AmInvestment mulakan liputan terhadap Infomina dengan saranan 'pegang', FV RM1.51 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment mulakan liputan terhadap Infomina dengan saranan 'pegang', FV RM1.51

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) memulakan liputan terhadap Infomina Berhad dengan saranan 'pegang' pada harga wajar (FV) RM1.51 sesaham.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merupakan penyedia penyelesaian teknologi dengan aktiviti utama yang terlibat terutamanya dalam mereka bentuk dan melaksanakan aplikasi bina pasang siap (turnkey) dan penyelesaian infrastruktur untuk menyokong operasi perniagaan pelanggannya.

 

Katanya, walaupun teknologi kerangka utama merupakan kepakaran kumpulan, ia juga menyediakan operasi tersuai, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan untuk penyelesaian pembaharuan.

 

"Kami melihat kumplan itu sebagai proksi yang menarik kepada peningkatan permintaan untuk teknologi kerangka utama di Asia kerana ia merupakan satu-satunya syarikat tersenarai di Malaysia yang mempunyai pendedahan kepada segmen pasaran ini.

 

"Statusnya sebagai pengedar nilai tambah (VAD) peringkat-1 tunggal untuk Perisian Broadcom membolehkan kumpulan itu memanfaatkan strategi penyumberan luar global Broadcom dan membuka peluang dalam ruang kerangka utama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, selain potensi projek siap guna baharu, kumpulan itu juga mempunyai saluran jualan berulang untuk perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan daripada pangkalan pelanggan sedia ada.

 

Biasanya, pelanggan turnkey akan menandatangani perjanjian tahap perkhidmatan untuk menyokong sistem kerangka utamanya. 

 

Katanya, pelanggan juga cenderung untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan mereka pada kadar biasa, yang menyokong pengekalan pelanggan.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu keraja keupayaan untuk menawarkan penyelesaian tersuai, perkongsian yang mantap dengan syarikat teknologi antarabangsa untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan teknologi kerangka utama. - DagangNews.com