Infomina raih projek pertama di Indonesia bernilai RM14.4 juta daripada Maybank Indonesia | DagangNews Skip to main content

Infomina raih projek pertama di Indonesia bernilai RM14.4 juta daripada Maybank Indonesia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Feb - Infomina Berhad, penyedia penyelesaian teknologi serantau, mengumumkan penerimaan surat pengesahan daripada PT Bank Maybank Indonesia TBK (Maybank Indonesia) untuk kontrak bernilai AS$3.3 juta (kira-kira RM14.4 juta).

 

Mengikut surat tersebut, subsidiari Infomina iaitu PT Infomina Solution Indonesia (ID Infomina), akan menyediakan aplikasi teknologi dan operasi infrastruktur, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan kepada Maybank Indonesia untuk tempoh lima tahun bermula dari 30 November 2022 hingga 29 November 2027.


 
Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng berkata, ia sememangnya satu pencapaian penting bagi syarikat ini kerana ia mewakili kontrak sulung yang diperoleh oleh Infomina di Indonesia.

 

Beliau berkata, ia seterusnya menunjukkan hubungan kerja rapat Infomina dengan Broadcom sebagai Rakan Kongsi Serantau mereka di rantau ini yang meliputi Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, China, Hong Kong dan Taiwan.

 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Maybank Indonesia atas kepercayaan mereka terhadap kebolehan kami dan sokongan mereka.

 

"Ia adalah komitmen Infomina kepada pelanggan kami untuk sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan kami dan nilai tambah kepada semua pelanggan kami.”

 

“Ini akan menambah lagi buku pesanan tertunggak kami, yang telah meningkat kepada lebih RM500 juta. Ini benar-benar satu pencapaian yang hebat yang akan memulakan perluasan jejak kami di Indonesia.

 

 

Yee Chee Meng
             Yee Chee Meng

 

 

"Dalam jangka masa terdekat, kami mengharapkan lebih banyak projek diraih seperti itu sambil kami memanfaatkan kepakaran domain unggul kami untuk menyampaikan penyelesaian kepada pelanggan kami di pasaran utama di seluruh rantau ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
                       
 
Infomina merupakan penyedia penyelesaian teknologi serantau, terutamanya terlibat dalam reka bentuk dan pelaksanaan aplikasi teknologi dan penyelesaian infrastruktur yang menyokong operasi perniagaan asas pelanggannya.

 

Syarikat seterusnya menyokong pelanggannya melalui operasi tersuai, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan untuk penyelesaian teknologi. - DagangNews.com