Cadangan penyenaraian unit Berjaya Corp. di Singapura dijangka jana S$30 juta daripada IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan penyenaraian unit Berjaya Corp. di Singapura dijangka jana S$30 juta daripada IPO

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Sept - Berjaya Corp. Bhd. bercadang untuk melaksanakan langkah pembahagian saham membabitkan penyenaraian unitnya yang dimiliki dengan pegangan 51.62%, Singapore Institute of Advanced Medicine Holdings Pte Ltd (SIAMH) di Catalist Board of the Singapore Stock Exchange.

 

Menurut Berjaya Corp, selepas selesai cadangan pembahagian saham dan penukaran sekuriti boleh tukar , SIAMH bercadang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) saham baharu dan penyenaraian
dengan sebut harga untuk keseluruhan modal saham terbitan yang diperbesarkan di Catalist Board.

 

Katanya, cadangan penyenaraian akan melibatkan penawaran bilangan saham pada harga IPO melalui tawaran kepada orang ramai di Singapura dan penempatan kepada pelabur runcit dan institusi di Singapura untuk mengumpul hasil kasar sehingga S$30 juta.

 

"Sejajar dengan cadangan ini, SIAMH juga akan menerbitkan sejumlah saham baharu berdasarkan harga IPO yang sama kepada PrimePartners Corporate Finance Pte Ltd (PPCF) yang dilantik sebagai penaja, pengurus terbitan, penaja jamin dan ejen penempatan SIAMH, sebagai sebahagian daripada bayaran yuran berjumlah S$700,000.

 

"Bilangan tepat saham baharu SIAMH yang akan diterbitkan menurut cadangan penyenaraian ini hanya boleh dimuktamadkan apabila harga IPO ditentukan melalui proses book-building bebas selepas penyerahan dokumen tawaran awal SIAMH dengan SGX-ST, tertakluk pada harga IPO minimum SGD0.20 mengikut Peraturan Catalist," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Selain itu, Berjaya Corp berkata, SIAMH juga bercadang untuk mewujudkan pelan saham prestasi berhubungan cadangan itu yang melibatkan pemberian saham SIAMH baharu dan/atau sedia ada berbayar penuh kepada pengarah dan pekerja kumpulan syarikat yang layak selepas tanda aras tertentu yang telah ditentukan telah dipenuhi.

 

"Saham SIAMH sedia ada, jika ada, yang akan dianugerahkan menurut pelan saham prestasi ialah saham SIAMH yang boleh dibeli daripada pasaran untuk penghantaran dan/atau daripada saham perbendaharaan, jika ada, dipegang oleh SIAMH yang timbul daripada pembelian balik saham yang boleh dilaksanakan oleh SIAMH selepas cadangan berkenaan," jelasnya.

 

Menurutnya, pengumpulan dana sehingga SGD30 juta hasil daripada penyenaraian itu akan digunakan SIAMH untuk pembelian peralatan baharu dan naik taraf kemudahan sistem dalam rangkaian klinik perubatan SIAMH berjumlah S$5 juta.

 

"Selebihnya sebanyak S$5 juta akan digunakan untuk melaksanakan langkah pengembangan manakala S$16.7 juta bagi perbelanjaan modal dan S$3.3 juta bagi perbelanjaan penyenaraian," katanya.

 

SIAMH diperbadankan di Singapura pada 24 November 2011 secara dasarnya terlibat dalam diagnosis perubatan dan rawatan termasuk terapi radiasi dan perkhidmatan perubatan onkologi.

 

Cadangan penyenaraian itu membolehkan Berjaya Corp menambah nilai dalam pelaburannya dan menyediakan penanda aras penilaian yang telus.

 

"Selain itu, ia dapat menyediakan SIAMH dengan platform pengumpulan dana melalui pasaran modal ekuiti Singapura, yang seterusnya dijangka meningkatkan fleksibiliti pembiayaannya untuk membiayai pertumbuhan dan pengembangannya," katanya. - DagangNews.com