Skip to main content

Azman Hashim bersara Pengerusi AmBank Group 31 Mac 2022

Tan Sri Azman Hashim

KUALA LUMPUR 27 Jan - AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mengumumkan Tan Sri Azman Hashim akan bersara sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarahnya berkuat kuasa 31 Mac 2022, selepas tamat tahun kewangannya.

 

Kumpulan perbankan itu berkata, Azman akan meneruskan sumbangan idea dan pandangannya kepada kumpulan itu sebagai Pengerusi Emeritus/Penasihat Kehormat selepas bersara dan kekal sebagai pemegang saham utama kumpulan itu.

 

Azman telah menerajui AmBank Group melalui pelbagai peralihan di peringkat global dan tempatan, sama ada krisis ekonomi yang dihadapi oleh Malaysia dalam 1980-an dicetuskan oleh kadar faedah yang tinggi di Amerika Syarikat (AS), Krisis Kewangan Asia pada 1990-an dan krisis kewangan global, yang memberi kesan kepada Malaysia pada 2008/2009.

 

Azman juga akan terus memegang jawatan Pengerusi dalam pelbagai entiti termasuk Asian Institute of Chartered Bankers, Asian Banking School Sdn Bhd, Financial Industry Collective Outreach (FINCO), Malaysia South-South Corporation Bhd, Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun; Yayasan Kepimpinan Perdana; Persatuan Selatan-Selatan Malaysia; Universiti Teknologi Malaysia – Majlis Penasihat Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim dan Pengerusi Emeritus Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC).

 

"Tan Sri Azman adalah seorang daripada anak didik Malaysia dalam perbankan, mula terbabit dalam sektor itu pada 1960-an.

 

''Dengan semangat keusahawanan yang kukuh, beliau telah menjadi pemacu utama pertumbuhan Ambank Group sejak 1982, dari asalnya sebagai Bank Pembangunan Arab-Malaysia dengan kakitangan awal seramai 200 orang dan membinanya sehingga kini konglomerat kewangan - AmBank Group - dengan lebih 9,000 kakitangan," kata AmBank Group dalam satu kenyataan.

 

"Saya berbesar hati telah memimpin kumpulan ini sejak 40 tahun yang lalu. Ia telah menjadi pengalaman yang bermanfaat, terutamanya perjalanan saya bekerja bersama kakitangan AmBank serta ramai rakyat Malaysia yang telah mempercayai kumpulan selama empat dekad yang lalu.

 

"Bagi saya, ini bukan hanya AmBank Group, tetapi juga keluarga. Kumpulan kami telah berkembang selama bertahun-tahun dan kejayaan kami tidak mungkin dinisbahkan kepada seorang saja. Saya berbesar hati kerana dapat menyerahkan kumpulan yang digeruni kepada pengganti saya," kata Azman. - DagangNews.com