Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 24 September 2022

BAGUSKAH RINGGIT LEMAH BERBANDING USD?

Sin Chew Jit Poh 21 & 23 Sep 2022

 

 

RINGGIT menyusut lagi, jatuh di bawah paras 4.5 berbanding dolar AS. Adakah ini bencana?

 

Kebanyakan pandangan mengenai perkara ini adalah dari perspektif ekonomi. Tetapi selain teori ekonomi, kita juga harus membuat analisis dari sudut faktor psikologi. 

 

Melihat dari sudut ekonomi, walaupun ringgit menyusut tetapi punca utamanya bukan kerana ringgit terlalu lemah, sebaliknya dolar AS terlalu kuat.

 

Begitu juga nilai ringgit rendah berbanding dolar Singapura kerana mata wang negara itu sedikit sebanyak dirambat pada dolar AS.

 

Justeru, kekuatan sesebuah negara tidak boleh dinilai menerusi ‘wang’ kerana setiap negara mempunyai dasar monetari yang berbeza.

 

Bercakap dari sudut psikologi pula, sudah tentu kita akan menjadi yakin jika wang di tangan lebih banyak dan besar.

 

Kita akan menjadi tidak selesa apabila terpaksa membeli sesuatu dengan harga yang mahal tetapi rakan kita boleh membelinya dengan harga yang murah.   

 

Dar sudut ekonomi, penurunan nilai mata wang mempunyai kelemahan dan kelebihan.

 

usd

 

Penurunan nilai ringgit adalah  lebih baik untuk eksport dan ia juga boleh menarik pelabur untuk membeli aset yang murah dan berkualiti tinggi di Malaysia.

 

Jika mengambil kira faktor psikologi pelabur, kejatuhan nilai ringgit yang berterusan bukanlah satu perkara yang tidak baik. Penurunan nilai ringgit bermakna nilai aset Malaysia juga menyusut.

 

Ahli ekonomi Amerika ada mengatakan bahawa semakin kukuh dolar, maka semakin ramai pelabur masuk ke AS. Keadaan ini akan meningkatkan lagi nilai dolar dan ini adalah apa yang dipanggil “Dollar Doom Loop”.

 

Bagi pelabur jangka panjang pula, mata wang yang lebih kukuh lebih menarik kepada pelabur. Sudah tentu dalam contoh di atas, dolar yang lebih kukuh mendatangkan kerisauan kepada ahli ekonomi.

 

Bagi syarikat antarabangsa, peningkatan mata wang akan meningkatkan kos menjalankan perniagaan di negara tersebut dan keadaan ini mengurangkan keinginan mereka untuk meneruskan perniagaan di situ.

 

Sementara itu dalam jangka panjang, mata wang yang berterusan kukuh juga tidak baik untuk sektor pekerjaan negara.

 

Walau bagaimanapun dari perspektif personaliti Myers-Briggs Type Indicator (MBTI), 73.3 peratus orang adalah percaya kepada apa yang mereka lihat dan dengar. 

 

Bagi mereka ramalan masa depan adalah perkara yang boleh dibincangkan kemudian hari.

 

duit

 

Maka, hujah mengatakan ‘mata wang yang lemah adalah lebih baik untuk semua orang’, adakalanya sukar diterima akal.

 

Selain itu ramai pakar ekonomi berpendapat bahawa penurunan nilai ringgit akan memberi manfaat kepada eksport.

 

Pandangan ini boleh diragui kerana apabila nilai ringgit susut, harga barang eksport di pasaran antarabangsa pasti akan turun.

 

Tetapi pengeksport terpaksa menanggung kos import bahan mentah dan pengangkutan antarabangsa yang lebih tinggi.

 

Pandangan pakar ekonomi ini perlu dikaji dan dianalisis lagi. Apabila eksport sesebuah negara meningkat maka ekonomi juga akan meningkat.

 

Apabila eksport lebih besar daripada import jadi terdapat lebihan perdagangan (trade surplus).

 

Daripada sudut psikologi, apabila seseorang itu berupaya untuk berbelanja lebih, maka lebih ramai yang akan menyanjunginya.

 

Mengambil contoh pada tahun 1980an, yang mana kuasa membeli Jepun adalah sangat tinggi.

 

Apabila mereka melancong ke luar negara, orang asing menundukkan kepala sebagai tanda hormat kepada mereka.

 

Kemudian, selepas gelembung ekonomi Jepun pecah, pelancong China menggantikan pelancong Jepun. Mereka juga mendapat layanan istimewa kerana kuasa berbelanja mereka adalah tinggi. 

 

duit

 

Di samping itu, lebih ramai orang menggunakan wang, jadi lebih tinggi pengaruhnya. Dolar AS digunakan secara global dan komoditi antarabangsa seperti minyak adalah diperdagangkan dalam bentuk dolar AS.

 

Dolar yang kukuh pastinya akan meningkatkan harga minyak global dan kenaikan kadar faedah bank pusat AS juga telah menyebabkan bank pusat dunia mengikuti jejak langkah AS.

 

Apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah, ada yang mempersoalkan keputusannya.

 

Bagi mengelakkan syak wasangka, BNM telah berulang kali menjelaskan bahawa kenaikan kadar faedah bukan untuk mengekalkan nilai ringgit.

 

Tetapi hakikatnya, sebahagian besar terikat dengan dasar monetari AS. Jika kadar faedah sesebuah negara ketinggalan jauh dengan AS, maka semakin besar tekanan ke atas mata wang  negara itu.

 

Jika mahu menstabilkan nilai ringgit tanpa menaikkan kadar faedah, ibarat mahu membela kuda yang bagus tetapi tidak memberi kuda itu meragut rumput.

 

Meskipun ada pro dan kontra dalam penurunan nilai mata wang, tetapi bagi rakyat wang di poket menjadi lebih kecil dan kuasa membeli juga akan menurun.

 

Jika di Australia, rakyatnya boleh menerima hujah ‘dolar AUD terlalu kuat tidak bagus untuk ekonomi’, salah satu sebabnya kerana nilai AUD pernah melepasi dolar AS.

 

BNM

 

Berbalik kepada Malaysia pula, selama berdekad-dekad nilai ringgit sentiasa rendah berbanding dolar AS.

 

Dalam hal ini, hujah mengenai ringgit tidak boleh terlalu kuat, mungkin tidak dapat memberi keyakinan kepada rakyat.

 

Situasi tragis kejatuhan nilai ringgit tanpa henti dianggarkan berterusan buat sementara waktu.

 

Tambahan beberapa faktor yang akan menjejaskan kestabilan ringgit seperti PRU, pastinya pelabur asing mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat pertimbangan kerana politik yang tidak stabil akan memburukkan lagi keadaan.

 

Kita harap boleh berharap politikus dapat segera menyelesaikan konflik dan membuat rundingan bersyarat, segerakan PRU untuk kebaikan pertumbuhan ekonomi negara.

 

Sekurang-kurangnya syarikat tempatan dan asing dapat merangka pelan perniagaan mereka agar aktiviti ekonomi negara tidak akan terjejas.

 

parafrasa

 

Kesimpulannya, mengekalkan kestabilan nilai ringgit akan membantu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Malaysia, sama ada rakyat sendiri mahupun pelabur daripada luar negara.

 

Keyakinan rakyat akan menjadi kunci kepada kejayaan atau kegagalan ekonomi sesebuah negara.  - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 21 & 23 Sept 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags