KUALA LUMPUR 21 Feb - AmInvestment Research optimis dengan pemeteraian perjanjian baharu antara Yinson Holdings Bhd. dengan Eni Angola berpotensi meningkatkan unjuran firma tersebut terhadap pendapatan syarikat tersebut.
Syarikat penyedia perkhidmatan minyak & gas itu telah memeterai perjanjian dengan Eni Angola untuk melanjutkan lagi tempoh perjanjian untuk aktiviti awal (APA) dari 20 Februari 2023 kepada 28 Februari 2023.
Sebelum ini, kumpulan tersebut telah memperoleh APA bernilai AS$218 juta daripada Eni Angola untuk menjalankan aktiviti awal bagi unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang berkaitan dengan medan Agogo laut dalam 1 bilion tong.
Ini mewakili lanjutan kedua APA, terutamanya disebabkan oleh proses pentadbiran pihak pelanggan untuk memuktamadkan butiran projek yang memakan masa lebih lama daripada jangkaan, tambah firma itu di dalam nota hari ini.
“Namun, kami percaya Eni Angola bakal mengumumkan penganugerahan kontrak terakhir dalam beberapa minggu lagi memandangkan keperluan untuk mendapatkan kapal, mengambil kira keadaan pasaran FPSO yang ketat pada masa ini,” katanya.
AmInvestment juga berkata, nilai kontrak APA dinaikkan kepada AS$310 juta berbanding AS$218 juta sebelumnya, khususnya untuk membayar pampasan kepada Yinson di atas kelewatan jadual.
Pemberian kontrak sebenar untuk sewa bot tanpa kapal serta operasi dan penyelenggaraan berkemungkinan bernilai sekurang-kurangnya AS$5 bilion untuk tempoh selama 20 tahun yang merangkumi tempoh 15 tahun dan 5 tahun lanjutan tahunan.
Menurut firma itu, ia mencerminkan kadar sewa harian yang lumayan sekurang-kurangnya AS$685,000 yang akan meningkatkan lagi unjuran pendapatan kumpulan dan pada masa ini, menyumbang kepada 81 sen atau 21%.
AmInvest mengekalkan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah pada RM3.89 sesaham. -DagangNews.com








