KUALA LUMPUR 15 Feb - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lagi menjadi pemegang saham utama MyEG Services Bhd selepas menjual 39.05 juta saham.
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, saham itu dijual pada 10 Februari 2023 namun harga urus niaga tidak didedahkan.
KWSP telah mula mengurangkan pegangannya dalam MyEG sejak 7 Februari apabila menjual 49.65 juta saham, diikuti pengurangan 65.98 juta saham pada 8 Februari.
Sementara itu, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) turut menjual 1.51 juta saham dalam MyEG pada 10 Februari.
Memandangkan harga saham MyEG kekal rendah, syarikat itu terus membeli balik lebih banyak saham di pasaran terbuka.
Pada Selasa (14 Februari), MyEG membeli semula tambahan dua juta saham pada 63 sen setiap satu pada RM1.26 juta, menurut makluman tersebut.
Secara keseluruhan, MyEG telah membelanjakan RM5.4 juta untuk lapan juta saham dalam pembelian balik sahamnya.
Harga saham MyEG mengalami kerugian semalam selepas syarikat itu menjelaskan bahawa pemilik dan pemandu kenderaan masih boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka melalui saluran sedia ada.
Dalam makluman MyEG kepada Bursa Malaysia semalam, Zetrix, infrastruktur blok rantai syarikat itu telah dipilih oleh kerajaan China sebagai satu komponen bagi program penyelidikan usaha sama kerajaan ke kerajaan yang menerajui pengkomersialan.
Kerjasama yang turut melibatkan Universiti Malaya (UM) dan Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China (CAICT) sebagai rakan strategik akan mengukuhkan perdagangan Malaysia-China serta saling kendali data, seterusnya mendorong Malaysia kepada era Web3.
Setakat pukul 10.49 pagi ini, saham syarikat itu susut 0.5 sen atau 0.8% kepada 62 sen dengan 61.55 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








