Infomina raih kontrak enam tahun daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Infomina raih kontrak enam tahun daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Infomina Berhad dilantik oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyediakan platform kepada orang ramai mencari, mengekstrak dan membeli data mengenai syarikat dan perniagaan yang berdaftar dengan SSM.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Infomina berkata pelantikan itu adalah selama enam tahun, bermula 31 Mac 2023 hingga 30 Mac 2029. 

 

Bagaimanapun mereka tidak mendedahkan sebarang nilai untuk kontrak itu.

 

"Sebaliknya, kumpulan itu akan mengenakan bayaran perkhidmatan berdasarkan penggunaan sebenar platform tersebut," katanya.

 

Pelantikan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh tersebut.

 

Saham dalam Infomina ditutup tidak berubah pada RM1.66, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM998 juta.

 

Harga saham itu meningkat lebih empat kali ganda, berbanding harga tawaran awalnya sebanyak 40 sen.

 

Penyenaraian Infomina pada November tahun lepas memperoleh kira-kira RM32.47 juta

 

Infomina pakar dalam reka bentuk dan pelaksanaan aplikasi teknologi dan penyelesaian infrastruktur yang menyokong operasi perniagaan asas perusahaan swasta dan awam yang besar. 

 

Kumpulan seterusnya menyokong pelanggannya melalui operasi tersuai, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan. - DagangNews.com