KUALA LUMPUR 15 Feb - Farm Fresh Bhd (FFB) bercadang mengambil alih 462,739 saham biasa dalam vendor The Inside Scoop Sdn Bhd (TISSB) membabitkan pertimbangan pembelian keseluruhan lebih kurang RM68.4 juta, tertakluk kepada pelarasan.
Ini menyaksikan syarikat tenusu bersepadu itu memeterai perjanjian pembelian saham dengan TISSB bagi cadangan tersebut yang mewakili 53% daripada saham terbitan diperbesarkan dalam TISSB.
Farm Fresh juga telah memeterai perjanjian langganan saham (SSA) dengan TISSB bagi cadangan langganan 104,771 saham baharu, mewakili 12% daripada saham terbitan diperbesarkan dalam TISSB dengan jumlah pertimbangan langganan sebanyak RM15.5 juta berdasarkan terma dan syarat perjanjian.
Selepas cadangan itu dimuktamadkan, TISSB akan menjadi anak syarikat 65% milik Farm Fresh manakala baki 35% kepentingan ekuiti dalam TISSB akan dipegang oleh Edmund Tan, salah satu vendor.
"Selepas selesai cadangan, Farm Fresh dan Tan akan akan memeterai perjanjian pemegang saham untuk mengawal selia hubungan kedua-dua pihak sebagai pemegang saham TISSB.
"Menurut perjanjian pemegang saham, FFB akan memberikan Tan hak bagi meminta FFB membeli daripadanya, apabila berlaku mana-mana peristiwa pencetus pada bila-bila masa semasa tempoh opsyen dibuat, baki saham TISSB yang dipegang oleh Tan," katanya dalam kenyataan semalam.
Cadangan itu akan membuka jalan bagi kemasukan serta pemilikan kumpulan dalam salah satu syarikat aiskrim istimewa yang paling pesat berkembang dan rangkaian aiskrim buatan sendiri yang terbesar di Malaysia.
Sementara itu, dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia, Farm Fresh telah mengumpul jumlah hasil kasar kira-kira RM300.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang dilancarkan pada 28 Februari 2022.
Hasil kasar tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan modal, modal kerja dan anggaran perbelanjaan penyenaraian.
"Kumpulan berhasrat bagi memanfaatkan kecekapan serta pengalaman pengasas TISSB yang akan menerajui bahagian aiskrim Farm Fresh dalam penerokaan kami ke pasaran aiskrim yang menguntungkan," katanya. - DagangNews.com








