(Dari kiri ke kanan) Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Datuk Hazimah Zainuddin; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami; Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick,
(Dari kiri ke kanan) Datuk Hazimah Zainuddin, Saraswathy Kandasami dan Datuk Ewon Benedick di sidang media BITe 2023 hari ini.

 

 

Pada majlis itu, Pernas turut meraikan 14 usahawan BIT yang menunjukkan prestasi cemerlang.

 

Sementara itu, Hazimah berkata, pelbagai program dijalankan sepanjang BITe 2023 berlangsung antaranya   
slot business pitching, sesi forum bersama usahawan BIT berjaya dan penerangan mengenai pelbagai informasi perniagaan.

 

Menerusi program itu, tambahnya, pengunjung berpeluang bertemu usahawan dan meneroka peluang perniagaan yang ada selain mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan perniagaan francais dan skim pembiayaan serta latihan yang ditawarkan di Pernas.

 

“Penganjuran BITe 2023 buat kali kedua pada hari ini membuktikan komitmen Pernas untuk bersama-bersama menjana pertumbuhan ekonomi seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan,” tambahnya.

 

Dalam pada itu, berhubung anugerah diberikan Pernas dalam majlis itu, Hazimah berkata, pengiktirafan dan penghargaan  perlu diberikan kepada mereka yang menunjukkan prestasi baik yang boleh dijadikan contoh.  

 

Anugerah itu juga, katanya, sebagai pemangkin semangat kepada usahawan BIT yang lain untuk terus memantapkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

 

 

Tisha
Datuk Ewon Benedick menyerahkan anugerah Usahawan BIT Terbaik 2023 kepada pengasas Tisha's Food Manufacturing Sdn Bhd, Shamsul Shah Sulaiman

 

 

Tisha’s Food Manufacturing Sdn Bhd telah merangkul dua daripada lima kategori iaitu Anugerah Usahawan Teknovasi BIT dan Anugerah BIT Terbaik 2023, membawa pulang wang tunai sejumlah RM15,000.

 

Tisha’s merupakan jenama yang menyediakan perkhidmatan dan pembekalan produk makan sejuk beku yang telah memasuki pasaran runcit di pasaraya seperti Giant, Mydin dan Aeon. -DagangNews.com

 

 

BITe 2023